Bukan Kerana Populariti

Jenama dalam sistem audio tenggelam timbul disebabkan beberapa perkara. Populariti perkakasan audio jarang dapat bertahan lama dalam pasaran kerana persaingan dalam teknologi ini sangat sengit. Setiap pembuat senantiasa cuba mencipta inovasi baru dalam industri demi memantapkan jenama mereka. Dan apabila persaingan ini menjadi sihat, pengguna akan mendapat manfaatnya. Lihat sahaja betapa murahnya telefon bimbit pada hari ini yang hanya sebesar kotak mancis boleh dibeli pada harga puluhan ringgit sahaja sedangkan satu ketika dahulu, telefon seberat lesung batu memakan belanja sebulan gaji.

Perjalanan kru kami ke daerah Kota Kemuning menemukan sebuah contoh modifikasi audio jenama Quantum Audio. Sistem audio penuh pada Proton Saga ini yang dibina oleh premis aksesori Aramaitii Auto Accessories & Cushion yang menurut kenalan saya, orang kuatnya berpengalaman luas dan datangnya dari Malaysia Timur, Sarawak. Hmmm…. Sarawak dan audio bukanlah satu gandingan yang asing, bukan?

Sistem ICE pada Saga ini bermula dengan seunit pemain Sony siri Xplod CDX-GT500US. Seperti juga kebanyakan pembina audio yang pernah diketengahkan sebelum ini, rata-ratanya memilih pemain asas hanya sebagai pilihan pembaca medium. Mereka mengutamakan pembahagian frekuensi dan penalaan yang ditugaskan kepada pre-amp. Cara ini bukan sahaja mudah dan memudahkan penalaan malah belanjanya juga jauh lebih murah.

Pre-amp yang dipasangkan terdiri dari 2 unit model QEQ-6 yang juga dari jenama Quantum Audio. Pre-amp 5 band ini bertindak sebagai pengawal premier pada 2 jaluran sistem tapisan bunyi bass dan juga mid. Kesemua speaker ini dipasangkan di bahagian but atau lebih tepat lagi kesemua sistem audio kereta ini dihimpunkan disitu. Kedua-dua unit pre-amp ini dipasangkan dengan cukup sempurna di kedua-dua sisi but sambil pendawaiannya disambungkan kepada 2 unit amplifier Quantum Audio QB2000D dan QB4150.

Amplifier QB2000D ini adalah dari jenis monoblok kelas D yang bertanggungjawab memacu 2 unit woofer 12” Quantum Audio QBCW15D4. Proton Saga bukanlah sebuah kereta sedan yang cukup besar, tetapi saiz butnya jauh lebih bagus dari sebuah Myvi. Ruang yang agak luas ini membolehkan penala memasang woofer dengan teratur pada sebuah kotak buatan kayu khas. Amplifier didedahkan di bahagian dasar lantai dan kemasan keseluruhan disempurnakan dengan PVC bertemakan hitam. Nampak elegan dan kemas.

Penutup but belakang merupakan satu-satunya lokasi pilihan yang tinggal untuk dipasangkan dengan speaker mid bass dan tweeter. Di sinilah terletaknya 4 unit mid bass 6” Quantum Audio bergandingan dengan 2 unit horn tweeter QPT5D juga dari jenama sama. Kesemua speaker ini dikuasakan pula oleh seunit amplifier 4 channel Quantum Audio QB4150. Sebuah kotak khusus direka bagi menempatkan keseluruhan speaker tersebut dan untuk menyamakan temanya dengan but, warna hitam dipilih sekali lagi. Tetapi kali ini, ia dikemaskan dengan salutan pelekat dengan efek gentian karbon.

Walaupun jumlah peralatan yang digandingkan pada kereta ini tidak banyak, ia adalah calon yang digeruni dalam pertandingan audio tempatan. Ketepatan dan kaedah pemasangan yang betul dibantu komponen yang bagus adalah pakej pilihan yang sering diidamkan ramai orang. Entahlah, ada orang kata installer yang bagus mampu menjadikan sebuah sistem cap ayam menjadi juara. Macam bomoh juga kadang-kadang audio ni. Ada magik di sana sini.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 30