Camry NT Power What Are The Chances?

Sebagaimana yang diketahui umum, Camry merupakan salah satu siri keluaran Toyota yang paling berjaya dari generasi ke generasi sejak kali pertama diperkenalkan pada tahun 1982. Awalnya, Camry didatangkan dengan saiz yang kompak (narrow body) sebelum dibina dengan saiz badan yang lebih lebar (wide-body) sejajar perkembangan dan permintaan pasaran. Ekoran saiznya yang cukup luas, kereta Camry ini sangat popular dan sesuai sebagai kenderaan famili yang cukup selesa walaupun untuk dalam perjalanan jauh.

Namun begitu, ada yang beranggapan kereta Camry ini bosan dan tidak mengujakan seperti model-model lain keluaran Toyoto. Disebabkan keselesaan dan keluasan ruang dalamnya, tidak hairanlah jika ada yang menjadikannya sebagai kenderaan basahan untuk berulang-alik ke pasar serta menjemput dan menghantar anak-anak ke sekolah atau tusyen. Saya sendiri pernah melihat jiran mengangkut anak-anak di taman perumahan yang sama ke sekolah. Eh, itu tidak salah. Yang menjadi salah, kalau memandu dengan bilangan penumpang yang berlebihan dan tidak ada lesen. Itu dah membahayakan keselamatan!

Bosan atau tidak mengujakan, itu semua terpulang kepada pemilik Camry sendiri sama ada mahu mengekalkan keadaan asal atau mahu mengubahnya mengikut citarasa atau trend semasa. Lagipun, kita sudah biasa ditemukan dengan kereta Camry yang telah diubahsuai lengkap dengan tema dan sistem audio yang cukup mantap. Salah satunya, kereta Camry yang telah menerima sentuhan azimat Top Racing Audio ini. Kebiasaannya, kereta dengan penampilan begini lebih sinonim dengan sistem audio SQ. Betul? Ya, tetapi bukan dengan Camry kali ini. Tampil elegan dengan warna yang memukau, Camry ini dilengkapi sistem audio talaan SPL!

Pada pendapat dan pandangan peribadi saya, salah satu keistimewaan Camry ini terletak pada badannya yang dibalut dua warna. Kekemasan yang terserlah, memukau dan cukup menarik. Ia dipadankan pula dengan konsep yang dikenakan di bahagian dalam kereta. Tidak cukup dengan itu, rim dari Rotiform telah digunakan untuk menggantikan rim asal. Pemiliknya memilih untuk menukar sarung kusyen asal agar tampil menarik dan elegan. Lebih menarik lagi, si pemilik juga telah memasang carroof. Siapa kata Camry tidak menyeronokkan dan mengujakan? Semuanya bergantung keinginan masing-masing.

Baiklah, beralih pula kepada sistem audio yang dipasangkan ke atas Camry ini. Seperti yang dikongsikan di awal-awal tadi, pemiliknya telah menghantar dan menyerahkan kerja-kerja pemasangan sistem audio kepada Top Racing Audio dan installer ini mempunyai reputasi cemerlang dalam melakukan transformasi. Saya pasti, anda masih ingat kereta-kereta yang pernah dimodifikasi oleh Top Racing Audio yang menghiasi ruangan show off majalah Kar HiFi. Bagaikan sentuhan magis, Top Racing Audio memasang sistem audio talaan SPL ke atas Camry ini dengan cukup kemas dan kualiti yang mantap.

Dimulakan dengan seunit pemain utama AVH-X2750BT dari Pioneer, jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bagi mengekalkan momentum cemerlang yang telah diproses oleh pemain utama, installer telah membahagikan kepada dua laluan utama serta menggunakan sebanyak 3 unit pre-amp dan seunit electronic crossover NT Power sebagai alat bantu sebelum menghantar isyarat kepada barisan amplifier. Laluan pertama dibahagikan mengikut 3 unit pre-amp tadi di mana setiap satunya menghantar isyarat yang telah diproses kepada seunit amplifier 4 channel Ample.

Dua unit amplifier 4 channel Ample tadi pula berfungsi sebagai pemacu untuk 4 unit mid bass 6” dari NT Power. Seperti yang dapat dilihat menerusi gambar-gambar yang telah disertakan dalam ruangan ini untuk tatapan anda, setiap unit mid bass ini dipasang dan diatur dengan cukup kemas dalam sebuah perumah khas yang dilekapkan bersama but belakang kereta. Mengekalkan konsep digunakan terlebih dahulu di bahagian dalam kereta, perumah ini dibina dengan cukup kemas. Dua lagi unit mid bass 6” NT Power di tingkat atas yang dipasangkan bersama dua unit tweeter telah dikuasakan pula oleh seunit amplifier 4 channel Ample.

Menyempurnakan sistem audio talaan SPL pada Camry ini adalah seunit amplifier monoblock NT Power 2500.1 yang ditugaskan untuk memacu 3 unit woofer 12” NT Power. Ketiga-tiga monoblock ini telah dipasangkan pada sebuah perumah yang juga dibina khas dan diletakkan di bahagian ruang letak barang. Setelah melihat semua kerja-kerja pengubahsuaian dan pemasangan sistem audio ini, anda masih boleh melihat baki ruang yang ditinggalkan. Cukup luas bukan? Malah, ruang di bahagian dalam Camry ini juga kemas dan tiada masalah untuk si pemilik membawa para penumpang atau ahli-ahli keluarganya meronda bersama.

Jadi, apakah kebarangkalian atau adakah peluang untuk sebuah kereta Camry tampil menyeronokkan? Sudah tentu boleh. Itupun terpulang kepada citarasa sendiri, bagaimana untuk mengubahnya!