Dilengkapi Sistem Audio Yang Hangat Dan Cemerlang

Mungkin ramai yang tidak sedar, ketika krisis ekonomi Asia melanda pada 1997, banyak syarikat yang gulung tikar. Beban hutang yang bertambah, permintaan yang merudum jatuh, lebihan defisit dan kredit jangka panjang yang melambung tinggi menyebabkan kebanyakan negara terpaksa bergantung harap pada bantuan IMF. Lebih maju sesebuah negara itu, maka kebergantungan ekonomi terhadap produk dan perkhidmatannya semakin rapuh. Negara yang tidak mempunyai sumber bumi menjadi lebih teruk di mana sumber kekayaannya adalah berdasarkan produk dan perkhidmatan semata-mata. Apabila kadar apungan semalaman (OPR) melonjak tinggi, hutang yang sepatutnya dibayar sedikit menjadi berkali ganda banyaknya, sedangkan dalam masa yang sama produksi berjalan dengan permintaan yang jauh lebih rendah kerana kuasa beli yang berkurangan.

Industri automotif tidak terkecuali. Hyundai dan Kia, dua musuh yang saling bersaing bagi industri automotif Korea Selatan akhirnya bergabung demi mengelakkan mereka dari jatuh bankrap. Di Jepun, Nissan hampir lumpuh di mana produksi mereka banyak yang tersadai di gudang dan pelabuhan. Kejuruteraan cemerlang yang mereka nikmati dalam dekad 90-an hampir hilang begitu sahaja, sehinggalah syarikat Perancis, Renault datang menyelamatkan keadaan. Renault melihat Nissan sebagai peluang untuk berkongsi teknologi, malah dengan sumber yang mereka miliki, mereka berjaya membida sebanyak 44.4 peratus pegangan dalam empayar tersebut. Itu memberi peluang kepada Renault memiliki majoriti saham dan menjadi peneraju dalam membuat sebarang keputusan mengenai halatuju empayar ini.

CEO Nissan yang baru dilantik pada 1999, Charles Ghosn tanpa berselindung mendakwa memang beliau kagum dengan produk-produk yang pernah dipasarkan oleh Nissan. Berbeza dengan Lembaga Pengarah berbangsa Jepun Ghosn mempunyai strategi yang sukar dijangka. Beliau mengumumkan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan oleh mana-mana empayar automotif Jepun, beliau akan membawa Nissan menyaingi Porsche.

Semua orang tahu bahawa Porsche dan Nissan datang dari dunia yang berbeza. Ia ibarat mencipta jenama Tongkat Ali untuk melawan Pepsi. Sesuatu yang mustahil, namun Ghosn tidak langsung ragu-ragu dengan rancangannya dan membuat hebahan awam bahawa beliau mahu mencipta sesuatu yang boleh menjadi benchmark Porsche Boxster. Tidak mahu orang ramai melihat model baru tersebut hilang identiti Nissan-Jepun, beliau memilih lagenda Nissan coupe, Fairlady.

Nissan 350Z adalah contoh kejayaan di mana ia boleh dijual pada harga USD26 ribu sahaja. Ia hanya 1/3 dari harga Porsche Boxster. Model ini dihasilkan dengan tiga konsep yang disatukan. Ia menggabungkan rekabentuk Eropah, gaya Amerika dan DNA Jepun. Hasilnya, coupe bulat dengan hud depan yang panjang, tempat duduk 2+2 dan enjin NA V6 yang berkuasa 280hp.

Ia diminati di seluruh dunia. Di Malaysia, salah seorang usahawan berpengaruh telah bertuah menjadi pemilik mutlak model ini. Tampak bagaikan mafia dengan warna flat black. Benar, ia mengubah warna ‘rasmi’ kereta ini, oren yang dikenali di mana-mana sahaja di dunia. Warna hitam ini lebih menyerlah bila digandingkan dengan bodykit lengkap dari Veilside merangkumi bumper hadapan dan belakang yang aerodinamik, skirting sisi dan lengkungan roda baru dengan ukuran 120 mm lebih lebar daripada spesifikasi asal.

Lid belakang coupe ini dibiarkan kosong tanpa spoiler. Walaupun kit asal Veilside ini memang dilengkapi pembias udara yang lebar, ia telah ditanggalkan untuk menampakkan lengkuk badan kereta yang kosong, beralun dan ‘bersih’. Kebanyakan kereta sports Eropah tidak memerlukan spoiler besar menurut pemiliknya, jadi bagi sebuah kereta yang memang direka untuk kelihatan sporty dan eksekutif, tidak menggunakan spoiler adalah sesuatu yang wajar.

Penambahan rim roda baru telah meninggalkan ruang kosong untuk diisi dengan rim sports yang harus lebih besar ukurannya. Rim Pegasus EXE berdiameter 20 inci dipadankan bersama tayar Toyo 245/35/20 Toyo Proxes T1R di keempat-empat sudut, sekaligus berjaya saling melengkapi kit badan asalnya. Sistem suspensi dan breknya dipertingkatkan pula absorber bolehlaras HKS Hipermax dan brek lengkap dari Greddy. Anda boleh lihat bahawa kereta tiada cacat celanya, justeru memotret gambarnya menjadi sangat mudah kerana ia sebuah kereta yang sporty di keliling latarbelakang yang bersih.

Kelengkapan kereta panas sebegini pastinya tidak sempurna tanpa sistem audio yang cemerlang. Bagi membawa pendengaran pemandunya ke dimensi baru, sistem asal kereta ini telah disempurnakan dengan pemasangan pemain uutama DVD 2DIN bermonitor Sony. Model yang dipilih ialah XAV-W1 yang turut menghantar isyarat sama kepada monitor asal yang dibuat built-in pada sistem asal kereta ini. Amplifier Monoblock MB Quart RAB 1450 kemudiannya mengambil alih isyarat dari pemain untuk diperbesarkan kuasanya sebelum dihantar ke subwoofer MB Quart 10 inci RSH 254. Bagi memastikan setiap dentuman bass low pass yang dihasilkan berbunyi mantap, setiap satu sub ini dipacu oleh satu amplifire. Ia mampu mengelakkan kehilangan kuasa atau bunyi yang kurang solid.

Gelombang midrange untuk sistem ini pula dialunkan oleh sepasang pembesar suara MB Quart QSF216. Pembesar suara 6 inci ini merupakan rangkaian model premium MB Quart yang juga dikenali dengan siri Nano. Ia bukan sahaja mampu menghasilkan bunyi yang bersih dan terang, namun bila digabungkan pasangan amplifier 2 channel PAB 2100 dan talaan yang betul, anda pasti menyangka bahawa bunyi yang terhasil datangnya dari banyak pembesar suara dari banyak sudut pemasangan. Walhal hanya dua unit sahaja speaker ini dipasangkan pada garis bahu ruang belakang. Walaupun sistem yang dibina ini amat asas jika anda melihat pada diagramnya, namun struktur binaan, lokasi dan pemilihan produk yang betul menghasilkan keharmonian bunyi yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Sehingga ke hari ini di mana 350Z telah digantikan dengan 370Z (yang lebih pendek dan lebar), Fairlady tetap diingati sebagai model pasca Nissan moden yang telah memberi imej baru pada kereta sports Nissan. Ia menjadi model cemerlang di Asia kerana rekaan unik dan eksotik dalam pasarannya. Saya percaya, ramai antara yang mengidam untuk memiliki kereta ini satu hari nanti. Ia termasuklah orang yang bertanggungjawab menaip artikel ini.