Mungkin ramai tidak ambil peduli tentang kepentingan memilih perumah untuk memasang speaker dalam sistem audio pada kereta. Tahukah anda, sehebat mana jenama subwoofer yang dibeli tidak mampu mengeluarkan bunyi bass yang bagus dan berkualiti dengan sendirinya?
Anda memerlukan perumah yang kukuh untuk membantu subwoofer menghasilkan prestasi bass pada tahap paling optimum. Tanpa penggunaan perumah yang sesuai atau tepat, bass kuasa penuh tidak dapat dihasilkan kerana bahagian belakang speaker boleh menyingkir semua frekuensi rendah dari speaker bahagian hadapan.
Bagi mendapatkan binaan perumah yang berkualiti, anda boleh merujuk beberapa portal dan juga panduan menerusi Youtube. Kalau tidak yakin dengan kemahiran membina perumah sendiri, boleh dapatkannya dari pusat-pusat pemasangan yang pastinya memberikan kualiti terbaik dan sesuai untuk sistem audio kereta anda.
Tidak semua jenis perumah subwoofer memberikan hasil yang sama. Setiap jenis perumah ini akan menghasilkan pelbagai jenis bass yang berbeza. Anda boleh rujuk jadual di bawah;
Perumah Tertutup : Ketepatan dan Bunyi Bass Lebih Dalam
Perumah kedap udara untuk subwoofer, pilihan terbaik untuk apa jenis keperluan muzik dan ketepatan bass. Respon mendatar, bunyi bass lebih dalam dan panjang serta pengendalian yang terbaik. Memandangkan perumah tertutup ini memerlukan lebih kuasa, gunakan amplifier yang mempunyai watt lebih dari cukup untuk prestasi optimum.
Kotak Berlubang : Bass Lebih Kuat
Kotak berlubang ini bertujuan untuk memperkuatkan lagi respon bass rendah. Anda akan mendapat lebih output berbanding perumah tertutup tanpa mengira watt yang dikuasakan oleh amplifier. Lazimnya, ramai orang memilih kotak berlubang ini untuk jenis muzik lebih agresif seperti rock dan heavy metal. Ia juga dikatakan boleh menghasilkan bass yang lebih dalam berbanding perumah tertutup dan ia memerlukan ruang yang lebih besar.
Kotak Bandpass : Hentaman Maksimum
Salah satu jenis kotak berlubang yang dibina untuk mendapatkan hasil hentaman bass maksimum. Woofer ditanamkan dalam perumah dua ruang (satu ruang tertutup, satu lagi berlubang) dengan gelombang bunyi akan keluar dari bahagian yang berlubang tadi. Bunyi yang keluar dari lubang ini jauh lebih kuat dengan frekuensi lebih halus. Kotak bandpass ini jauh lebih efisen untuk julat bunyi itu dan mampu menghasilkan bunyi hentaman lebih kuat. Bunyi yang agresif ini pula dikatakan sesuai untuk muzik rap, raggae dan juga hard rock. Namun begitu, bukan semua subwoor sesuai dipasangkan dalam kotak bandpass ini.
Subwoofer Dengan Sistem Pengudaraan Bebas
Sistem pengudaraan bebas ini terdiri dari woofer yang ditempatkan ke atas papan dek di bahagian bonet belakang kereta dan hampir dengan kerusi penumpang belakang. Papan ini bertindak sebagai perumah yang menempatkan subwoofer dan memisahkan bunyi dari belakang speaker, menyelesaikan masalah penyingkiran bunyi subwoofer tanpa sebarang perumah.
Sistem pengudaraan bebas ini jimat ruang dengan respon frekuensi yang mendatar. Hanya woofer yang dibina khusus untuk kegunaan pengudaraan bebas sahaja yang sesuai. Lebih mudah dipasangkan tetapi aras pengendalian kuasa lebih rendah berbanding bahagian kotak.
Sumber : Crutchfield