Celestra ODR Sejelas Kristal

Celestra ODR Sejelas Kristal

Jika anda mahu bermain sistem audio kualiti (SQ) atau SQL secara serius, tidak ada lagi pemain yang layak untuk menjalankan tanggungjawab tersebut melainkan Pioneer siri ODR. Di Malaysia, Pioneer dijual secara rasmi dengan reputasi khidmat selepas jualan yang bagus. Jika mahukan sedikit risiko, beberapa pemain lain seperti F1, Mcintoch dan Nakamichi boleh digunakan tetapi penaiktarafan ‘pairing’ untuk sistem digital aktif ini untuk masa akan datang tidak mempunyai banyak pilihan.

Di Singapura juga sama, di mana dengan kuasa beli yang tinggi pemain ODR dan siri P9 Pioneer sangat digemari dan jika ke pertandingan audio, pemain ini hampir pasti memonopoli setiap kereta peserta yang bertanding. Ia bukanlah sebuah pemain yang sempurna, namun bila digabungkan dengan pakej yang betul, tiada yang lebih menarik berbanding ODR ini.

Optical Digital Reference, terma yang digunakan Pioneer untuk menterjemahkan sebuah produk yang mampu menghasilkan nuansa bunyi paling hampir dengan keadaan ‘live’ muzik asal. Barisan flagship Pioneer ini bukanlah satu teknologi baru malah telah diperkenalkan pada dekad 90-an lagi. Namun ketika peralihan analog kepada digital masih lagi mahal, kebanyakan produk ini hanya dipasarkan di Jepun sahaja dengan logo Carrozzeria. Sesetengah pasaran eksport pula dikenali dengan nama Pioneer Carrozzeria.

Menceritakan satu persatu fungsi pemain ini memang tak akan habis dan melibatkan jajaran istilah teknikal yang panjang. Pernah dulu saya mencari unit penukar CD untuk ODR ini kerana terpengaruh dari kualiti bunyi kereta seorang kawan. Ia mempunyai program jajaran masa automatik pada 0.77cm step, equalizer automatik sebanyak 31 band untuk saluran kiri dan kanan serta crossover bina-dalam jenis digital keluaran 4 saluran. Produknya juga ringkas dan kelihatan elegan degan fascia yang tampak mahal.

Satu lagi contoh yang kami bawa ini melibatkan Honda Civic yang dipasangkan dengan ODR dan paling menakjubkan ialah sistem lengkap dari Celestra. Jenama ini agak kurang dikenali kerana ia adalah unit yang kurang digunakan berikutan ketiadaan pengedar rasminya di sini satu ketika dahulu.

Celestra ibarat Pagani atau Saleen, pembuat kereta super yang tidak mengutamakan angka jualan. Produk ini kesemuanya dibuat dengan tangan di sebuah kilang kecil di Itali. Di sebelah Eropah, Celestra adalah saingan popular dalam industri audio SQ.

Pemasangan pada kereta ini dibuat secara terus menggunakan kemampuan yang ada pada ODR RS-D7RII. Ia tidak boleh berdiri sendiri, mesti dibantu oleh RS-P90 sebagai pre-amp peribadi untuk pemain ini. Mengekstrak kualiti bunyi dan meningkatkan kuasa pula menjadi tanggungjawab 2 unit amplifier Celestra RA275 dan 2 unit amplifier Celestra RA2150X.

Sistem 3 hala dipilih sebagai konfigurasi asas. Penyusunan speaker pula terdiri daripada 2 unit tweeter Flux HT28R, mid range 4” Flux Flux M80RC dan mid 6” Flux T160R2. Pemasangan dibuat secara klasik dan merupakan teknik yang paling selamat dalam memastikan output bunyi yang telah terbukti berkurun lamanya.

Walaupun begitu susunan laluan sistem pendawaiannya agak rumit kerana pengawalan premier dibuat terus menerusi pemain tadi. Untuk lebih memudahkan pemahaman, anda boleh merujuk kepada gambarajah yang kami sediakan. Anda boleh lihat setiap channel diasingkan mengikut frekuensi tertentu sementara kesepaduan kuasa lahir dari pengasingan yang dipilih tadi.

Bukankah sistem ini tidak lengkap? Mungkin ada antara anda yang perasan tidak ada woofer disebut. Mungkinkah kereta ini tidak perlukan woofer? Jika ada, di manakah lokasinya? Sukar mengagak kedudukan sebenar woofer walaupun ia jelas kedengaran ketika sistem berkumandang. Setelah mendengar lebih teliti, paduan bass woofer ini datang dari bahagian bonet. Manakala woofer digunakan pula adalah S300B dipacukan seunit amplifier Celestra RA2150X. Takjubnya, ia dipasang dan disimpan secara tersembunyi. Penyembunyian yang sangat sempurna.

Ia bukan setakat pemasangan, karekteristik bahagian but kereta ini juga tampak kemas dengan penggunaan PVC krim lembut yang menempatkan setiap komponen ini di lokasi yang sesuai. Pemasangan disudahkan dengan lapisan arkilik pada setiap bahan tadi tanpa menjejaskan aspek penyusunannya. Makna kata, sekali imbas melihat ke bahagian but anda mungkin sangka ia adalah pemasangan opsyen dari kilang.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 42