Zaman sekolah merupakan sesuatu yang amat indah. Di zaman inilah masa lebih banyak dihabiskan bersama-sama rakan sebaya. Mula mengenal dunia dan memasang minat sendiri yang rata-ratanya berpunca dari dorongan rakan sebaya. Namun, ada juga antara minat itu tidak dapat dilaksanakan. Maklumlah, masih bersekolah. Belajar pun masih ditanggung, inikan pula mahu memenuhkan impian yang ada masanya menuntut sejumlah wang yang banyak!
Kalau setakat minat kumpul setem, tak apa juga. Jumpa mana-mana sampul surat yang masih ada setem, itu pun dah boleh dikumpul. Tetapi kalau minat I.C.E pada usia ini, bagaimana pula? Benar! Ramai pecinta I.C.E yang ada pada hari ini sudah menyimpan minat ini sejak zaman sekolah. Apabila sudah bekerja, masa inilah dendam waktu sekolah dibalas! Sanggup ikat perut semata-mata mahu melaksanakan minat yang terpaksa ditangguh sekian lama.
Salah seorang pecinta I.C.E yang berkongsi kisah sama ialah Elvin Yap. Lebih mesra dengan panggilan Elvin, jejaka berusia 22 tahun ini tidak keberatan menceritakan pengalamannya sebagai pecinta I.C.E. Mungkin anda akan faham betapa ‘kemaruk’ minat Elvin ini dengan hanya melihat kereta kesayangannya, Myvi. Dari I.C.E hingga sudut dekorasi. Myvi putih ini tidak dibiarkan suram, sebaliknya dilekatkan sejumlah lampu LED! Memang meriah!
Elvin Bijak mengatur susunan lampu-lampu LED di atas badan Myvi agar secocok dengan gelaran LED King. Tambah menarik apabila sejumlah lampu LED ini bertemankan sticker-sticker menarik termasuklah watak terkenal, Hulk! Ibarat Hulk yang meliar, begitu jugalah dengan Myvi ini. Mungkin kehadiran LED ini tidak menonjol di siang hari, sebaliknya ia bagai raja di waktu malam. Menerangi setiap lorong jalan dengan simbahan lampu LED tadi.
Bagaimana Elvin boleh taksub dengan dekorasi lampu-lampu LED ini? Semuanya bermula apabila beliau pergi melihat autoshow di Pulau Pinang tahun lepas. Niat awalnya adalah untuk menyertai acara tersebut, tetapi tidak kesampaian kerana ketika itu keretanya masih belum menjalani modifikasi sepenuhnya. Dijadikan cerita, beliau tertarik dengan kategori ‘Lighting’ yang diadakan. Bermula dari situ, beliau bertekad untuk menambah aksesori I.C.E dan juga memasang lampu LED ini.
Awalnya, beliau ingin mencuba terlebih dahulu dengan meletakkan 2 lampu LED. Apabila beliau melihat LED ini menyerlahkan keretanya, beliau terus menambahkan bilangan. Bagi memastikan kereta ini dapat dilihat dari kejauhan, Elvin memilih penggunaan lampu LED yang bersaiz tebal. Selain menumpukan perhatian terhadap pemasangan lampu-lampu ini, beliau tidak lupa menambah woofer pada sistem I.C.E dengan talaan SPL.
Menurut beliau, kategori yang dikhaskan untuk Lighting tidak banyak di kawasan Lembah Klang berbanding di bahagian utara Malaysia. Setakat hari ini, beliau baru menyertai satu sahaja pertandingan yang melibatkan kategori Lighting. Disebabkan itulah, beliau mengalihkan modifikasi terhadap sistem I.C.E dan meninggalkan sebentar dekorasi pada lampu LED ini.
Kepadatan set I.C.E yang dipikul Myvi ini masih dirasakan kurang oleh Elvin dan ia perlu diperkuatkan lagi sebelum layak bertempur dengan para pecinta I.C.E yang lain. Beliau memasang azam bahawa menjelang acara autoshow yang bakal diadakan di I-City Shah Alam nanti, Myvi ini akan siap sepenuhnya. Katanya, dalam tempoh dua bulan ini beliau akan menambah seunit woofer bagi kekuatan bass pada set I.C.Enya ini.
Sebelum membayangkan wajah terbaru kereta Myvi ini menjelang autoshow tersebut, Kar HiFi berkesempatan menjenguk sistem yang ada dalam kereta ini. Bermula dengan pemain utama yang diletakkan di bahagian hadapan kereta iaitu Alphasonik. Pemain ini mampu memainkan beberapa format media seperti Dvd, CD dan juga mempunyai slot USB. Selesai proses pembacaan data, isyarat yang terhasil dipancarkan pula ke stesen amplifier.
Menerusi stesen ini, isyarat diperbesarkan sebelum dihantar kepada barisan speaker. Bagi tujuan ini, 3 unit amplifier telah digunakan. 1 unit amplifier 4 channel Autotek digunakan untuk memacu speaker bahagian hadapan. Speaker ini terdiri daripada 4 unit speaker komponen Autotek. 1 unit amplifier 4 channel Hifonics digunakan untuk memacu speaker di bahagian belakang, 4 unit speaker komponen Autotek dan 2 unit horn tweeter MA Audio. Seunit amplifier monoblock Autoteck pula digunakan untuk memacu 2 unit woofer 12” yang juga dari jenama Autoteck.
Bukan mudah untuk memenuhi minat masing-masing. Begitu juga yang terpaksa dilalui Elvin. Mulanya, minat beliau ini tidak digemari oleh ibu bapanya. Malah, setiap kali modifikasi dilakukan pasti beliau menerima ceramah panjang. Itu semua tidak pernah menjadi penghalang. Beliau terus melakukan pelbagai modifikasi. Sehinggalah ibu bapanya sudah berhenti marah-marah. Mungkinkah mereka sudah memahami minat Elvin?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 14