Autoshow dan Audioshow Sempena Festival Kenyir

Berjaya menjadi tumpuan ramai pengunjung setiap tahun, Festival Kenyir kembali memeriahkan Tasik Kenyir dengan pelbagai aktiviti menarik. Diadakan di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir, festival anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa. Dianggarkan hampir 80,000 orang pengunjung telah membanjiri dan memeriahkan lagi penganjuran Festival Kenyir ini.

Diadakan selama 4 hari bermula dari 25 Julai hingga 28 Julai yang lalu, penganjuran festival ini merupakan salah satu usaha untuk mempromosikan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tengara itu sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong sama ada tempatan mahupun luar negara. Turut hadir memeriahkan penganjuran festival ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi KETENGAH, Datuk Zulkifli Mohamad dan Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Sebanyak 35 acara telah dijadualkan sepanjang Festival Kenyir berlangsung. Antaranya termasuk sukan air, pesta jualan, ski, acara kebudayaan dan kraftangan serta penyediaan makanan berasaskan ikan sungai juga makanan tradisi, acara memancing dan banyak lagi. Tidak ketinggalan memeriahkan lagi penganjuran ini adalah segmen permotoran yang mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan para peserta bukan sahaja dari kawasan Pantai Timur, malah turut disertai para peserta yang datang dari kawasan utara.

Seperti kebiasaan, pihak penganjur telah melantik dan memberi kepercayaan kepada GM Event Management untuk menjayakan serta mengendalikan segmen permotoran ini. Bagi menyemarakkan lagi segmen permotoran kendaliannya, GM Event Management telah mengaturkan pelbagai aktiviti yang terdiri dari Autoshow, Audioshow dan juga Himpunan Kelab-kelab Kereta. Diadakan pada 27 Julai, acara ini dimulakan pada pukul 11 pagi dan berakhir pada pukul 6 petang dengan majlis penyampaian hadiah yang disampaikan oleh Pengurus Zon Bebas Tasik Kenyir, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, En Hasri Bin Omar.