Walaupun ubahsuai gaya VIP mungkin kebelakangan ni agak suram, tapi bagi peminat tegarnya, gaya ubahsuai ini tetap menjadi pilihan walau apa orang lain nak kata. Biasanya, ubahsuai kereta gaya VIP sering menggunakan kereta sedan yang besar macam Nissan Cefiro A32 ataupun Lexus LS400. Tak kurang juga yang gemarkan platform MPV besar macam Nissan Serena dan Toyota Estima sebagai asas modifikasi gaya VIP mereka.
Dengan negara Jepun diiktiraf sebagai pusat rujukan gaya VIP sedunia, kini ada satu trend gaya VIP terbaru yang muncul dari negara Thailand. Menggunakan gaya VIP Jepun sebagai panduan asas, kereta yang digunakan ialah kereta sedan bersaiz sederhana berbanding kereta sedan besar seperti di Jepun. Memandangkan Thailand kini digelarkan Detroit of the East, tak hairanlah gaya baru ni sering digunakan pada kereta keluaran Thailand seperti Toyota Vios atau Honda City.
Salah satu komponen gaya VIP yang sebenar ialah sistem audionya. Ya! Tak lengkap sesebuah kereta gaya VIP jika sistem audionya masih standard kilang. Geng-geng kereta VIP tak perlu memandu laju dan lebih gemar meluncur perlahan di atas jalan raya sambil melayan muzik pada sistem audio berkualiti tinggi. Kualiti dan jenama Rockford Fostgate sememangnya dua perkataan yang tak boleh dipisahkan. Pada sesiapa yang minat sistem audio berkualiti tinggi, maka nama Rockford Fosgate pasti akan difikirkan. Kereta Honda City generasi baru ini dijadikan asas bagi modifikasi gaya VIP Thailand (yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut sebentar lagi) dan pemiliknya hanya mahukan produk dengan label Rockford Fosgate di dalam keretanya.
Talaan sistem audio ni lebih mirip kepada talaan SQL atau sound quality level di mana kualiti bunyi dititik beratkan berbanding kekuatan bunyi yang dapat dihasilkan. Sistem ini dibina bermula dengan unit utama OEM yang hadir dengan fungsi main balik audio dan video digital. Kekemasan pemasangan menjadi agenda utama jadi dengan menggunakan unit utama OEM ini, kekemasan di bahagian papan pemuka dapat dipastikan.
Isyarat bunyi dari unit utama kemudiannya disalurkan kepada seunit amplifier empat saluran Rockford Fosgate R300-4 yang bertindak sebagai amplifier utama bagi menyalurkan kuasa bunyi stereo kepada pendengarnya. Staging ialah segala-galanya bagi talaan sistem audio seumpama ini untuk bahagian hadapan, dua saluran dari amplifier berkenaan disampaikan kepada 2 unit speaker komponen Rockford Fosgate P-165S yang diletak dalam ruang speaker OEM Honda City ini. Tweeter dari sistem komponen ini pulak diletak pada tiang-A, tempat yang cukup sesuai bagi staging bunyi yang sempurna.
Dua saluran daripada amplifier tadi tu pulak disalurkan ke belakang, iaitu di bahagian bonet belakang di mana terdapat lagi 2 unit speaker komponen P-165S dipasang. Speaker komponen ini yang datang lengkap dengan tweeter dipasang pada perumah custom yang diletak pada deck lid but belakang. Perumah yang dibina dari gentian kaca tu dibalut dengan kemasan baldu berwarna coklat dan bagi tujuan visual, sebanyak 4 unit monitor LCD dipasang pada perumah custom berkenaan.
Bagi mendapatkan bunyi bass yang padat, installer sistem audio ni memilih untuk menggunakan seunit woofer Rockford Fosgate Punch P2D4 bersaiz 12”. Woofer tunggal ini diletakkan dalam perumah custom yang dibalut dengan baldu coklat dan ia memenuhi ruang belakang but Honda City ni. Amplifier jenis monoblock diperlukan bagi menghantar kuasa yang secukupnya bagi menghentam woofer berkenaan. Installer memilih amplifier Rockford Fosgate R500-1 yang bertugas semata-mata membantu woofer 12” berkenaan menghasilkan bunyi bass yang padat dan paling penting, bersih. Amplifier berkenaan disimpan di ruang lantai but belakang dengan selapis perspex lutsinar melindunginya dari elemen luar.
Jadi apa bezanya gaya VIP Jepun dengan VIP Thailand? Berbanding dengan gaya VIP Jepun yang gemarkan bodykit yang ekstrem (lazimnya lebar dan berkepak), gaya VIP Thailand lebih gemar pada bodykit yang kelihatan flush dan kemas. Tidak keterlaluan dikatakan gaya ini dipengaruhi dengan gaya Euro yang mementingkan kekemasan rupa berbanding gaya rupa yang ekstrem.
Persamaan antara VIP Jepun dan VIP Thailand pula ialah penggunaan rim berdiameter besar, seperti Honda City ini yang menggunakan rim Work Durandal berdiameter 18” dan kereta hendaklah direndahkan semaksima yang mungkin. Penggunaan kristal boleh juga ditemui, termasuklah tray untuk champagne dan tak lupa jugak tips ekzos yang ekstrem. City ini selain daripada penampilan luarannya yang kemas, ruang dalamannya juga memang gempak dengan kesemua panel dan tempat duduk dibalut dengan kemasan kulit kombinasi warna coklat dan hitam – satu lagi resepi utama untuk gaya VIP yang sebenar. Jika anda mempunyai modal yang agak besar, maka Honda City ni boleh dijadikan bahan rujukan anda.