Gathering Car Club & Autoshow @ Career Fest ILKBS Zon Timur 2019

Diadakan pada 3 dan 4 Mei lalu, Career Fest ILKBS Zon Timur 2019 ini merupakan usaha ILKBS dalam menyediakan bahan-bahan terbaik termasuk taklimat persiapan kepada para pelajar sebelum melangkah ke alam kerjaya. Program hari kerjaya ini turut melibatkan penyertaan dari para penggiat industri sendiri yang mengadakan sesi temuduga terbuka, sekali gus menjadikan IKTBN sebagai salah satu platform untuk mencari pekerjaan.

Selain sesi taklimat, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai aktiviti lain yang bertujuan untuk memeriahkan serta menghangatkan lagi tapak acara. Antara aktiviti yang disediakan pihak penganjur adalah seperti servis motosikal percuma, persembahan dikir barat, food truck, pemeriksaan kesihatan, gerai-gerai jualan, kaunter JPJ, pameran agensi-agensi kerajaan, mini dialog bersama industri, temuduga terbuka dan banyak lagi.

Bagi memperhebatkan lagi penganjuran hari kerjaya ini, pihak penganjur telah menjemput BKGK Group Event untuk mengendalikan segmen khusus untuk para pencinta dan penggiat dunia permotoran. Diadakan pada 4 Mei lalu, Gathering Car Club & Autoshow yang dikendalikan oleh BKGK Group Event menerima sambutan yang cukup meriah dari para peminat dunia permotoran sekitar negeri Kelantan.

Peluang ini digunakan sepenuhnya para peserta mempamerkan kehebatan dan keunikan kereta yang telah dimodifikasi, malah ada juga yang menyemarakkan lagi tapak program dengan iringan lagu-lagu dari sistem audio kereta masing-masing. Selain itu, para peserta turut mengambil kesempatan untuk mengeratkan lagi ikatan ukhwah dan bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan industri permotoran. Sebelum melabuhkan tirai, segmen khas autoshow ini telah diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.