I Am Ironman
Sebuah kereta demo audio sememangnya akan diubahsuai secara ekstrem dengan installer diberi sepenuhnya kebebasan kreativiti untuk hasil kerja mereka. Tujuan sebuah kereta demo pun bagi menarik perhatian orang ramai ke arahnya dengan apa cara sekali pun. Lagi ekstrem rupa sesebuah kereta, lagi ramai orang akan bertumpu ke situ. Saya tak nafikan, hasil dari sistem audio adalah penting, tapi penampilan dari segi visual juga sangat penting bagi tujuan menarik perhatian orang ramai.
Selain daripada kereta demo syarikat audio, geng-geng autoshow pun akan menggunakan konsep yang sama bagi menarik perhatian orang ramai, khususnya juri kepada kereta mereka. Ubahsuai yang dilakukan geng ini biasanya lebih ekstrem oleh kerana kereta mereka dinilaikan pada bahagian audio saja tetapi kepada keseluruhan kereta.
Contoh terbaik ialah kereta saudara Azmi dari Leonze Motorsports dengan Proton Wajanya yang pernah memenangi tempat kedua dalam kategori Proton Extreme dan pemenang anugerah khas juri untuk ‘Best Interior’ pada pertandingan auto salon anjuran sebuah syarikat penerbitan bulan. Ia secara tidak langsung memberikan sedikit gambaran bahawa kereta ini bukanlah sebuah projek modifikasi yang ringan.
Sistem audio Waja ni dimulakan dengan pemain utama dari Pioneer din-berkembar AVH-P4400BH dengan fungsi main semua audio dan video digital bersama-sama port untuk pemain iPod. Dari sini, isyarat bunyi dihantar melalui sebuah parametric equalizer dengan 7 band yang membantu installer menala bunyi dengan sebaik yang mungkin.
Tibalah masa untuk menghasilkan bunyi yang jelas, terang dan padu – dan ini ialah tugas bagi amplifier dan speaker yang bakal dipasang. Memandangkan kereta ini menggunakan tema bebas bagi sistem audionya, installer untuk kereta ini boleh menggunakan segala kepakarannya bagi mendapatkan hasil akhir yang baik.
Bukan satu malah bukan dua amplifier yang digunakan, tetapi tiga amplifier 4 saluran digunakan untuk projek audio kereta ini! Kesemua amplifier empat saluran itu menggunakan produk dari Adams Digital yang masing-masing diletak di kawasan tempat duduk belakang kereta dan juga di dalam but belakang. Dua darinya menguasakan speaker di bahagian dalam kereta manakala dua lagi unit amplifier ditugaskan untuk memberi kuasa kepada empat unit mid bass 6” dari MB Quart dan 4 unit horn tweeter dari Prokick. Secara keseluruhan, Azmi telah memasang 12 unit mid bass yang terletak di dalam deck lid but belakang, panel pintu depan dan belakang dan juga pada papan speaker belakang.
Untuk penghasilan bunyi bass, Azmi menggunakan 2 unit woofer Prokick 12” dengan coil jenis double voice yang dihentam oleh seunit amplifier jenis monoblock Prokick yang mampu menghasilkan sebanyak 6000watt PMPO. Dua unit kapasitor juga dipasang bagi menstabilkan aliran elektrik kepada kesemua komponen audio yang dah dipasang tadi.
Mungkin bintang sebenar bagi projek audio ini ialah kreativiti pemasangan sangat ‘liar’. Installer menggunakan kreativiti sebanyak 100 peratus bagi mendapatkan hasil ini. Papan pemuka Waja dirombak 100% peratus, dibentuk semula menggunakan bahan gentian kaca yang juga menempatkan sebuah skrin TFT pada bahagian penumpang.
Kulit-kulit pintu, malah ruang yang menempatkan tempat duduk belakang diolah semula bagi menempatkan speaker, amplifier dan skrin-skrin TFT. Tempat duduk untuk Waja pun dibina semula menggunakan bahan gentian kaca dan lampu-lampu LED memenuhi ruang-ruang di dalam kereta ini.
Di bahagian but belakang, sebuah monitor LCD 32” mendominasi ruang tersebut bersama perumah khas yang menempatkan amplifier, speaker, woofer dan lain-lain aksesori audio. Kesemuanya dibuat dengan kemas dan cukup sempurna. Pilihan warna yang digunakan ialah gabungan warna oren terang dan hitam yang cukup menyerlah.
Pilihan warna tadi sememangnya secocok dengan warna digunakan pada luar kereta ni di mana Waja dipasangkan dengan bodykit widebody custom yang kesemuanya dicat dengan warna merah matte. Gaya industrial yang dipilih pemilik Waja sememangnya memberikan kelainan pada penampilan keseluruhan kereta ini. Tak lupa juga sistem audio dipasang mampu memberikan kualiti bunyi yang amat baik.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 53