Dentuman Kuat Bersesuaian Dengan Talaan SPL

Bila-bila saja mula bercakap tentang I.C.E, amat sukar untuk ditemukan di mana titik penamatnya. Setiap ‘ahli keluarga’ sistem I.C.E mampu menerbitkan topik menarik. Bermula dari produk, jenama, kuasa dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, terlalu banyak perkara yang boleh dibangkitkan. Tidak kiralah sama ada soalan itu datangnya dari kaki-kaki I.C.E yang baru mula berjinak-jinak mahupun mereka yang telah bergelar veteran dalam bidang ini. Lebih lama seseorang itu terlibat dalam dunia I.C.E, bertambah-tambah lagi sikap ingin tahu kerana mahu memburu maksud ‘bunyi sempurna’ yang sebenar.

Jika diperhatikan, penggemar kereta dapat terbahagi kepada beberapa kumpulan. Bukan semua penggila kereta punyai kecenderungan untuk memodifikasi sistem I.C.E. Adakalanya, sekadar menggantikan stok head unit sebagai memenuhi syarat memodifikasi. Tidak kurang juga yang terlalu taksub melakukan modifikasi sehingga sukar untuk dikenalpasti model kereta yang asal. Begitu juga kebanyakan kaki-kaki I.C.E yang tidak ambil pusing tentang modifikasi struktur, prestasi mahupun penampilan kereta. Yang penting, kuasa yang mampu dihasilkan melalui sistem audio.

Selain itu, para pecinta kereta pula akan lebih berhati-hati dalam membuat modifikasi. Kebiasaannya, pemilik kereta lebih cenderung membuat sebarang jenis modifikasi pada kereta sampingan, dan bukannya pada kereta mewah. Pada kereta kedua inilah, mereka melakukan modifikasi secara ekstrem tanpa sebarang sekatan. Namun begitu, lain pula kisahnya dengan kereta yang menghiasi ruangan Cover Story kali ini. Pemiliknya, sanggup melakukan modifikasi ke atas kereta Perdana V6 tanpa sebarang sesalan!

Walaupun lahir dalam keluarga Proton yang juga merupakan jenama buatan Malaysia, Perdana V6 punyai kriteria tersendiri bagi melayakannya sebaris kereta mewah lain yang datang dari luar negara. Agak berlebihan jika disamakan taraf dengan kereta keluaran BMW dan juga Mercedez, tetapi itulah gelaran yang diberikan oleh para peminat setia kereta Perdana V6 ini. Ia juga merupakan antara model keluaran Proton yang terbaik pernah dihasilkan. Ditambah pula dengan struktur reka bentuk yang solid, sekaligus menjadikan Perdana V6 mencipta kelasnya yang tersendiri.

Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, kaki-kaki I.C.E lebih cenderung ‘mempercantikan’ sistem audio kereta secara ekstrem pada kereta sampingan. Berbeza dengan kereta Perdana V6 ini. Pemiliknya berani melakukan kelainan dengan melanggar ‘peraturan’ yang telah ditetapkan. Cukup hanya dengan menyaksikan dinding Perdana V6 yang dilekat dengan sticker, pasti sesiapa yang memandang ingin tahu lebih dalam tentang rahsia sistem I.C.E yang bersemadi dan terselindung di sebalik kekebalan kereta Perdana hitam ini.

Pasukan jentera I.C.E yang sedia menyerang pada bila-bila masa ini dikepalai pemain utama jenama Pioneer. Seperti namanya, Pioneer menjadi perintis dan memastikan isyarat yang dipancarkan dapat diterima secara optimum. Dengan kelebihan memainkan media pelbagai format serta memaparkan info setiap fail di papan papar, ada satu lagi ciri yang menyerlahkan kehebatan pemain utama ini, ‘mute cellphone’. Berfungsi mematikan bunyi dan suara muzik tatkala panggilan diterima di telefon bimbit yang telah disambungkan ke pemain utama. Sebaik saja panggilan berakhir, lagu akan dimainkan semula di mana ia dihentikan sebelum itu. Hebat bukan?

Jadi, tentu sekali usaha yang dibawa oleh Pioneer tersebut tidak mahu dibiarkan begitu saja. Bagi memastikan isyarat yang dipancar dapat diterima tanpa menjejaskan kualitinya, sebuah crossover Adams Digital model AD-3980 telah dipasang. Dengan kewujudan crossover ini, ia memastikan keberterusan isyarat yang terpancar dari pemain utama tadi. Manakala pembantu untuk crossover memperbesarkan penerimaan isyarat yang berada di tahap rendah, pre amp dengan 7 band parametrik equalizer telah digunakan dan ianya juga dari Adams Digital, ADP-100MS.

Sudah semestinya semua sudah tahu alasan di sebalik ketaksuban kaki-kaki I.C.E memilih talaan SPL sebagai sistem audio mereka. Ya, obses kepada dentuman. Tak terkecuali dengan pemilik Perdana V6 ini. 5 biji woofer 12” Adams Digital model ADW-6512 digunakan untuk mendapatkan kuasa dentuman bass yang mantap. Tentu bingit dibuatnya! 2 unit amplifier monoblock ADS-800.1 dari Adams Digital pula digunakan bagi memacu kelima-lima woofer. Manakala sebuah lagi amplifier 4 channel ADS-80-4 juga dari Adams Digital dipasang bagi memacu 6 biji mid bass ADC-622 dan 2 biji tweeter AD-5.iT, kedua-duanya dari jenama yang sama iaitu Adams Digital.

Jika diukur dari barisan jentera I.C.E, Perdana V6 ini ternyata mampu menghasilkan dentuman yang kuat dan bersesuaian benar dengan talaan SPL. Namun begitu, hiasan bulu-bulu yang dikenakan tidak berapa kemas dan kelihatan agak berserabut. Mungkin pemilik terlalu ghairah ingin menutup bahagian yang tidak perlu dan mampu menyerlahkan kecacatan perumah speaker. Sayangnya, ia bukan sesuatu yang relevan sebaliknya kelihatan serabut. Tentu ada cara lain bagi menghias bahagian belakang tanpa penggunaan bulu yang banyak. Setuju?

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 7