Masih ingat lagi pada era 80-an dan 90-an dulu, kebanyakan kereta yang dijual di sini dipasang dengan sistem audio yang boleh dikategorikan sebagai tak bagus langsung. Sistem audio kereta waktu itu macam melepaskan batok di tangga, janji ada radio dengan sepasang speaker dah cukup. Kualiti bunyi? Macam dengar radio di dalam air. Memang teruk.
Namun, apabila pembeli kereta di Malaysia semakin bijak dan ‘demanding’, kualiti sistem audio yang datang standard dengan kereta semakin baik. Bab ini harus puji Proton; memperkenalkan sistem audio dari jenama Clarion untuk model Waja dengan kualiti bunyi yang agak baik. Walau mungkin tak sebaik sistem bunyi aftermarket, tetapi sekurang-kurangnya boleh mendengar pecahan frekuensi bunyi yang dihasilkan dari muzik yang dimainkan dan bukannya bunyi tin kosong yang biasa didengar pada sistem audio kereta model terdahulu.
Kini, tak sah jika kereta tidak dilengkapi dengan sistem audio yang lengkap dengan monitor dan fungsi main semula video digital. Salah sebuah model kereta yang datang lengkap dengan pemain DVD secara standard ialah Kia Forte. Kia sebenarnya telah berjaya mengubah imejnya dari kereta yang kelihatan murah kepada kereta yang memiliki standard tinggi dengan model ini. Jadi, kalau anda kebetulan memakai kereta model ini atau apa-apa kereta yang ada pemain utama serupa ini, apa yang anda nak buat? Biarkan sahaja stok standard atau tiba masanya untuk berubah?
Projek audio untuk Kia Forte ni boleh mengubah persepsi anda tentang unit utama standard kereta. Untuk pengetahuan anda, pemilik Forte ini mengekalkan unit utama standard untuk projek audionya. Dengan berbekalkan unit utama yang lengkap dengan DVD, MP3 dan CD, ia dah cukup untuk menghasilkan isyarat bunyi yang mantap.
Untuk memecahkan isyarat bunyi dari unit utama tadi, seunit crossover elektronik NT Power 6EQT digunakan. Dari sini, isyarat-isyarat bunyi dihantar kepada dua unit pre-amp yang berbeza. Untuk frekuensi rendah, isyarat bunyi dihantar kepada seunit pre-amp NT Power NT-P777 manakala untuk frekuensi yang lain, pre-amp MKQ-7S digunakan. Penggunaan dua jenis pre-amp yang berbeza ini memberi kelebihan talaan yang lebih tepat bagi mendapatkan harmoni dari semua frekuensi yang dihasilkan.
Baiklah, dari sini, isyarat bunyi frekuensi rendah yang melalui pre-amp NT-P777 tadi disalurkan kepada seunit amplifier jenis monoblock dari Performance OM-2400.1 yang menguatkan isyarat bunyi tadi untuk dihantar ke woofer. Bunyi bass yang padat dan mantap dihasilkan 2 unit woofer Performance yang masing-masing bersaiz 12”. Woofer ni diletak di dalam perumah custom yang dibuat daripada kayu dan menghuni lebih separuh ruang di dalam but belakang Forte.
Sistem audio yang baik tidak semestinya hanya bergantung pada bunyi bass yang kuat, tetapi juga bergantung kepada kejelasan butir-butiran bunyi yang boleh didengar. Di sinilah kerja-kerja yang dilakukan oleh pre-amp MKQ-75 tadi. Dari pre-amp ini, isyarat bunyi frekuensi tinggi dan sederhana dihantar kepada amplifier 2 saluran Mohawk MG200.2. Ya! saya tak silap taip, memang installer hanya menggunakan amplifier 2 saluran dan bukannya 4 saluran seperti mana yang sering dilakukan oleh orang lain. Bagi mereka, amplifier ini dah cukup untuk membekalkan kuasa kepada empat unit mid bass 6” Performance bersama-sama 2 unit horn tweeter yang diletak pada deck lid but belakang.
Hasil gandingan kesemua aksesori audio tambahan dengan unit utama OEM Kia Forte ni sebenarnya sudah cukup menghasilkan kombinasi bunyi yang seimbang. Kereta ini pula seterusnya diubahsuai dengan gaya VIP di mana ia dipasang dengan bodykit custom dan rim 18” yang lebar. Kesemua ruang dalamannya dibalut dengan bahan PVC hitam manakala ruang but belakang yang menempatkan hampir kesemua aksesori audio yang disebutkan tadi dibalut dengan PVC berwarna putih yang memberi kontras kepada warna hitam badan kenderaan dan jugak ruang dalaman kereta. Skrin-skrin video TFT juga digunakan untuk menghias ruang but belakang bersama-sama dengan tempat penyimpanan botol champagne – satu identiti klasik gaya VIP dari Jepun.
Hasil kerja audio yang sebenarnya amat ringkas ni telah menempatkan kereta Kia Forte ini di kedudukan keempat pada pertandingan audio Motorsport Madness Autoshow pada kategori terbuka. Satu pencapaian yang hebat memandangkan unit utama kereta ini masih menggunakan unit OEM dari kilang!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 52