Bermula dengan kapasitor, Lightning Audio kini menjadi salah satu jenama besar dalam dunia audio. Kualiti yang dihasilkan Lightning Audio berjaya mencipta pengikut setianya yang tersendiri. Disebabkan pengaruh kuatnya yang mencengkam kebanyakan peminat audio, Lightning Audio turut menjadi mangsa kepada imitasi.
Namun, apa yang ada pada sistem audio kereta Saga BLM ini semuanya adalah datang dari Lightning Audio tulen. Ia dibuktikan dengan hasil bunyi yang menghiasi setiap ruang Saga ini di saat pemain utama Pioneer siri DEH-P80RSII dihidupkan. Terkenal kerana kecemerlangannya, pemain utama ini dibantu oleh 2 amplifier; seunit amplifier 4 Channel Lightning Audio LA-4200 dan seunit lagi amplifier monoblock Lightning Audio LA-1000.
Dua unit amplifier ini memacu kuasa untuk speaker komponen dan woofer dari Lightning Audio. Bagi membangkitkan keharmonian bunyi, speaker komponen LA-1652-S digunakan. Dipasangkan mengikut posisi yang menepati ‘staging’ dan sekaligus memberikan keselesaan mendengar. 2 unit tweeter dipasangkan di bahagian pillar dan 2 unit mid bass ditempatkan di panel pintu di bahagian kiri dan kanan.
Bagi memantapkan bunyi bass, seunit woofer 12” LAD-412 digunakan yang dipacu seunit amplifier monoblock Lightning Audio tadi. Woofer ini sekaligus memberikan keseimbangan dan menyempurnakan sistem ICE pada Saga BLM ini. Penggunaan seunit woofer ini sudah cukup dan menepati sistem talaan untuk Sound Quality.
Secara jujurnya, tiada apa yang menarik. Bukan pada bahagian luaran, mahupun susun atur dalamannya. Biasa sahaja. Kalau dilihat dari yang tersurat, Saga BLM ini tidak akan mampu menarik perhatian berduyun-duyun pengunjung sekiranya ditempatkan dalam pertandingan autoshow. Tetapi jika dilihat dari sudut bunyinya, ia menang dari satu segi. Kesempurnaan.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 35