Dalam setahun mesti ada satu hari malang yang melibatkan komputer riba saya. Memang sejak dari dulu, sistem ‘pejabat’ saya bergantung sepenuhnya kepada sebuah laptop. Ia berkhidmat dengan cemerlang semenjak 3 tahun lepas. Seingat saya inilah laptop paling lama pernah digunakan. Pemprosesnya masih ‘dual core’ tapi RAM dan cakera kerasnya di’upgrade’ beberapa kali. Sebenarnya pemikiran saya sangat tradisional sebab masih setia walaupun beberapa kali rosak. Tahun lepas, pada tarikh yang sama hari ini, cakera kerasnya tidak dapat dibaca langsung dan memerlukan pembaikan serius kerana kehilangan semua data. Semua tingkat Plaza Low Yat diredah dan akhirnya tak sampai separuh datanya dapat diselamatkan. Tidaklah pelik sebab laptop ni saya pangku naik motor, terhentak-hentak dan pernah jatuh beberapa kali. Ia memang berjasa!
Setelah menukar cakera keras baru, menukar kabel kuasa yang rosak, saya pakai lagi komputer ni untuk setahun berikutnya sehinggalah minggu lepas bila baterinya langsung tak bernyawa dan LCD monitornya tiba-tiba putih semua. Memang dah sah sampai masanya ia dipencenkan dan walaupun kos pembaikannya suku dari harga laptop baru yang lebih canggih, saya tetap membaikinya. Dalam masa yang sama membeli sebuah laptop baru yang nampaknya bakal mengambil-alih tugasnya.
Sekarang lihat pada Toyota Vios yang dipaparkan ini. Sebenarnya saya tak tahu nak cerita dari sudut apa introduksinya. Kereta ni dari bahagian luar kelihatan sama saja dengan Vios yang dipandu ke pasar atau ke Putrajaya. Tak ada langsung yang membezakannya dengan Vios lain dan sememangnya saya tidak tertarik langsung.
Sebaik membuka but belakangnya kelihatan susunan peralatan audio yang sangat kemas. Penggunaan latarbelakang hitam disamping biasan neon lembut memberikan implikasi bahawa ia adalah opsyen kilang Toyota. Kerja-kerja rumit dan teliti ini tak lain tak bukan adalah hasil sentuhan RS Pro Auto Accessories yang berpusat di Kepong. Mereka memang terkenal dalam menjalankan kerja-kerja customization audio, fabrik dan juga paneling.
Sistem utama kereta ini bergantung pada pemain Pioneer DEH-80PRS yang terkenal itu. Baiklah, bila ianya siri P80 bermakna kereta ini sudah hampir pasti mengaplikasikan sistem SQ. Tidak syak lagi. Gandingan pada pemain ini ialah amplifier Mosconi dan speaker dari jenama Audio System. Dengar nama pun dah menggeletar poket keluarkan dompet, apatah lagi dipasang oleh mereka yang pakar dengan kombinasi kerjatangan yang halus dan set kabel premium.
Staging hadapan kereta bermula dengan penggantian speaker asal pada panel pintu dengan unit mid bass Audio System siri HX; HX165 Dust MKII. Audio System memang terkenal dalam menghasilkan unit mid bass terbaik dalam kategorinya. Yang saya maksudkan dalam kategori SQ premium. Panel A di kedua-dua belah kereta ini dibuat semula dengan perumah baru untuk menempatkan dua unit tweeter Audio System.
Kedua-dua mid bass dan pasangan tweeter tadi mendapat suntikan kuasa dari amplifier Mosconi siri Gladen 120.2. Amplifier ini cuma bersaiz sebesar buku teks sekolah rendah tapi kualiti binaaannya menjadi tunjang utama meyakinkan pengguna. Kuasa, kestabilan dan keupayaannya menghilangkan distorsi menjadikannya antara amplifier yang disegani dalam pasaran. Tidak seperti amplifier murah yang saiznya sebesar tingkap rumah tapi kuasa yang tersedak-sedak. Anda faham maksud saya?
Kembar kepada Mosconi 120.2 ini ialah seunit amplifier Mosconi siri Gladen 240.2 yang dipasangkan bersama dalam but belakang kereta ini. Kemasannya di bawah lapisan arkilik turut menampilkan seunit woofer Audio System 12” siri HX; HX12SQ. Memperoleh kuasa dari amplifier 240.2 tadi, penamat bagi jajaran bunyi sistem kereta ini terletak pada tangan penalanya sahaja. Itu yang akan menentukan hasilnya samada menjadi juara di EMMA atau setakat jaguh di padang letak kereta dengan suara nyaring tak tentu pasal.
Peranan RS Pro Auto Accessories memang boleh diharapkan dalam menjadikan sebuah sistem ringkas dengan keharmonian bunyi yang mengagumkan. Ia bukan sahaja bagus untuk pemandu, malah berpotensi menang dalam pertandingan. Masa yang akan menentukannya kerana kereta ini baru sahaja disiapkan bulan lalu. Berdasarkan pengamatan, saya yakin kereta ini akan membawa pulangan berbaloi untuk pemiliknya.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 75