“Speaker yang banyak belum tentu menjamin bunyi yang lunak.”
Terma ini diguna oleh banyak installer audio moden hari ini. Pada ketika teknologi audio semakin maju dan pemilihan komponen audio menjadi semakin rumit, orang jarang melihat fakta asas pembikinan sebuah sistem audio yang betul. Banyak teori salah yang masih dipertahankan padahal kalau berbalik pada pengurusan sistem asal, pembinaan audio yang betul jarang mengambilkira kesinambungan dari peralatan, corak pemasangan dan penalaan.
Mendapatkan pemasang yang betul juga satu dilema kerana semuanya bergantung kepada pengalaman installer itu sendiri. Sebab itu juga saya begitu selesa bila dihubungi pihak RS Pro setiapkali sesebuah kenderaan pelanggan mereka siap dibina. Ia sudah pasti satu hasil kerja yang sempurna dengan bunyi yang cemerlang sebagaimana hasil kerja mereka yang pernah kami paparkan sebelum ini.
Sebagai salah satu dealer utama produk audio Dominations, RS Pro terkenal dengan kepakaran mereka membina sistem audio Sound Quality (SQ). Pemilik kereta ini telah mendapat rekomendasi dari temannya yang telah pun lama mendapat khidmat dari RS Pro. Testimonial yang jelas, membawa beliau ke premis RS Pro di Kepong untuk menaiktaraf sistem audionya juga. Lebih kurang kes terjebak dengan pengaruh kawan-kawanlah.
Kereta ini bertugas sebagai kereta harian dan kereta keluarga, justeru pemiliknya memilih pemain Alpine Dvd jenis 2-din yang mana sekali-sekala memainkan cereka kartun Tom & Jerry ketika bersama anaknya. Namun bila bersendirian, beliau menukar wajah audio ini kepada simulasi bunyi kualiti yang sangat terang dan harmoni.
Pemain Alpine tadi disambungkan kepada pemproses Imprint PXA-H100 yang juga dari Alpine. Tidak dinafikan lagi, ini adalah pemproses yang boleh diharap bagi sistem pasif Alpine. Mungkin tidak sebagus rangkaian aktif yang lain, namun jika anda serius mahu kesan khas bunyi sehampir 5.1, alat kecil ini boleh membantu. Dari Imprint ini barulah signal dipecah dan diperkuatkan oleh 2 unit amplifier kelas AB dan D.
Amplifier 4 channel Dominations dari Racing Series RS4300 digunakan sebagai aplikasi kuasa kepada unit staging hadapan. Seperti yang dapat dilihat dalam foto, sistem 2-way speaker asal kereta Civic ini digantikan dengan perkakasan speaker komponen 6” Dominations yang dipasangkan di bahagian panel pintu. Manakala tweeter Dominations pula ditempatkan di kedua belah A Pillar. Satu dari setiap channel ini menghantar sambungan kuasa kepada setiap unit speaker yang digunakan. Jelas, ‘distortion’ akibat masalah kekurangan kuasa bukanlah satu masalah.
Amplifier monoblock Dominations Racing Series RS5000D digunakan untuk seunit woofer Dominations 12”. Sepertimana yang disebutkan sebelum ini untuk sebuah kenderaan yang masih setia sebagai kereta keluarga, ruang adalah sesuatu yang tidak mahu dikorbankan. Justeru, hanya seunit woofer dipilih dan dipasangkan di bahagian sisi.
Namun, kemampuan woofer ini tidak harus dipandang sepi. Pada pandangan mata kasar (kerana terbatas dek kerangka perumah custome made yang menyembunyikan fizikal sebenar) woofer ini sama seperti siri woofer yang lain. Kalau anda fikir begitu, anda salah! Hal ini kerana, ia merupakan woofer nipis dari siri D’LITE ZlimmerBoomers. Tipis tetapi bisa menghasilkan dentuman yang kencang! Dan ternyata ia memang benar. Sangat benar!
Sentuhan RS Pro memang jelas dengan corak pemasangan yang teliti dan juga kemasan penutup woofer yang menarik. Kedua-dua amplifier tadi ‘ditampal’ pada belakang kerusi dengan aksesori yang terbabit dalam sistem pendawaiannya. Tiada lampu neon atau LED berlebihan. Penempatan dan balutan semula dibuat kemas dan praktikal malah tayar ganti masih boleh dikeluarkan bila perlu tanpa sebarang masalah!
Sejujurnya kita perlu berterima kasih dengan teknologi kerana teknologilah yang mampu menjadikan setiap unit audio hari ini lebih kecil dan kompak. Walaupun hanya kurang 5 minit mengamati kualiti keluaran audio kereta ini saya yakin pemiliknya pasti gembira. Tanpa menggunakan ruang yang berlebihan, sebuah kereta boleh menjadi hobi yang menarik diteruskan walaupun anda telah berkeluarga dan tidak mampu memiliki 2 buah kereta.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah KarHifi edisi 32