Berapakah yang sanggup anda bayar untuk sebuah sistem audio kenderaan yang lengkap? Jawapannya sangat subjektif. Ada orang masih berdebat bahawa sistem yang bagus lazimnya tidak datang dengan harga yang murah. Perkakasan berjenama dan bermutu tinggi yang dikeluarkan oleh pengeluar terkemuka selalunya dikaitkan dengan kualiti yang tiada tandingan. Namun dalam keadaaan tertentu, pemilihan dan talaan selalunya menjadi agenda penting. Tak kiralah samada ada produk tersebut berjenama premium atau berjenama sederhana.
Dalam sistem audio juga begitu, jika anda tidak mampu untuk membina sistem dari jenama premium, ada banyak pilihan di luar sana dalam segmen ini. Honda Accord ini adalah satu contoh mudah untuk kita memahami bahawa teknologi audio bukan milik Morel, Audison, Focal dan Mark Levinson semata-mata. Ia boleh dimiliki sesiapa yang arif dalam selok belok pemilihan produk dan juga talaan yang betul.
Bagi mendapatkan agihan yang betul, amplifier Performance PF 2400-1 jenis monoblok telah dipasangkan untuk memacu tiga unit woofer Performance PF-12DD. Set woofer ini dipasangkan di bahagian but dengan enclosure custom yang dibina terus mengisi sebahagian besar ruang bagasi but. Tanpa berkongsi kuasa dengan mana-mana speaker lain, ia adalah talaan yang tepat, menghasilkan dentuman bass yang jitu.
Di ruang yang sama kelihatan juga speaker mid Performance PF 1202 sebanyak empat unit, masing-masing dipasang di bahagian boot lid bersama dengan sepasang tweeter Performance PF-25HT. Gandingan mid bass dan tweeter ini menerima bekalan kuasa dari amplifier yang berbeza. Ini penting untuk mengelakkan ketidakstabilan antara frekuensi yang biasanya terjadi akibat bebanan kuasa yang tidak stabil pada satu unit amp. Pilihan kali ini ialah amplifier Performance PF 1202.
Bahagian but yang dilengkapi dengan peralatan Performance ini tidak dibiarkan sahaja. Kontras dengan ruang kokpitnya yang kelihatan seperti keluaran kilang. Bahagian but menampilkan jalinan warna putih dari salutan PVC, lapisan perspek menutup amplifier serta sebuah monitor LCD yang dipasangkan terus di tengah-tengah boot lid. Sebagai tambahan, tetamu ’dihidangkan’ dengan minuman keras sebagai gimik yang biasa kelihatan pada kereta-kereta bertemakan VIP.
Laluan pre-amp yang kedua dari PQ-7 pula melibatkan seunit amplifier 2 channel Performance PF 602. Ia satu-satunya amplifier yang bertindak untuk membekalkan kuasa pada dua unit mid bass berukuran 6.5” yang dipasangkan pada panel pintu depan. Memandangkan sistem kereta ini nampaknya tertumpu pada bahagian but, kualiti bunyi bahagian kokpit akan terjejas tanpa sebarang pengubahsuaian di bahagian speaker mid. Speaker PF-6-5 ini digandingkan pula dengan tweeter Performance PF-25HT.
Bahagian luaran kereta ini diubahsuai dengan sederhana dengan konsep modifikasi VIP. Tidak dinafikan, ia adalah tema yang sesuai untuk sedan bersaiz penuh ini. Bagi mengukuhkan imej tersebut, kereta ini telah direndahkan dengan suspensi bolehlaras dan dipasangkan dengan rim 18 inci Pegasus dengan tayar Talon berukuran 225/40/18. Kit badannya pula telah dibuat oleh Arashi Aerodynamic Bodykit Specialist di Johor yang turut menampilkan konsep VIP yang ringkas tetapi menarik.
Kombinasi pada Accord keluaran 1997 ini berjaya meletakkan kereta ia setanding dengan sistem yang mungkin 10 kali ganda lebih mahal daripadanya. Namun hasil akhir begini tidak akan diperolehi dalam sekelip mata. Ia memerlukan beberapa penyesuaian dan pemasangan yang betul bagi mendapatkan bunyi yang dinamik. Namun pada penghujung hari, anda akan dapat satu sistem yang bagus, bunyi yang dinamik pada harga yang munasabah. Siapa kata audio hanya untuk orang kaya sahaja?