Jika Kuala Lumpur terkenal dengan bangunan-bangunan pencakar langit, negeri Sarawak pun tak kurang hebatnya kerana mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara negeri yang masih lagi kaya dengan hidupan flora dan fauna. Lebih-lebih lagi dengan burung kenyalang yang telah pun sinonim sebagai identiti negeri Sarawak. Tidak, jangan salah faham. Bukan burung kenyalang yang Kar HiFi hendak perkatakan di sini, sebaliknya tentang sebuah kereta Kenari dari Sarawak yang terlalu istimewa.
Kenari, salah satu keluaran Perodua (Perusahaan Otomobil Kedua Berhad) selepas syarikat gergasi otomobil Proton. Keluaran Perodua seakan pilihan alternatif kepada peminat kenderaan keluaran tempatan dan Kenari merupakan antara kereta yang mempunyai permintaan paling tinggi kerana memiliki ciri-ciri penjimatan minyak yang ekonomi dan lebih praktikal diikuti transmisi secara automatik. Tentu ramai yang mahu memiliki kenderaan seperti ini.
Beralih pula kepada sistem audionya yang mendapat sentuhan magis installer profesional, D & C Car Accessories. Dikenali sebagai Kenari Adams Bumi Kenyalang, ia pasti menggegarkan gegendang telinga anda. Jadi, kepada anda yang mempunyai masalah gegendang sensitif kepada dentuman, dinasihatkan agar berdiri dengan jarak yang agak jauh bagi menjamin keselamatan gegendang anda. Diingatkan sekali lagi, Kenari ini mempunyai dentuman yang luar biasa kuatnya!
Sepertimana kebiasaannya, bahagian paling utama untuk sistem audio sebuah kereta tentunya terletak pada head unit atau pemain utama yang memberi isyarat bagi memulakan sesuatu perjalanan sistem audio. Pemain CD Player jenama Pioneer model P80 telah dipilih bagi menerajui sistem audio kereta Kenari ini. Pemain utama ini seterusnya memancarkan isyarat dan diproses pula oleh pre-amp dari jenama JW Audio.
Di sini ada sedikit perbezaan dan kelebihan yang ada pada sistem audio kereta Kenari ini. Setelah isyarat tadi diproses oleh pre-amp, ia disalurkan pula kepada electronic crossover 3 way jenama Adams Digital dan dipancarkan pula kepada 10 unit line driver yang berfungsi untuk memperkuatkan lagi isyarat yang akan disalurkan kepada amplifier. Line driver ini adalah keluaran Adams Digital, model ADL 300.11. Isyarat disalurkan kepada 10 unit amplifier yang terdiri daripada 6 unit amplifier monoblock jenama Adams Digital, ADS 800, 3 unit amplifier 4 channel ADS 80.4 dan seunit amplifier AD 100.4TX.
Seunit amplifier 4 channel telah digunakan khas untuk memacu 4 unit horn tweeter, juga dari jenama Adams Digital, model AD5.IT. Manakala 6 unit woofer bersaiz 12” dengan double coil jenama Adams Digital ADW6512 (D) dipacukan oleh seunit amplifier monoblock ADS800.1 untuk setiap satu woofer. 12 unit speaker yang terdiri daripada 4 unit speaker model AD685M, 4 speaker model ADC650SQ dan 4 unit lagi model AD65.2IP dipacukan pula oleh 3 unit amplifier 4 channel ADS80.4. Ini diikuti 4 unit horn tweeter yang turut dipasang dan dipacukan oleh amplifier 4 channel AD100.4TX.
Tentu anda sudah dapat menggambarkan ledakan bunyi yang dikuasai oleh Kenari Adams buatan bumi kenyalang ini. Percayalah, jantung anda seakan-akan mahu gugur sebaik pemain utama memainkan Cd lagu. Pasti bingit dan mampu mengejutkan satu bandar.