Hello ‘Carrozerria’ Mafia!

Hello ‘Carrozerria’ Mafia!

Gabungan tema unik yang dipakaikan ke atas kereta kompak Kenari ini adalah salah satu faktor membuatkan ia berjaya bolos dan terpilih untuk ditatap ribuan pembaca Kar HiFi. Jangan keliru dengan nama kerana ia adalah ‘perkongsian’ dua citarasa antara Uda dan Dara.

Perhiasan Hello Kitty disaratkan untuk menimbulkan kelembutan si gadis dan ini diseimbangkan kelengkapan sistem audio yang ganas. Warna kelabu pada tubuh, hiasan grill silver di bahagian depan berserta bodykit Black Mafia berjaya mengangkat tema sekaligus mensahihkan penggunaan ‘Mafia’ sepenuhnya.

Secara keseluruhannya, sistem audio dikuasakan jenama Pioneer Carrozerria melainkan seunit amplifier dari Audio Quart. Diketuai pemain utama AVIC-HRZ008, isyarat dihasilkan pemain ini dialirkan kepada satu unit amplifier 2 channel Audio Quart AQ-HC300.2. Percaya atau tidak, untuk sistem audio Hello Mafia ini hanya satu unit amplifier digunakan. Ajaib? Bukan ajaib tetapi helah. Mungkin mustahil kerana untuk menguasakan segugusan speaker diikuti dengan 2 unit woofer, lebih kuasa diperlukan. Namun itu bukan masalah kepada installer Hello Mafia ini, TWC Car Audio & Auto Accessories yang beroperasi di Bayan Lepas.

Selain menggunakan 2 unit woofer Pioneer Carrozzeria TS-WX1200T, beberapa speaker lain turut digunakan. Bagi mewujudkan bunyi sekata dan harmoni, TWC memasang 2 unit mid bass Pioneer Carrozzeria TS-C016A di kedua-dua bahagian panel pintu, 2 unit tweeter Pioneer Carrozzeria TS-T70 pula diletak di sudut dashboard hadapan, ditemani 1 unit center speaker Pioneer Carrozzeria TS-CX900. Sebaran bunyi diluaskan dengan penambahan speaker di bahagian tempat duduk belakang dengan 2 unit speaker komponen Pioneer Carrozzeria TS-DRC1MV yang digandingan dengan 2 unit tweeter. Sebagai bonus, seunit sistem speaker ‘roof mount’ Pioneer Carrozzeria TS-X9301ZY dipasangkan.

Wah, habis semua ruang digunakan. Bagaimana bunyinya? Kalau seringkali terpilih menghiasi beberapa halaman akhbar terkenal serta sentiasa memenangi setiap acara, anda rasa bagaimana? Hebat atau tidak?