Garangnya Luar Biasa

Sejak diperkenalkan, kereta kompak pertama keluaran Perodua telah berjaya mencetuskan revolusi dalam industri otomotif negara. Selain menjadi saingan paling rapat kepada kereta keluaran Proton, Kancil terus menjadi buruan dan menjadi pilihan nombor satu generasi muda.

Susuk tubuh badan yang kecil, mudah dikendali dan juga fleksibel membuatkan Kancil tergolong dalam kelas yang tersendiri. Fleksibel di sini bukan bermaksud mudah lentur tetapi mudah dimodifikasi. Malah penjagaannya tidaklah serumit kereta-kereta lain yang cepat ‘semput’ di atas jalanraya.

Pelbagai ragam dan modifikasi dapat ditemui yang dilakukan ke atas kereta bersaiz comel ini. Namakan saja, pasti ada. Sama ada mengubahnya mirip kepada kereta Daihatsu Mira mahupun mandikan dinding kancil ini dengan salutan sticker menarik beserta layangan cat ‘airbrush’. Pendek kata, apa-apa pun gerenti boleh!

Di kesempatan ini, pihak Kar HiFi bertemu dengan seorang lagi pecinta Kancil. Dengan bertemakan filem Hulk, sukar untuk mata yang memandang menafikan kewujudannya. Ditambah pula dengan mandian warna hijau, menenggelamkan kekerdilan si kancil. Kedatangan Kancil Hulk dalam hujan renyai, diringi dentuman I.C.E dengan setting SPL seakan mengimbau salah satu adegan dalam filem.

Pemilik kereta ini tersenyum tatkala keluar dari keretanya. Suasana suram dan membosankan sebelum itu terus berubah rentak dan berseri dek kerana kehadiran Kancil Hulk miliknya. Sesudah puas mata menjamah kecantikan hiasan luar kereta, tiba pula masa untuk beralih kepada bahagian yang paling penting. Bahagian apalagi kalau bukan sistem I.C.E yang menghiasi Kancil Hulk ini. Sepertimana biasa, tumpuan utama setiap sistem I.C.E adalah pemain utamanya.

Kancil Hulk tampil berbeza kerana pemilihan pemain utama agak kurang sesuai dengan jentera I.C.E yang lainnya. Pemain utama yang dimaksudkan adalah dari jenama Rohtiss. Satu jenama yang amat jarang ditemui. Mungkin disebabkan pemain utama tersebut tidak mampu memuaskan halwa telinga, pemiliknya cuba menyempurnakan tugas yang sepatutnya dilaksanakan pemain utama dengan mengambil pula preamp. Nyata dengan pemilihan preamp Mohawk sekaligus menyelamatkan keadaan.

Bagi menambahkan kecemerlangan sistem I.C.E miliknya, pemiliknya kekal memilih jenama Mohawk untuk membekalkan kuasa kepada speaker-speaker dan woofer yang ada. 1 unit amplifier monoblock Mohawk digunakan untuk memacu 2 unit woofer. Manakala seunit amplifier 4 channel Mohawk digunakan untuk menyalurkan tenaga kepada baki speaker yang lain terdiri dari mid bass dan tweeter.

Secara kasarnya, sistem audio Kancil ini agak bagus tetapi bagi membolehkan ianya menjadi yang terbaik, seeloknya pemiliknya perlu membuat pertimbangan kali kedua sama ada untuk menukar pemain utama atau pun kekal menggunakan pemain unit dari Rohtiss tersebut.

Namun tidak dapat dinafikan, keistimewaan Kancil Hulk terletak pada hiasan luarannya dan juga dalaman yang nampak seimbang. Malah, keberanian bereksperimentasi dengan penggunaan pintu ‘gunting’ serta atap terbuka melayakkan Kancil Hulk ini menyertai pertandingan dan sekaligus mengungguli pertandingan autoshow yang pernah disertainya.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 7