Dr Meet Audio

Wah, tajuk dah macam band popular Malaysia Meet Uncle Hussain pulak. Mungkin tidak popular seperti band yang pernah menggegarkan industri muzik tanah air satu ketika dulu tetapi pemilik yang juga peminat kereta Waja ini bukan baru di persada dunia modifikasi kereta dan audio. Terkenal di kalangan peminat audio khususnya di bahagian utara Malaysia, jejaka ini antara yang aktif bermain audio dan menyertai aktiviti-aktiviti modifikasi kereta bersama kelabnya, Bambush Revamp Motorsport.

Semasa membuat liputan untuk Karnival Auto City yang berlangsung pada Julai lalu, kami bertemu beliau yang datang bersama beberapa lagi rakan Bambush Revamp Motorsport yang memeriahkan penganjuran karnival ini. Kesempatan ini digunakan untuk meninjau lebih dekat kereta Waja milik jejaka kelahiran Pulau Pinang yang telah menjalani proses modifikasi secara menyeluruh.

Bagi makluman anda, Waja ini adalah milik seorang doktor. Beliau pernah bertugas sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan di Alor Setar dan kini, beralih ke alam perniagaan pula. Siapa sangka, seorang doktor sepertinya boleh meminati dunia modifikasi kereta dan audio. Baru sahaja berusia 35 tahun, Dr. Vimal mula berminat bermain audio dan mengubahsuai kereta sekitar tahun 2011.

Penyertaannya bersama kelab Bambush Revamp Motorsport memberikan beliau peluang untuk mengetahui lebih lanjut dan membawanya lebih dekat dengan dunia modifikasi serta perkembangan terkini dunia audio. Jadi, tidak hairanlah kereta Waja miliknya ini telah dimodifikasi dengan cukup kemas dan teliti. Jika anda terpegun melihat kekemasan pada luarannya, kekemasan yang sama dikekalkan di bahagian dalamnya. Bagi mendapatkan hasil seperti dapat dilihat pada kereta Waja ini, Dr. Vimal menggunakan khidmat Jason Excellent Sound dan Venis Car Bodykit.

Tidak perlu pelekat bertema, pelekat paling mahal adalah namanya sendiri yang ditampal di bahagian cermin depan dan belakang. Di bahagian dalamnya, tampil elegan dengan pembalut kusyen custom made, gabungan warna krim dan coklat. Susunan aksesori audio pula cukup teliti dan juga bijak. Misalnya, kerusi penumpang di bahagian belakang yang ditebuk untuk menghubungkan bahagian belakang bonet dengan ruang dalam kereta. Bukan ditebuk saja-saja tapi untuk menanam dua unit woofer dalam sebuah perumah khas. Hasilnya? Kesan yang menyeluruh.

Jarang saya temui kereta yang dipasangkan kedudukan speaker begini. Kebanyakannya yang saya lihat, sama ada tanggalkan terus kerusi di bahagian belakang ini atau segala woofer dipadatkan di bahagian bonet. Mungkin ada kereta lain yang menggunakan teknik posisi yang sama tetapi tidak saya ketahui. Jujurnya, inilah kali pertama saya jumpa sistem audio seperti ini. Tahniah Dr.Vimal.

Tanpa mengorbankan kerusi belakang, sistem audio pada kereta ini mampu menghasilkan sistem bunyi yang menyeluruh dan padu. Penumpang pun masih boleh duduk, itupun kalau Dr.Vimal tak pasang volume penuh. Kalau tak, bergegar jugak dibuatnya. Mahu berdiri tegak rambut di kepala. Tidak lupa juga, pemasangan rooftop sebagai nilai tambah keistimewaan kereta milik Dr. Vimal ini.

Bagi mendapatkan sistem audio yang menghasilkan dan mengalunkan muzik yang sempurna, Dr.Vimal telah memilih Jason Excellent Sound. Manakala sistem talaan yang dipilihnya adalah Low Bass Inner SPL. Dimulakan dengan pemain utama Pioneer AVH-X1750DVD yang diagihkan terus kepada barisan amplifier tanpa menggunakan pre-amp. Sebanyak dua unit amplifier dari jenama Mohawk iaitu seunit amplifier 4 channel dan seunit lagi amplifier monoblock. Laluan pertama didahulukan dengan amplifier 4 channel yang memacu 4 unit mid bass Mohawk dan 4 unit tweeter Harmotech.

Kesemua speaker mid bass dan tweeter ini pula dibahagikan kepada dua bahagian; depan (kabin) dan belakang (tempat duduk penumpang belakang). Setiap satu unit mid bass dipasangkan di kedua-dua belah panel pintu, begitu juga dengan seunit tweeter untuk satu panel pintu. Kemudian, dua unit mid bass diletakkan di bahagian belakang, menadah ke atas. Seterusnya 2 unit woofer Cadence yang dipacukan oleh seunit amplifier monoblock tadi.

Jadi, apa yang dapat kita belajar menerusi Waja milik Dr. Vimal ini? Biar nampak ringkas tapi cukup sempurna. Setuju?