EMMA Malaysia Final 2018


Debaran dan penantian untuk mengetahui juara sistem audio dan modifikasi paling cemerlang sepanjang musim 2018 akhirnya terjawab pada pusingan akhir EMMA Malaysia yang diadakan baru-baru ini. Pusingan akhir ini dianjurkan dengan kerjasama EMMA Malaysia dan Messe Frankfurt Malaysia sempena penganjuran pameran Automechanika 2019 yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 21 Mac hingga 23 Mac lalu.

Berlangsung pada 22 Mac dan 23 Mac lalu, pusingan akhir EMMA Final ini disertai para peserta dari seluruh negara yang mengikuti siri pertandingan EMMA sejak awal dan mempamerkan persembahan terbaik sekali gus menutup musim 2018 dengan cemerlang. Turut hadir adalah barisan para juri profesional yang dijemput khas dari serata dunia bagi menentukan sistem audio serta penala yang layak pulang sebagai pemenang.

Diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pertandingan pusingan akhir EMMA ini diketuai saudara Adrian Dela Merced Malaban dari Filipina selaku ketua juri. Beliau bukan sahaja dikenali kerana kepakarannya, malah turut disegani para peminat dan penggiat dunia audio kereta ekoran pengalaman yang luas. Beliau turut disertai barisan juri yang lain termasuk Mickey Pascual, juga dari Filipina.

Sebagaimana penganjuran yang lepas, pusingan kali ini turut menerima tajaan dari beberapa jenama hebat dunia audio termasuk Climate Co. dalam memastikan pertandingan akhir EMMA berjalan lancar. Selain pertandingan audio, tapak acara dimeriahkan lagi dengan pelbagai menarik dan dalam masa yang sama, memberi ruang kepada para peserta untuk mengurangkan debaran menunggu keputusan. Antara aktiviti yang menyemarakkan lagi tapak acara adalah Auto Nitz Party yang berlangsung cukup meriah.

Dimulakan seawal pukul 7.30 pagi dengan sesi pendaftaran, para peserta mempamerkan sistem audio dengan kualiti bunyi yang cukup baik hasil persediaan selama beberapa bulan sebelum pertandingan ini berlangsung. Lebih menarik lagi, pusingan kali ini menyaksikan kehadiran dan penglibatan motor berkuasa tinggi yang dilengkapi sistem audio dan menjadi salah satu daya tarikan kepada para pengunjung yang dan mengambil peluang untuk merakamkan gambar kenangan.

Di kesempatan ini, pihak Kar Hifi ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang berjaya mengadakan pertandingan audio dan menjadi ruang untuk para peminat serta penggiat dunia audio mengukur kehebatan masing-masing. Semoga pertandingan EMMA akan terus diadakan di masa hadapan. Tahniah juga kepada para peserta yang ditabalkan sebagai pemenang khususnya Elite Sound Audio Design & Accessories yang berjaya mempertahankan kemenangan sebagai EMMA Malaysia King Of Sound Champion selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2017.