Hiburkan Hati Dengan Cara Tersendiri


Berjaya menggegarkan persada dunia audio sama ada tempatan, serantau mahupun antarabangsa, menjadikan Dominations sebagai salah satu jenama yang meningkat naik dalam masa paling singkat dan pantas. Secara tidak langsung, menempatkan ia sebaris nama-nama besar terkenal dunia dan berpengaruh. Sebagai jenama yang boleh dikatakan masih hijau, apakah yang membuatkan Dominations mendominasi mana-mana pertandingan yang disertainya?

Rahsia atau resepi di sebalik kejayaan ini, pastinya terletak pada kualiti yang disadurkan ke atas setiap produk keluarannya. Tidak cukup hanya bersandarkan pada kualiti, minat dan kecintaan yang sejati perlu ada dalam menghasilkan setiap siri ini. Disebabkan itulah, setiap satu produk Dominations mempunyai ciri-ciri kelebihan yang tersendiri dan tampil sangat unik. Bukan sahaja pada seni binaan tetapi juga pada hasil bunyinya.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya anda dapat melihat sistem audio yang dilengkapi jenama ini di mana-mana pertandingan penting. Dominations ini juga cukup fleksibel yang bermaksud, sangat sesuai untuk diaplikasikan untuk mana-mana jenis talaan audio; SQ, SQL, SPL dan macam-macam lagi. Jelas membuktikan bahawa Dominations sememangnya jenama yang bukan calang-calang dan perlu diambil kira secara serius. Bukan main-main ya!

Mengambil kereta Myvi ini sebagai contoh, dibina dengan sistem audio talaan SQ, ia kelihatan tidak jauh berbeza dengan kereta asal Myvi yang baru dikeluarkan dari kilang. Tanpa mengenakan sebarang modifikasi ketara, Myvi ini tidak sesuai disertakan dalam sebarang pertandingan autoshow tetapi untuk audioshow yang mana perkiraannya mengkhusus kepada kualiti dan persembahan sistem audio itu sendiri.

Bermula dari bahagian kokpit di mana seunit pemain utama jenama Kenwood menjadi pemula kepada sistem audio Myvi ini. Setiap format media dibaca pemain ini diterjemahkan menjadi isyarat dan dihantar kepada pemproses isyarat digital Helix. Unit ini bertugas melicinkan isyarat sebelum dialirkan dan dipecahkan kepada 3 laluan baru; 2 unit amplifier 4 channel dan seunit woofer aktif 10” yang kesemuanya dari jenama Dominations.

Masih lagi berkisar di bahagian kokpit bagi menyempurnakan sistem SQ 3-way, seunit speaker full range 2” Dominations R50 dan seunit tweeter Dominations yang dipasangkan secara berpasangan di kedua-dua belah A Pillar. Manakala seunit mid bass Dominations RS61 dipasangkan di kedua-dua belah panel pintu dan kesemua speaker ini dikuasakan 2 unit amplifier 4 channel Dominations ES4100. Bagi mewujudkan staging bunyi yang tepat, posisi kedudukan speaker memainkan peranan yang amat penting. Bukan main suka-suka letak!

Demi keseimbangan bunyi pada sistem SQ ini, seunit woofer aktif 10” digunakan untuk membekalkan bunyi bass yang mantap. Sepertimana yang sudah diketahui, penggunaan woofer jenis ini amat praktikal; berfungsi secara 2 dalam 1, woofer aktif ini dilengkapkan dengan amplifier sekaligus menjimatkan ruang dan kos. Apa yang penting, objektif untuk menghasilkan sistem audio yang lengkap dan sempurna berjaya dicapai.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 52