Lengkap Dengan Mesin Asap Dan Lampu-Lampu Disko

Satu ketika dulu, Honda Civic EG pernah mencetuskan fenomena dalam dunia permotoran khususnya peminat kereta di Malaysia. Kebangkitan Honda terserlah dengan kelahiran generasi Honda keempat, Honda DX yang lebih dikenali sebagai Honda mayat di kalangan peminat tempatan. Kemudian, diganti pula dengan Honda Civic EG. Tahun awal 90-an merupakan kemuncak Honda Civic EG yang tampak sporty dan secocok dengan jiwa anak-anak muda.

Era kehangatan Honda Civic EG telah pun berlalu dan mula kebah, ekoran perubahan dan kelahiran generasi Honda baru. Namun, Honda Civic EG masih mempunyai tempat yang istimewa serta merupakan lagenda kepada peminat-peminatnya dan Aziz merupakan antara insan yang masih setia dengan kereta model Honda ini.

Kereta ini dimodifikasi pada kedua-dua bahagian struktur kereta dan juga pada bahagian sistem audio. Kreatif!Modifikasi yang dilakukan adalah seimbang antara struktur kereta juga sistem audionya. Namun, bahagian yang paling menarik, tentu sekali pada bahagian sistem audionya yang terbukti mampu menenggelamkan bunyi yang dihasilkan oleh PA System. Memang hebat!

Saudara Aziz Ahmad atau lebih senang dipanggil Aziz, menjadi penggemar tegar ICE sejak dua tahun lalu. Beliau telah memiliki Honda Civic EG sejak tahun 2000 dan mula melakukan modifikasi sistem audionya pada tahun 2007 hasil sokongan kawan-kawan yang berkongsi minat serupa. Bekerja sendiri, beliau membelanjakan kos agak tinggi untuk modifikasi kereta ini iaitu sekitar RM25,000. Berpeluh juga bila mendengar kos yang dilaburkan beliau. Namun begitu, kos yang dikeluarkan tidak terasa mahalnya sebaik sahaja beliau melihat hasil yang mampu memberikan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Oleh kerana minatnya yang terlalu tinggi, Aziz telah mendaftar diri dan menjadi ahli kelab ‘Team Pro’ dan juga Kelab Belia dan Sukan. Beliau juga tidak ketinggalan untuk menyertai setiap pertandingan ICE yang dianjurkan oleh kelab ini dan telah menyertai 10 pertandingan dalam masa 2 tahun. Setiap kali beliau menyertai pertandingan, pasti kereta miliknya tersenarai dalam nama pemenang-pemenang. Keretanya ini juga berjaya menempatkan beliau sebagai juara antara juara.

Masuk sahaja ke bahagian dalam kereta Honda ini, anda sudah dapat membayangkan betapa berkuasanya gegaran yang bakal terhasil. Pemain unit utama jenama Eclipse model 3100, berkemampuan memainkan semua jenis genre lagu dengan baik. Aziz juga memasang pemain dvd dari jenama Sony dan juga sebuah monitor dari Plasma 20 inci di bahagian depan kereta. Isyarat pemain utama tersebut akan dihantar pula kepada amplifier 4 channel Agako 4060 RMS Power yang turut bertindak memacu 4 unit midbass Ameron AM615 bersaiz 6 1/2 inci dan 2 unit horn tweeter.

Di bahagian pintu hadapan telah dipasang komponen set Ameron iaitu midbass dan horn tweeter yang dipacukan oleh amplifier 2 channel. Kedudukan yang cukup strategik ini mampu memberikan bunyi yang paling optimum dan memberikan kepuasan kepada sesiapa sahaja yang duduk di dalam kereta ini. Manakala satu unit amplifier monoblock Ameron SPL dipasang untuk memacu 4 unit woofer single voice coil max power 900 Hard Rock City yang dipasang di but kereta.

Bagi memastikan kesemua unit menerima arus yang stabil, satu unit kapasitor 1.5 uf telah dipasang sebagai medium penstabilan arus elektrik dengan lebih efisyen. Alternator 150amp turut dipasang bagi tujuan pengecasan semula kuasa elektrik. Kereta ini juga menggunakan 2 unit bateri bagi menampung sistem audio yang telah dipasang.

Bayangkan dengan kepadatan semua aksesori tersebut, bagaimana keadaan dalam kereta Aziz? Tentu sempit dan sesak bukan. Namun hasil kepakaran installer, produk-produk yang dipasang telah disusun dengan kreatif dan tersusun rapi. Sekarang sudah tentu anda dapat membayangkan sistem bunyi yang dihasilkan. Tidak hairanlah Aziz kerap menjadi juara. Terbukti modal yang dilaburkan amat berbaloi.

Ada sesuatu yang menarik yang perlu dikongsi tentang kereta ini yang turut dilengkapi mesin asap dan lampu-lampu disko? Terperanjat bukan? Difahamkan juga, Aziz sanggup berhabis dan pergi ke Thailand semata-mata untuk dapatkan mesin asap tersebut. Gabungan kedua-dua modifikasi ini membuatkan keretanya lebih menyerlah dan berjaya memikat hati juri.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 2