Binaan Audio Estetik Yang Fantastik
Jujurnya, saya antara kakitangan di sini yang jarang ke pameran autoshow. Boleh kira berapa kali dalam setahun saya ke tempat begini. Kekangan aktiviti hujung minggu selalunya menjadi halangan dan salah satu sebab lain ialah saya rasa kereta yang sama sahaja yang datang?
Tibalah pada minggu berbeza di Putrajaya bila kelibat Civic ini kali pertama saya nampak. Agak kreatif sebenarnya dan kalau mengikut fakta jenis kereta, ia agak jarang diubahsuai. Civic ini rata-ratanya dipakai dalam bentuk standard kilang atau diubahsuai dengan penumpuan lebih kepada bahagian enjin.
Enjin? Ya. Kereta milik pengusaha bengkel bodykit SAS Autoworks dari Shah Alam ini membina semula kereta dengan tujuan untuk mempromosikan hasil kerja mereka. Saya rasa, beberapa tahun kebelakangan ini, industri bodykit kita agak malap. Nama-nama besar dalam industri juga semakin tak kedengaran.
Permulaan projek kereta ini bukanlah pada bahagian audio. Ianya dari bahagian kit yang dicerapkan idea kreatif. Badan kereta dilebarkan di bahagian fender depan dan belakang, bumper aftermarket, hud fibre, warna kuning dan pelekat. Mungkin perkara yang paling kreatif ialah mekanisme penmbukaan hud belakang yang unik. Pepalang jenis custom direka untuk ‘mengangkat’ hud naik ke atas memberi ruang bukaan yang lebih luas.
Di dalam but ini terletaknya kesemua peralatan audio yang dibina. Pemain di hadapan ialah unit pemain Dvd 2-din Pioneer yang disambungkan dengan pre-amp Trans sebagai pemandu sekunder. Sambungan seterusnya dihalakan kepada 3 unit amplifier 2 channel dari kelas AB dan satu unit monoblok.
Amplifier tadi terdiri dari 2 unit jenis 4 saluran TRA-460 yang bertindak membekalkan kuasa kepada set speaker mid bass dan 2 unit tweeter Trans. Mungkin ramai yang mempertikaikan bilangan speaker yang kurang, namun itulah tujuannya. Kereta ini bukan dibina untuk menggegarkan pameran, ia lebih kepada aspek estetik di mana kemasan estetik lebih penting.
Balutan PVC dikenakan pada setiap bahagian tersebut di mana kontras warna biru kuning saling membantu. Sebagai komponen tambahan, 6 unit monitor 4.3” dipasangkan pada bahagian kosong yang tinggal. Bila visual dinyalakan, ia bertindak menghidupkan suasana apatah lagi jika dipertontonkan pada waktu malam.
Lama selepas dunia autoshow berkembang, naik-turun dan keterlibatan semua pihak sehingga menjadikan industri kita bercambah pada setiap peringkat. Saya berharap, ia akan terus hidup segar dalam masyarakat menjadi sebahagian dari aktiviti sihat di kalangan anak muda.
Tidak dinafikan beberapa tahun kebelakangan ini, industri aftermarket terutamanya aksesori terkena tempias kelembapan ekonomi, namun saya percaya ia hanyalah kesan jangka pendek. Kehadiran muka baru juga adalah sesuatu yang diharapkan kerana generasi tahun 2000 sudah ramai yang ‘cuci tangan’ dunia berubah, generasi berubah dan hidup audio yang perlu diubah. Kalau tak, bosan nanti!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 55