Kecil-Kecil Cili Padi


Tidak mudah berputus asa, Roshaimi enggan mengalah dan meninggalkan dunia audio kereta yang mula diminati pada awal tahun 2012. Beliau mula melibatkan diri dalam dunia audio dan menjalankan modifikasi serta membina sistem audio ke atas keretanya sedikit demi sedikit. Kemudian, beliau memberanikan diri dan menyertai siri pertandingan audio tetapi nasib tidak menyebelahinya dan terpaksa akur dengan kekalahan.

Berbekalkan kecekalan hati, beliau tetap turun melihat dan menyokong rakan-rakan lain bermain autoshow sekali gus menyuntik semangat baru. Beliau mula mencuba mengubahsuai kereta kesayangannya dengan memenuhi kriteria yang diperlukan untuk sebuah kereta autoshow. Di atas sokongan suami dan rakan-rakan seperjuangan, akhirnya Roshaimi berjaya mengharungi cabaran dan mengutip pengalaman suka duka dalam dunia audio kereta yang dimonopoli kaum Adam khususnya di Malaysia ini.

Kini, sudah lima tahun Roshaimi melibatkan diri dalam pelbagai autoshow yang dianjurkan. Beliau mengambil peluang ini untuk melihat otai-otai seperti Khairul dari GM Event Management dan rakan-rakan yang sudah lama melibatkan diri dalam dunia autoshow. Lebih menarik lagi, mereka tidak pernah lokek dan sentiasa berkongsi ilmu serta memberi tunjuk ajar kepada beliau. Jadi, tidak hairanlah Roshaimi sudah pun mengumpul berpuluh-puluh piala walaupun penyertaan beliau dalam pertandingan dan juga membina sistem audio ini sekadar hobi.

Enggan memberitahu kos yang dibelanjakan dalam membina sistem audio serta modifikasi kereta secara keseluruhannya, Roshaimi tetap berkongsi tentang sistem audio yang melengkapi kereta Viva yang menggunakan Sonic Advance 2 sebagai tema. Dimulakan dengan pemain utama Pioneer, Roshaimi memilih produk audio dari jenama Memphis. Beliau turut menggunakan dua unit pre-amp; Prokick PRX-929 dan Kicker KQ5. Kedua-dua pre-amp ini bertindak sebagai bahan bantu untuk mencemerlangkan isyarat yang dihantar kepada barisan speaker yang dipecahkan kepada dua iaitu di bahagian dalam kereta dan juga tempat ruang letak barang di bahagian belakang.

Seterusnya, isyarat yang telah diproses di unit pre-amp tadi dipancarkan pula kepada barisan amplifier. Sebanyak 4 unit amplifer digunakan yang terdiri dari 2 unit amplifier 4 channel Memphis dan 2 unit amplifier monoblock Memphis. Unit pertama amplifier 4 channel Memphis ini digunakan untuk memacu 4 unit mid bass Memphis dan 2 unit tweeter yang dipasangkan di bahagian dalam kereta. Setiap satu unit mid bass ini dipasangkan pada setiap panel pintu. Manakala setiap satu unit tweeter dipasangkan pada kedua-dua belah A pillar. Beralih pula kepada seunit lagi amplifier 4 channel yang digunakan untuk memacu 4 unit speaker yang terdiri dari 4 unit speaker coaxial Memphis dan dua unit tweeter AQ.

Sebagai pelengkap sistem audio Viva ini, 2 unit subwoofer 12” Memphis digunakan dan setiap satu unit subwoofer ini dipacukan oleh seunit amplifier monoblock Memphis. Apa yang menarik tentang sistem audio dan juga kereta Viva ini, installer yang melakukan kerja pemasangan berjaya menempatkan semua speaker pada tempat yang sesuai dan tampil cukup sempurna. Biarpun bersaiz dan kompak, Viva ini mampu mencuri tumpuan dan tidak hairanlah apabila Roshaimi berjaya merangkul berpuluh tropi setakat hari ini. Tahniah!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 96