Sebanyak 157 buah kereta kompak telah menghangatkan penganjuran K-Car Life Comeback 2020 yang diadakan pada 22 Februari lalu. Dianjurkan oleh KcarLife Malaysia cawangan negeri Kedah, program ini turut dihadiri kelab-kelab kereta seperti Northern Club Perodua. Kancil (NCPK), Northern Moderno Family (MFN), Myvi Passo Legacy (MPBL) dan beberapa kelab komuniti lain.
Bagi menghidupkan lagi program ini, sebanyak 11 pihak penaja berbesar hati dan sudi memberi sumbangan tajaan bukan sahaja berbentuk wang ringgit, malah menyediakan hadiah-hadiah cabutan yang lumayan. Barisan penaja yang terlibat adalah seperti -Jatt Rohaizat Resources, Kikie Lala Motorsports, Sailo Garaga Performance Centre, J Furious Autoparts & Acc, Syon Garage, Ahmoi Ahtan, FT Autoparts Utara, AkwaWork, Nerd Sticker Design, Alip Mediagrapher dan Bre Joe Autopart.
Penyertaan dan kehadiran para pemilik kereta kompak yang memenuhi tapak program tajaan Amanjaya Mall Sg. Petani. Secara tidak langsung membuktikan masih ramai peminat mahukan penganjuran program seperti ini yang tetap relevan sehingga sekarang. Difahamkan, program seperti ini turut diadakan di seluruh Malaysia pada waktu yang sama sekali gus mengeratkan lagi ikatan silaturahim para pemilik kereta kompak tanah air.
Pelbagai gelagat para pemilik kereta kompak yang menghiburkan dapat dilihat sepanjang acara yang berlangsung secara lepak santai, bermula dari pukul 8.00 malam dan berlanjutan sehingga lewat tengah malam. Bukan itu sahaja, kereta-kereta yang membanjiri tapak program juga tidak kurang hebatnya. Para peserta tidak pulang dengan tangan kosong kerana selain mengeratkan ikatan silaturahim, ada juga pemilik kereta kompak membawa pulang hadiah lumayan menerusi segmen Cabutan Bertuah.
Tahniah diucapkan kepada para penganjur kerana berjaya menyemarakkan kembali kehangatan kereta kompak di Malaysia. Ucapan yang sama turut ditujukan kepada para pemilik yang berjaya membawa pulang hadiah. Kepada yang tidak bernasib baik, diharapkan anda akan bertuah memenangi hadiah untuk penganjuran program di masa akan datang. Lagipun, kegilaan terhadap kereta kompak tidak pernah pudar malah semakin menular. Setuju?
Disediakan oleh : Pak Art