Back To Basic
Dalam keghairahan pencinta audio dan penggemar dunia permotoran terhadap modifikasi serta transformasi, masih ada segelintir golongan yang cenderung mengekalkan keadaan asal. Tidak kurang juga yang gemar kepada ‘simplicity’ atau dalam bahasa mudahnya, yang ringkas-ringkas sahaja. Ini dapat dilihat pada kereta Honda Vios yang tampil ringkas di bahagian luarnya mahupun pada kelengkapan sistem audionya.
Melihat kereta seangkatan Vios sebegini di mana-mana pertandingan, pasti ramai dapat meneka ia dipasangkan dengan sistem audio talaan SQ. Benar, Vios ini merupakan satu lagi kereta dengan talaan SQ. Ini kerana, seperti kelazimannya sistem SQ lebih fokus kepada kualiti audio. Interior atau modifikasi lain pada prestasi kereta jatuh soal yang kedua atau ketiga.
Berdasarkan teori, pemasangan talaan SQ nampak mudah berbanding talaan SPL kerana tidak banyak aksesori audio terlibat. Namun secara praktikal, pemasangannya agak rumit. Bagi mendapatkan definisi bunyi bagi setiap perincian, perkara paling penting adalah mendapatkan aksesori yang tepat. Ini juga yang dipraktik Teoh Brothers menerusi kereta demonya. Dipasangkan dengan kelengkapan jenama Zerobass, Vios ini berjaya mencatatkan beberapa kemenangan dalam siri pertandingan MACE lalu.
Dimulakan dengan pemain DEH-P80RSII dari Pioneer, siri pemain ini mempunyai keupayaan membaca setiap perincian dalam fail media yang dimainkan. Teknologi kawalan Penjajaran Masa Auto, membantu pemain ini mengoptimumkan bunyi dengan sempurna. Litarnya direka untuk menghapuskan ‘noise’ dengan membekalkan kuasa dan isyarat audio yang dibebaskan secara bebas.
Sepertimana yang dapat dilihat, Vios ini memiliki sistem audio paling ringkas. Terdiri daripada 5 aksesori audio sahaja yang mana majoritinya dari jenama Zerobass; kecuali pemain utama tadi yang menggunakan jenama Pioneer. Oh ya, pasti ada antara pembaca kurang mengenali jenama ini. Hakikatnya, ia sudahpun mempunyai pengikutnya tersendiri. Helo, di manakah anda selama ini?
Mula dibina sejak lebih kurang dua tahun lalu, Zerobass merupakan satu jenama audio yang pesat membangun. Kualiti yang terdapat pada setiap produk keluarannya menjadi faktor utama kepesatan Zerobass sekaligus memperoleh kepercayaan dari para pencinta dunia audio. Sebagai bukti kualiti cemerlang dipegangnya boleh dilihat menerusi Vios ini yang dinobatkan sebagai Juara kategori Pro-Modified dan Best SQ pada pertandingan anjuran MACE.
Berbalik kepada sistem ICE Vios, data yang dibaca di pemain utama Pioneer tadi seterusnya dialirkan kepada dua unit amplifier 4 Channel Zerobass; ZB-100.4. 2 unit amplifier ini pula mewakili laluan yang dibahagikan kepada dua; laluan pertama untuk audio bahagian dalam dan seterusnya laluan kedua yang dipasangkan di bahagian bonet belakang.
Laluan pertama dipasangkan di bahagian hadapan terdiri dari mid bass 6” Zerobass ZB-98PX dan tweeter Zerobass. Bagi memberikan staging yang tepat untuk talaan SQ 2-way ini, 2 unit tweeter dipasangkan di pillar A, untuk kedua-dua belah bahagian. Manakala mid bass dipasangkan pada panel pintu. Tidak mahu kelihatan sugul, hiasan manik dipasangkan di sekeliling dan bahagian atas kesemua speaker ini. Hmm. Adakah penggunaan manik-manik ini relevan? Terpulang!
Melengkapkan sistem audio Vios, merupakan seunit woofer 12” Zerobass ZB-1284RX yang dipacu seunit lagi amplifier 4 channel amplifier ZB-100.4. Diletakkan di perumah arkilik, woofer ini diapit 2 unit amplifier yang diletakkan di kiri dan kanan. Menariknya, dinding arkilik ini membiaskan cahaya yang sengaja disimbahkan ke atasnya. Kelihatan juga kehadiran beberapa manik yang dilekatkan di sekitar bahagian bonet.
Tindakan Teoh Brothers mematerikan namanya pada fabrik di bahagian bonet memang sangat difahami. Cuma, timbul sedikit kecelaruan konsep di sini; sama ada ia menampilkan konsep VIP atau merupakan satu konsep gabungan. Dari sudut interior, apa yang boleh dipuji sudah semestinya penggunaan ruang yang diminimumkan dan memberikan ruang yang agak besar untuk tempat letak barang.
Kecelaruan sudut interior tidak menjadi satu masalah besar kerana sedikit pun tidak membawa impak negatif. Bagi mereka yang mahu mengekalkan keadaan asal, Vios ini sangat tepat sebagai rujukan. Maksudnya, dari sudut audio, bukan interior!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 38