Forte The Dominations


Peter Schreyer adalah orang asing pertama dilantik menjadi presiden Kia Motors Corporation. Memulakan kerjayanya sebagai Pengarah di Pusat Rekabentuk Kia, beliau yang terkenal dengan rekaan Audi TT mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan rekabentuk. Dilahirkan di Jerman pada 1953, Peter Shreyer dianggap individu yang mengubah halatuju dan bahasa bentuk kereta-kereta keluaran Kia secara amnya.

Pengaruh rekaan yang digelar ‘Kee’ itu telah lahir pada awal model Forte yang diperkenalkan pada Pameran Automotif Frankfurt 2007. Dari situ, Kia tampil dengan identiti tersendiri berbanding rekaan sebelum ini yang terlalu terikut-ikut dengan tema segmentasi kereta Jepun atau Eropah. Kejayaan ini juga telah meletakkan model-model Optima K5 dan Ce’ed begitu laris di Amerika Syarikat dan juga benua Eropah.

Forte ialah sebuah kereta dengan gaya yang tersendiri. Buat pertama kalinya di Malaysia, kereta Kia di bawah pemasaran Naza Motor membuat kejutan dengan mengutip pasaran besar dalam segmen C kereta penumpang tempatan. Ia laris bak goreng pisang panas dan dalam sekelip mata, banyak kereta ini diubahsuai menjadi lebih sporty dan menarik.

Di sini, ditampilkan salah satu dari ribuan Forte di jalanan. Mengambil tema pengubahsuaian juga tetapi lebih fokus terhadap sistem audio. Pemain utama jenis 2-din yang didatangkan sekali bersama Forte ini tidak diusik sebaliknya seunit pemain Pioneer DEH-80RS (80RS) dipasangkan sebagai pelaras sekunder. Ruang yang ditinggalkan antara konsol tengah dan laluan gear dimanfaatkan dengan sebuah perumah khas yang menempatkan pemain Pioneer tadi.

80RS adalah seunit pemain aktif yang tak perlu diperkenalkan lagi. Dengan kemampuan penala, jajaran bunyi, pengimbangan hala-bunyi yang optimum, ia adalah pemain yang tidak akan gagal dalam sebuah sistem SQ sederhana. Kesemua penalaan ditumpukan di sini sementara pemilihan peralatan speaker dan woofer pula yang perlu dibuat dengan betul.

Staging bunyi kereta ini dibuat hanya untuk bahagian hadapan. Peringkat pertama ialah memasangkan seunit woofer aktif berukuran 10” di bahagian kick panel penumpang hadapan. Woofer aktif 10” ini dipasang di bawah glove box dalam perumah yang ditempah khas supaya konfigurasi kabin asal kereta ini dapat dikekalkan. Memandangkan woofer ini bertindak sebagai unit aktif, pemotongan frekuensi dan penalaannya dijalankan terus dari pemain 80RS tadi.

Pemantauan seterusnya ialah mencari kaedah terbaik menghasilkan bunyi set mid dan frekuensi tinggi. Menggunakan dua unit amplifier 4 channel Dominations RS4300 yang dipasangkan dalam but belakang, ia menyambungkan kuasanya kepada mid 6” Dominations Sadewa dan juga speaker full range 2” Dominations R50. Sadewa mungkin kedengaran pelik, tetapi tahukah anda signifikan di sebalik penggunaan nama ini?

Sadewa adalah salah satu tokoh Pandawa Lima dalam kisah Mahabharata; epik sanskrit tertua India. Beliau merupakan Putera bongsu dan paling bijak. Justeru itu, ia memperlihatkan signifikan pemilihan nama Sadewa sebagai salah satu nama dalam produk Dominations yang berasal dari Indonesia ini. Kehebatan Sadewa diterjemahkan ke atas mid 6” yang digunapakai untuk sistem audio Forte ini.

Mid 6” Sadewa tadi dipersiapkan dengan perumah tebatan khusus dengan kayu setebal setengah inci pada panel pintu hadapan. Kesemua laluan pendawaian disambungkan sebaik mungkin dengan kabel berkualiti tinggi. Speaker full range 2” tadi pula dipasangkan pada perumah khas sebelum dilekapkan pada kedua-dua bahagian pillar hadapan. Beberapa pengubahsuaian kecil dibuat supaya pemasangan tadi kelihatan rapi dan seolah-olah ia aksesori asli yang dikeluarkan kilang Kia.

Kombinasi pemasangan ini diteruskan dengan penempatan set amplifier dan kotak fius di bahagian but belakang. Pemilihan pemasangan woofer di depan memungkinkan ruang bagasi belakang kereta ini sama seperti asal. Akhir sekali, latar belakang arkilik dibiaskan dengan cahaya dari bulb LED dari jajaran warna berbeza.

Menjadi juara dalam kategori Experience 10K dalam pertandingan EMMA Heat 2 adalah pencapaian terbaik kereta ini. Menurut pemiliknya, perancangannya telah mencapai matlamat dan kini beliau dalam persediaan untuk memburu kejuaraan dalam kelas lebih tinggi. Masih merahsiakan projek masa depannya, tapi kami yakin kereta ini akan lahir dalam versi yang lebih kompleks lagi.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 41