Festival Belia Motorshow 2019

Bermulanya cuti sekolah, pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan untuk memberi ruang kepada golongan muda khususnya remaja untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah sekali gus menghindarkan diri dari terlibat dengan gejala kurang sihat. Kesempatan ini turut digunakan oleh para penganjur dunia modifikasi permotoran yang tidak pernah berhenti menyediakan program untuk golongan remaja ini mempamerkan kehebatan masing-masing.

Bertempat di Sentral Bazar Nilai 3 telah berlangsungnya Festival Belia Motorshow 2019 yang diadakan pada 23 dan 24 November lalu oleh Fatihah Event Management & Trading bersama Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Taman Panchor Jaya dan BKGK Event. Sebanyak 4 segmen utama telah dibahagikan kepada 2 hari ini di mana hari pertama dikhaskan untuk segmen Stance dan Audio. Manakala untuk hari kedua pula dikhususkan untuk segmen Autoshow dan Car Club.

Bagi memastikan penganjuran festival ini berjalan lancar, pihak penganjur turut menerima sokongan penuh dari barisan para penaja yang terdiri dari KL Audio Team, Kings Lubricant, MH Images dan Touch Oil selain majalah Kar HiFi selaku media rasmi. Lebih istimewa lagi, festival ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Taufek Bin Abd Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Pembangunan Belia dan Sukan yang juga EXCO & ADUN Ampangan Negeri Sembilan.

Pelbagai modifikasi kereta dapat dilihat memenuhi tapak acara di Bazar Nilai 3 yang lebih dikenali sebagai syurga beli-belah ini. Kehadiran para pencinta permotoran khususnya modifikasi kereta menggunakan kesempatan ini melihat kereta-kereta yang menyertai setiap kategori yang disediakan. Penganjuran festival ini secara tidak langsung menjadi platform kepada penala audio atau pemodifikasi kereta mempamerkan hasil kreativiti masing-masing. Dalam masa yang sama, menyuntik semangat kepada golongan belia agar menggunakan kemahiran mereka dengan cara yang betul.