Cutie Kitty

Cutie Kitty

Tema pengubahsuaian kereta dengan menggunakan watak kartun dan animasi bukanlah benda baru. Sejak 10 tahun lepas, banyak orang cuba mengenengahkan idea watak-watak kartun ini dilayangkan pada konsep kereta. Ia bergantung pada jenis kereta dan cara ia dicorakkan. Pada tangan mereka yang kreatif, ia akan jadi sebuah subjek menarik bila siap kelak tapi jika salah percaturan akan jadi aneh dengan hasil yang melucukan.

Hello Kitty sesuai untuk sebuah kereta kecil/mikro dan kompak. Apatah lagi bila dipandu seorang wanita muda. Sesuai dengan konsep yang cuba kami cari selama ini, pertemuan dengan ‘amoi’ pemilik Viva ini menjurus kepada penemuan sebuah Viva dengan penggunaan tema Hello Kitty secara optimum. Hampir semua bahagian badan kereta ini mendapat sentuhan yang berkonsepkan kartun kucing keluaran Sanrio Corporation dari Jepun tersebut.

Lihat saja pada bahagian kosmetik luaran yang menggunakan warna merah jambu sebagai asas. Selain pelekat Hello Kitty yang membalut badan, ruang bumbung, hud, bumper malah rodanya hadir dengan warna yang sama. Bukan itu sahaja, bentuk roda dengan bunga rekaan bentuk hati juga amat unik bila digabungkan dengan keseluruhan konsep.

Bahagian dalamannya lebih ekstensif. Saya tak dapat melihat bahagian asal kereta ini kerana kesemuanya sama ada dibalut dengan fabrik atau ditampal dengan pelekat Hello Kitty. Pemiliknya ternyata cukup taksub dalam menjadikan tema asas ini lengkap di segenap penjuru. Ya. Saya terpaksa akui sudah mula pening bila merenung kombinasi dalamannya. Tak dapat dibayangkan memandu kereta ini dengan dikelilingi animasi kucing!

Di sebalik kesinambungan tema yang dibina, Perodua Viva ini dipasangkan dengan sistem audio yang cukup sempurna. Ia bermula dengan pemain utama DVD aftermarket jenis in-dash-motorised. Tidak kelihatan pula jenamanya tapi saya percaya, ia adalah model yang biasanya boleh diharap untuk memacu cakera digital. Pemain ini hanya sebagai medium asas yang diperlukan untuk membaca media dan memaparkan visual. Isyarat dan pemprosesnya diselangkan dengan dua unit pre-amp equalizer digital 7 band PEQ.

Bermula dari sini, laluan dipecahkan kepada dua saluran utama; 3 unit amplifier digunakan pada keseluruhan speaker. Laluan keluar pertama dari pre-amp tadi menuju ke seunit amplifier 2 channel Trans, amplifier ini kemudiannya sampai kepada dua unit speaker hadapan yang dipadankan pada panel pintu.

Seunit lagi amplifier berkongsi isyarat dari pre-amp pertama tadi. Giliran amplifier Trans 2 channel yang sama digunakan untuk mengestrak bunyi untuk empat unit mid bass Pegasus PG-161 dan dua unit tweeter Pegasus. Jika jumlah speaker ini membuatkan anda keliru kerana saiz kereta ini yang kecil, ia sebenarnya diplotkan di bahagian but belakang. Tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada tailgate, tetapi pemusatan speaker dibuat dengan memanipulasi ruang belakang yang menutup sepenuhnya pemandangan dari cermin pandang belakang di hadapan.

Di dalam hud ini juga ialah tiga unit woofer 12”. Sekali lagi, ruang sempit itu berjaya menghasilkan sebuah kotak custom dan 3 unit woofer Pegasus berhimpit pada posisi yang sangat sempit. Bila diperhatikan dengan lebih dekat, pemasangan woofer ini kelihatan kemas dan masih mampu menghasilkan bunyi yang dikehendaki. Jika saiz menjadi halangan, saiz juga menjadi satu kelebihan bilamana but ditutup, kekedapan ruang itu juga menghasilkan gema ruang yang padat.

Seluruh pengubahsuaian ini walaupun dianggap keterlaluan pada sesetengah orang, ia adalah manifestasi minat dan kecenderungan individu dalam menghasilkan arca dari sebuah objek bernama kereta. Daripada apa yang saya dapat simpulkan, ia sebuah projek yang berjaya mencapai matlamatnya. Saya ada beberapa contoh projek animasi yang sangat menyedihkan walaupun pemiliknya berasa sangat berbangga bila memandu!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 44