Diam-Diam Ubi Berisi, Dalam Diam Kereta Penuh Isi

Dalam keghairahan dan mercu kemuncak era penaklukan kereta k-car keluaran Perodua, masih ada lagi penggemar kereta yang menaruh harapan dan mempunyai minat tersendiri terhadap kereta dari pengeluar sulung Malaysia, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton). Tidak hairanlah kiranya, kereta-kereta keluaran Proton turut jadi pilihan yang paling digemari untuk dimodifikasi penggemar kereta.

Tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawa awal tahun 1990-an merupakan era kegemilangan Proton ekoran kemunculan model-model kereta yang ternyata cocok dengan pilihan penggemar kereta pada waktu itu. Setelah berjaya dengan Wira dan Satria, Proton mengukuhkan penguasaan sebagai pengeluar kereta nombor 1 dengan melancarkan kereta coup Putra pada tahun 1995 dengan menjadikan Mirage Asti keluaran Mitsubishi sebagai inspirasi tetapi pengeluarannya hanya setakat tahun 2000.

Walaupun kelahiran Putra dikatakan sebagai pelengkap kepada Wira dan Satria, gara-gara persamaan yang ketara dari stailnya, Putra masih berjaya mencuri perhatian segenap peminat kereta. Antara peminat yang masih lagi setia dengan kereta Putra ini ialah Kwan Lian Hoe. Beliau merupakan seorang pecinta kereta yang telah pun bersama-sama Putra hampir 13 tahun. Amboi, lama betul tu!

Berasal dari Kajang, Kwan tidak pernah menyangka kereta Putra dibelinya itu membawa tuah kerana sering dinobatkan sebagai pemenang. Beliau telah memiliki Putra itu untuk 13 tahun lamanya. Namun, beliau melibatkan diri dengan aktiviti autoshow sejak kebelakangan ini sahaja. Dalam kesemua 60 pertandingan kereta yang pernah disertainya, Putra ini berjaya mengondol lebih daripada 50 hadiah.

Pada awalnya, Kwan tidak terfikir untuk menyertai mana-mana pertandingan. Fikirannya berubah apabila seringkali bertemu dan bertukar-tukar pendapat dengan para peserta membuatkan Kwan terpanggil untuk menyertai pertandingan kereta. Pantang ada saja pertandingan dianjurkan, pasti namanya tersenarai bukan saja sebagai peserta malah sebagai pemenang juga.

Dalam tempoh 13 tahun ini juga, Kwan telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM60,000.00 semata-mata untuk memenuhkan kepuasan hati. Dalam masa yang sama, mahu tampil lain dari yang lain. Kalau dilihat dari dekat, gerun untuk menyentuhnya pun. Putra ini nyata dijaga dengan begitu rapi sekali. Tidak hairanlah, Putra Highness kepunyaan Kwan selalu sahaja menjadi pemenang.

Kehebatan Putra Highness merangkumi segala perspektif termasuklah sistem audionya. Bermula dengan pemain unit utama jenama Eclipse AVN6604HD yang tersergam anggun di ruang hadapan kereta Putra ini. Bagi menambahkan kemeriahan hiburan dalam keretanya, Kwan menempatkan LCD indash Color Monitor. Sepanjang hari duduk dalam kereta pun tak apa!

Sistem audio tidak akan lengkap sekiranya tidak ada pelengkapnya. Apa lagi kalau bukan speaker di bahagian depan. Bagi melengkapkan sistem audio Putra Highness, Kwan telah memilih speaker dari jenama Lanzar yang dipacukan oleh amplifier jenama Force Ten model F-100. Isyarat dari pemain unit Eclipse dihantar pula kepada crossover Sony XEC-1000. Sebagaimana yang kita ketahui, jenama Sony memang sentiasa menjadi pilihan para penggemar ICE, begitu juga halnya dengan Kwan.

Isyarat yang sampai kepada crossover diagihkan pula kepada 3 buah amplifier. Salah satu amplifier yang digunakan tidak memerlukan crossover. Amplifier Kenwood 4 channel KAC-848 digunakan untuk memacu 4 unit midbass Kicker bersaiz 6 ½”. Amplifier dari jenama Blaupunkt juga digunakan untuk memacu 2 midbass di bahagian belakang tempat duduk kereta. Manakala satu lagi unit amplifier 4 channel jenama Audiovisio BA-1000 telah digunakan untuk memacu 2 unit woofer jenama Bazoka.

Berbeza dengan kehebatan Putra yang sering mendapat tempat dalam setiap pertandingan, Kwan merupakan seorang yang agak pemalu. Tak siapa menyangka, orang diam-diam dan pemalu pun mampu menggegarkan medan pertempuran autoshow.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 3