Kecik-Kecik Cili Padi, Saiz Aje Kecik Tapi Berapi

Perumpamaan yang cocok bangat dengan cowok muda lagian keren dari Bandung ini. Oh maaf, berbicara bahasa Indonesia pula. Maklumlah, dirasuk ‘feel’ ruangan dari seberang, sedikit sebanyak tersampuk juga. Baiklah, kembali kepada matlamat sebenar. Pemuda yang dimaksudkan ialah Indra Gunawan. Nampak saja muda, tapi Indra sudah pun melakukan modifikasi ke atas kereta-keretanya dan menyertai pelbagai pertandingan sekitar Indonesia.

Selain Honda Jazz seperti yang tertera pada halaman majalah ini, Indra juga memiliki sebuah kereta Honda HRV 2000 yang turut menjalani modifikasi ekstrem. Rim asal digantikan dengan rim 22”, pengubahsuaian juga dilakukan terhadap ‘body’ dan ‘air suspension’ dipasang bersama-sama 8 unit woofer 12” serta 6 unit amplifier. Fuh, dahsyat! Tunggu dulu, bukan tentang kereta Honda itu yang mahu diceritakan sebaliknya Honda Jazz yang tampil serba sederhana, ringkas tetapi penuh kegilaan ini.

Apa tak gila? Di hari pertama Indra bertemu Erwin, satu permintaan disampaikannya secara jelas. Bina sistem audio yang menyamai atau mampu menandingi kekuatan yang pernah dihasilkan keretanya terdahulu (Honda HRV 2000) bersamaan dengan kekuatan 8 unit woofer. Tetapi, binaannya perlulah lebih praktikal, tidak memakan ruang yang banyak dan boleh dijadikan sebagai kereta pemanduan harian. Dulu Indra gemar muzik keras seperti rock, alternatif dan R&B. Sekarang citarasanya berubah dan memilih lagu yang lebih lembut alunannya seperti Jazz dan audiophile.

“Kereta saya sebelum ini memang comel, tapi susah nak pandu. Tak boleh digunakan sebagai pemanduan harian sebab terlalu berat dan tak praktikal,” ujarnya.

Menurut Erwin, keinginan sebenar Indra adalah untuk mempunyai sistem audio yang boleh menghasilkan suara dengan sekuat mungkin, tetapi tidak mencederakan kualiti suara secara keseluruhan. Selepas menimbang beberapa idea, Erwin memberitahu Indra tentang sistem audio yang mahu dilakukannya. Erwin mahu menggabungkan beberapa komponen audio High End terbaik yang ada di pasaran.

Sistem audio ini termasuklah satu unit woofer dari MA Audio HK 12×2, yang didatangkan dengan dwi-koil suara 2 ohm, dwi-magnet strontium dengan kuasa maksima pada 3000 watt. Ditempatkan dalam kotak untuk bunyi maksima serta efisien ditiunkan pada 35 Hz untuk kesesuaian citarasa Indra yang meminati muzik pelbagai genre. Bagi memandu woofer ini pula, seunit amplifier monoblock Harmonic Drive HD 2500.1 telah digunakan.

Tanpa pemain utama yang bagus sistem audio dalam kereta tidak akan bermakna kecuali installer benar-benar mahir membuat talaan atau anggota lain sistem ICE perlu jauh lebih mantap. Pemain utama untuk sistem ICE yang dibina untuk kereta Honda Jazz ini, Erwin mencadangkan Indra menggunakan Pioneer P80 RSII. Pemain ini mempunyai sistem pasif 3 way dan equalizer grafik 16 band dengan pemasa. Selain itu, bagi menambah fungsi multimedia, seunit pemain Panasonic TV/DVD CQVD7001W disambungkan menerusi aux pada pemain utama Pioneer tadi.

Barisan speaker bahagian depan pula terdiri dari tweeter ribbon dan mid bass dari jenama Fabulous Acoustics yang sememangnya terkenal dengan penghasilan bunyi yang ‘crisp’ dan semulajadi. Seunit amplifier 4 channel Gramond yang membekalkan 100 x 4 watts dialirkan kepada barisan mid bass dan tweeter ribbon. Satu unit kapasitor digital 5 farad digunakan untuk memberikan kestabilan tenaga dan mengawal penggunaan voltan pada sistem.

Sementara untuk kabel speaker, Erwin menggunakan speaker yang lazimnya dipakai untuk kegunaan di rumah, kabel speaker Furutech bersama penyambung RCA Monster Cable dan wayar kuasa DC 0 AWG. Fius membawa tugas yang berat kerana digunakan untuk memastikan penggunaan ‘amperage’ yang betul untuk keselamatan sistem ICE.

Sistem ini dibina berpandukan kehendak dan keperluan Indra. Seunit enclosure custome made untuk subwoofer dan A pillar untuk tweeter dihasilkan menggunakan gelas fiber dan MDF setebal 2 cm. Manakala custom baffle diletakan pada sudut yang tepat menempatkan mid bass dengan penggunaan LED untuk menaikkan seri pemasangan sistam ICE yang mantap ini pada waktu malam.

“Sekarang, baru saya berpuas hati,” ujar Indra. “Pemasangan ekstrem, tapi masih boleh digunakan untuk aktiviti harian. Saya juga boleh mencapai tayar ganti dengan mudah,” tambahnya lagi dengan senyuman. “Sistem ICE kereta ini memang terbaik, dan memang terangkatlah, kuat gila!” kata Indra mengakhirkan perbualan.

* Artikel ini pernah disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 71