Gabungan Produk Berkualiti Dan Kepakaran Pemasangan Serta Pelarasan Sistem Audio

Dalam penghasilan sistem audio, kepakaran yang tinggi dari segi penalaan dan juga produk yang bermutu menjadi faktor yang paling penting untuk hasil yang mengagumkan. Ini kerana sehalus mana pun talaan yang dibuat ianya akan menghasilkan perbezaan dari segi bunyi. Bagi sistem SPL, teknik pemasangan, pemetaan komponen, penyesuaian dan penalaan perlulah diberi perhatian. Namun pada kebanyakan pemilik kereta persendirian, SPL mungkin bukan pilihan mereka.

Lain pula dengan kebanyakan kenderaan demo yang menggunakan sistem SPL. Ini kerana SPL adalah segmen buat mereka di mana ianya menjadi satu seni mencipta sebuah sistem audio berkuasa tinggi. Memang tidak banyak syarikat audio yang serius menghasilkan kenderaan demo bersifat SQ. Tambahan pula dalam pertandingan audio, kelas SQ biasanya jauh lebih kecil berbanding kategori yang dibuka untuk SPL.

Tidak dinafikan, kos yang diperlukan untuk SPL agak mahal berbanding SQ. Ini kerana komponennya agak mahal dan dengan bilangan komponen yang lebih banyak sahaja akan menentukan kehebatan kuasa untuk sistem seperti ini. Kos juga merupakan salah satu faktor yang sering menjadi halangan kepada penggemar I.C.E dalam mengejar sistem audio yang diidamkan.

Namun kini, variasi bagi produk dan komponen sistem audio memberikan peluang untuk mendapatkan sistem audio impian mereka. Munculnya pakar-pakar dalam pemasangan dan penalaan sistem audio juga memberi peluang kepada mereka untuk merealisasikan sistem audio yang diimpi-impikan.

Adams Digital boleh membantu impian ramai peminat audio kereta menjadi satu kenyataan. Sesuai dengan matlamat Adams Digital, memahami kehendak pelanggan, Adams Digital telah mempersembahkan produk-produk terbaik, secocok dengan penggemar I.C.E, dan pasti ianya di luar jangkaan. Adams Digital dapat memberikan satu kepuasan dan sudah tentu ia menepati bajet anda.

Seperti yang dapat dilihat pada Satria 1.6 yang menjadi kenderaan demo Long Shing Audio Acc Enterprise. Mungkin tidak ada apa yang menarik dari segi persembahan struktur kereta. Namun bukan kuasa persembahan prestasi strukturnya yang ingin diketengahkan tetapi kelebihan kuasa audio yang dimilikinya. Sebagai pengedar atau penjual barangan Adams Digital, tidak hairanlah jika satria ini telah disaratkan dengan komponen audio dari jenama Adams Digital.

Komponen paling penting dalam Satria ini adalah unit pemain utama yang digunakan, DEH-D7450MP dari Pioneer yang mampu memainkan format MP3 dengan baik. Isyarat dari pemain utama ini seterusnya diproses oleh 2 unit pre-amp Adams Digital AD100MS dan AR 100N yang seterusnya disalurkan kepada 5 unit amplifier monoblok untuk kawalan bunyi yang lebih baik.

Selain untuk mendapatkan sokongan bass, 2 unit amplifier monoblok kelas D dengan nisbah kuasa 50/900/1500 watt dari Adams Digital KPT 1500D dipasang bagi memacu 4 unit woofer dari Adams Digital ADW 6512C(D). Manakala 3 lagi unit amplifier dari Adams Digital ADS-80.2 berfungsi untuk mengendalikan 6 unit speaker. Seunit amplifier yang dipasang berfungsi untuk memacu 4 unit speaker Adams Digital AD5.IT5 di bahagian hadapan. Satu lagi unit amplifier dipasang untuk memacu 2 unit speaker dari Adams Digital AD65CX yang ditempatkan di sebelah kiri dan kanan kotak woofer.

Bagi speaker yang dipasang di bahagian pintu, seunit amplifier telah berfungsi untuk memacu 2 unit speaker dari Adams Digital AD650M dan 2 unit speaker dari Adams Digital ADC 650. Speaker ini juga ditempatkan bersama 4 unit horn tweeter. Semua komponen ini telah digabungkan untuk memberi satu hasil yang membanggakan. Pastinya anda dapat membayangkan bagaimana bunyi yang dihasilkan. Sudah tentu ianya menggegarkan. Inilah hasilnya apabila produk yang bermutu digabungkan dengan pakar dalam pemasangan dan pelarasan sistem audio.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah KarHiFi edisi pertama (Mei, 2009)