Sejak kali pertama penganjurannya pada tahun 2003, Karnival Auto City atau Auto City Carnival dipadatkan dengan pelbagai aktiviti khususnya yang melibatkan dunia permotoran yang cukup mengujakan dan menyeronokkan saban tahun. Penganjuran tahun ini juga tidak kurang hebatnya. Tambahan pula, ia merupakan ulang tahun penganjuran Karnival Auto City yang ke 15. Berslogankan Thrill For All, karnival ini diadakan selama 3 hari bermula dari 5 sehingga 7 Julai yang lalu.
Pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk pameran dari barisan penaja bersama iaitu Motul, EXN, Haval serta penggiat dunia permotoran lain seperti Hella, Pulzar, Gesel Heinz, Duckhams, Gaido, Varta, Ultra Racing, Schmaco, Liqui Moly dan banyak lagi. Selain itu, karnival ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai pertunjukan, persembahan dan aktiviti-aktiviti yang disediakan untuk disertai para pengunjung yang hadir.
Tapak karnival dimeriahkan lagi dengan aktiviti permotoran seperti modifikasi kereta kompak serta pertandingan yang menawarkan pelbagai aktiviti. Antara pertandingan yang diadakan sepanjang karnival berlangsung termasuk Best Audio Car Competition, Miss Auto City Beauty Pageant, Party Queen, Beauty Parade, Spit Fire Performance, Radio Controlled Car Drifting Competition, Vintage / Classic Cars and bike dan pameran Super Car Showcases.
Lebih istimewa lagi, karnival ini memberikan peluang kepada para pengunjung untuk merasai pengalaman menaiki Teksi Drift yang dipandu bukan calang-calang orang tetapi drifter wanita terkenal Malaysia, Leona Chin. Bukan itu sahaja, para pengunjung juga dihidangkan dengan persembahan mendebarkan aksi lagak ngeri oleh Lotus Club & Toycarz Private Garage dan juga persembahan Spit Fire.