Rata-rata pembina sistem audio hari ini lebih memfokuskan kepada sistem SPL. SQ masih ada kelompok peminat khusus namun dentuman bass dari sistem SPL mempunyai pengaruh lebih besar. Dalam keadaan ekonomi yang suram dek kenaikan kos segala benda, membina sistem SQ bukanlah satu pilihan mereka yang berbajet kecil dan sederhana.
SPL boleh direka dengan bajet yang rendah dan masih lagi mampu dijangkaui oleh kebanyakan penggemar hobi ini. Walaupun aktiviti dan pertandingan audio semakin kurang dianjurkan berbanding tahun-tahun sebelumnya, bilangan kereta yang bertanding tidak menunjukkan angka penyusutan yang drastik.
Bagi pengedar atau pemilik jenama audio sudah tentulah pertandingan audio ini menjadi platform penting mempromosikan barangan mereka. Dan bila bercakap tentang promosi, pelaburan terhadap kereta demo mesti dibuat untuk membuktikan kualiti peralatan bukan hanya pada katalog sahaja. Modus operandinya hampir sama bagi kebanyakan jenama ‘home brand’ tempatan. Mereka sedaya upaya membina senarai peralatan yang panjang dari pilihan sekunder selepas pemain utama. Kereta Perodua Kancil ini adalah salah satu contoh ‘keajaiban’ sistem yang dibina pada harga yang agak munasabah untuk sejumlah peralatan yang hampir lengkap untuk berperang di tapak pertandingan.
Sistem awalnya dimulakan dengan pemain Pioneer DEH-7450. Sama seperti binaan SPL yang anda saksikan sebelum ini, laluan temponya dipecahkan mengikut 2 frekuensi/2 unit pre-amp UTM-700 digunakan untuk memisahkan frekuensi utama; mid bass dan frekuensi rendah. Frekuensi rendah ini terlebih dahulu dialihkan dengan seunit alat elektronik crossover.
Kerusi belakang Kancil ini ditanggalkan dan sistem bass penuh mengambilalih posisi tersebut. 6 unit amplifier monoblock Ultimate EU-1500.1D digunakan untuk memacu 6 unit woofer 12” UTM-PA128 yang dipasangkan kemas di bahagian but belakang. Woofer dual-coil ini mampu menghamburkan kuasa maksima sehingga 1200 watt yang cukup untuk mengejutkan satu kampung ketika nyenyak tidur.
Laluan kedua dibahagikan sewaktu isyarat keluar dari pemain tadi bertindak sebagai pemangkin bunyi untuk frekuensi mid dan tinggi, dua set amplifier 2 channel UTM-9200 digunakan untuk tujuan tersebut. Setiap satunya memacu empat unit mid bass UTM-MR650 dan enam unit tweeter jenis kubah buatan titanium model UTM-TW4.
Intergrasi peralatan yang dipasangkan ini memerlukan bukan sahaja pengetahuan dan kemahiran, tetapi ketekunan juga sebab walaupun dengan peralatan yang lengkap, pemasangan yang betul menjadi faktor penentu. Pengedar E Ultimate Audio ini telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Pang MLK Audio Accesories di Batu Berendam Melaka untuk menyempurnakan projek ini. Beberapa penyesuaian dan talaan telah dibuat (dan masih lagi dibuat) ketika hendak berentap di pertandingan ataupun sekadar demo sistem bunyi semata-mata.
Pembinaan menyeluruh dari aspek pemilihan peralatan, ukuran dimensi dan faktor kuasa, jenis pemasangan dan talaan menjadi penentu akhir hasil bunyi bagaimanakah yang akan dihasilkan. Dari sudut luaran, kereta Kancil ini tidak langsung menggambarkan kuasa bunyi sebenarnya. Ramai yang bertanya, kenapa kebanyakan kereta audio sekarang tidak lagi dibina dengan gaya autoshow, bodykit dan roda yang lebih besar? Realitinya, syarikat-syarikat demo ini masih menggunakan kereta sebagai kereta road legal, membawa ke mana-mana tapak pesta.
Adalah menyusahkan bila bertemu dengan pihak berkuasa setiap kali kereta bergerak dengan ‘gaya’ yang memukau, bukan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 70