Seumur hidup saya, masih belum pernah cuba menaiki apatah lagi memandu sebuah pikap. Pernah di satu ketika dulu, ada ditawarkan untuk menaiki kenderaan ini semasa mengikuti percutian dengan keluarga di Bukit Cameron. Pusat peranginan di sini ada menyediakan kemudahan melawat ladang teh dengan menaiki pikap. Bukan takut tapi lebih gemar memandu sendiri, walaupun terpaksa berhadapan masalah kesesakan ekoran batang jalan yang sangat sempit. Keterujaan berada di tempat begini dengan memandu sendiri tiada bandingannya.
Bohonglah kalau saya diminta mengulas secara terperinci tentang kelebihan sebuah pikap berbanding kenderaan lain. Tidak adil kerana pengalaman sendiri tiada. Namun saya masih boleh beri pendapat melalui pemerhatian apabila melihat kenderaan ini yang seringkali ‘membuli’ kenderaan lain khususnya di waktu pagi ketika bergerak ke tempat kerja. Ya, kenderaan jenis pikap ini boleh dikatakan berlambak di tempat tinggal saya di Rawang yang suka-suka hati memotong barisan dengan menggunakan laluan kecemasan dan tidak kurang juga di bahu jalan. Apa nak buat? Kalau berlaga, yang rosak teruk tentu kereta sendiri. Ya, saya ada pengalaman itu yang masih segar dalam ingatan.
Memandangkan pengalaman peribadi tidak berapa bagus, apa yang boleh diterjemahkan menerusi pemerhatian kasar saya adalah para pemilik kenderaan ini tentunya sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa, nak cepat kerana lambakan kerja. Bertepatan dengan tujuan sebuah pikap dibina yang mengambil alih tugas sebuah lori ringan dengan kargo terbuka di bahagian belakang dan ruang kabin berasingan di hadapan. Lazimnya digunakan untuk tujuan komersial. Namun begitu, kegunaannya turut berubah mengikut gaya hidup masyarakat memandangkan beberapa model pikap yang tampil menarik dan sesuai untuk kegunaan harian dan tidak kurang juga sebagai kenderaan famili. Antara yang sering menjadi pilihan umum termasuklah Mitsubishi Triton yang datang dari Bumi Kenyalang ini.
Ini bukan kali pertama kami mengupas sistem audio yang dipasangkan pada sebuah pikap, malah ada beberapa modifikasi yang dibuat khas untuk menjadi “kenderaan demo” kelengkapan jenama audio yang dibina padanya. Tidak jauh dari tujuan itu, Triton ini dibina secara umumnya dengan jenama Dominations dan hanya pemain utamanya menggunakan jenama Kenwood. Saya yakin, sekiranya Dominations mula mengeluarkan pemainnya sendiri, ia mampu menyaingi kualiti dibawakan beberapa jenama yang sedang menguasai pasaran dan ketika itu, hanya satu jenama diperlukan untuk membangunkan sebuah sistem audio.
Melewati sistem audio yang dibina pada Triton ini, ia merupakan satu sistem yang sangat mudah tanpa memerlukan banyak aksesori. Dimulakan dengan seunit pemain Kenwood DDX-4033BT yang disuntik teknologi terkini dan boleh dikatakan sebagai kegilaan baru khususnya para peminat gajet. Didatangkan dengan aplikasi MirrorLink yang membolehkan anda menikmati pelbagai hiburan media yang ada dalam simpanan telefon pintar. Bukan itu sahaja, ia mudah dikawal di atas skrin pemapar DDX-4033BT. Kecemerlangan pada pemain ini, diteruskan pula oleh seunit amplifier dengan DSP binaan-dalam keluaran Dominations. Amplifier DSP Dominations ES455 UCS ini mempunyai daya yang cukup baik. Lebih menarik lagi, ia dipasangkan di bawah tempat letak kaki pemandu, lokasi yang bukan selalu digunakan orang.
Amplifier ini kemudiannya memacukan semua unit aksesori audio yang dibina untuk mendapatkan satu sistem talaan SQ yang lengkap dan sempurna. Bagi memberikan mutu dan kualiti yang konsisten, pemasangnya iaitu tenaga kerja berkemahiran tinggi dari Hi-End Car Audio yang beroperasi di Bintulu di Sarawak ini menggunakan RCA Dominations. Tiga laluan telah dibentuk dan laluan pertama adalah untuk dua unit speaker range penuh 2” Dominations dari Racing Series, R51. Tiada unit tweeter digunakan untuk sistem audio ini. Mungkin frekuensi tinggi dihasilkan speaker range penuh sudah cukup memberikan keseimbangan kepada paduan bunyi rendah yang datang dari dua unit mid bass yang membawa kita ke laluan kedua. Laluan ini pula memacu dua unit mid bass Dominations RS62.
Bagi mewujudkan bunyi yang cukup harmoni dan menenangkan, pembinaan sistem audio talaan SQ diberikan perhatian sepenuhnya di bahagian kabin hadapan. Justeru itu, dua unit speaker range dan mid bass tadi telah dipasangkan di bahagian ini. Dua unit speaker range penuh telah dipasangkan pada perumah khas di kedua-dua tiang A. Manakala setiap satu unit mid bass telah dipasangkan pada kiri dan kanan panel pintu. Cukup? Belum lagi. Masih ada satu unit audio yang tertinggal. Ya! Menutup senarai sistem audio talaan SQ ini adalah seunit subwoofer aktif 8” Dominations yang didatangkan sekali bersama seunit amplifier. Subwoofer aktif yang dipasangkan di bawah tempat letak barang di bahagian penumpang ini juga merupakan laluan ketiga yang turut dipacu amplifier DSP di awal tadi. Kuasa berganda.
Selain yang disebutkan, sistem audio pada Triton ini tidak menggunakan banyak ruang. Malah, kargo terbuka di bahagian belakang juga kekal tidak disentuh dan itulah tujuan ia dipasang. Memberikan jumlah frekuensi yang tepat dengan posisi audio yang sedap di halwa telinga. Kalau beginilah gayanya, saya yakin ramai pemandu pikap di luar sana akan sentiasa tenang ketika memandu. Mungkin sistem pembinaan audio yang sama perlu disyorkan kepada mereka? Mungkin.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 76