Kita boleh nampak perbezaan ketara sejak dunia audio kenderaan (ICE) berinovasi pada 2 dekad sebelumnya. Lama sebelum ciptaan yang inovatif dalam sektor pengendalian kualiti bunyi, persekitaran audio adalah tentang ‘kekuatan’ dentuman bass. Satu masa dahulu, siapa paling kuat, dialah juara. Namun bila lahirnya tuner dan gajet yang lebih sofistikated, pecinta sistem SPL semakin meluas. Kadang-kadang kita lihat visual sesebuah kereta SPL tapi bila diperdengarkan, ia seolah-olah sistem SQ yang ‘diperkuatkan’.
Pihak kami kerap berkunjung ke premis Pro Auto Car Acc. Menantikan projek ‘Bugatti Veyron’ mereka siap bukanlah tujuan utama tetapi beberapa bahan menarik telah mereka bina. Ketika pasaran perniagaan audio sekarang agak suram, Pro Auto tidak mahu membuang masa dan masih lagi gigih menghasilkan kereta demo atas produk yang diedarkannya. Pada kali ini, fokusnya ialah peralatan dari PowerBass, jenama dari Amerika Syarikat.
Mereka sering sahaja memilih kereta yang aneh pada pandangan mata kami. Kelmarin, Rav4 generasi pertama dan kali ini Inokom (Hyundai) Atos. Si kembar Perodua Kenari ini memiliki tubuh yang sesuai untuk sebuah kereta demo berikutan keadaan fizikalnya yang tinggi dan lebar membolehkan segenap ruang memendam tenaga berbalik dari sudut bunyi bass.Permulaan sistem dikendalikan oleh pemain utama dari Eclipse. Selari dengan keperluan demo kenderaan ini, pembahagian frekuensi dibahagikan oleh 3 unit pre-amp PowerBass XEQ-9XO supaya setiap unit gelombang bunyi boleh dipisahkan dengan berkesan. Ketiga-tiganya memisahkan frekuensi mid di belakang, mid di dalam kabin dan juga bass untuk but belakang.3 unit amplifier 4 saluran digunakan untuk memacu keseluruhan mid bass dan juga horn tweeter yang dipasangkan. Setiap amplifier ini menyampai dan menapis kuasa secara terus pada pasangan mid yang dipasangkan pada lokasi berbeza. Ia lebih berkesan tanpa perkongsian saluran atau disebut bridging.
Seunit amplifier monoblok kelas D dipasang untuk membekalkan kuasa secukupnya kepada 4 unit woofer 12” yang dipasang pada but belakang. Baiklah. Dari senarai yang diberikan tadi, penjelmaan kereta demo ini sebenarkan lebih cenderung pada kerja estetik yang halus. Peralatan audio dipasangkan pada fungsinya yang tersendiri dalam kekotak khas. Tiada wayar berselirat kelihatan dan semuanya ditutup dan dipersembahkan dengan rapi.Ruang kabin kereta ini cukup kemas, bersih dan terjaga serta arm rest dibalut kemas supaya kelihatan ianya buatan OEM. Bahagian luar juga disolek dengan rapi. Untuk jenama PowerBass, pihak Pro Auto memilih tema warna oren untuk tanda niaga mereka. Tiada perubahan lain yang dibuat melainkan beberapa pelekat jenama dan juga lampu LED di posisi yang sesuai.Penggunaan LED dan juga perspek berhias juga digarapkan pada bahagian but belakang. Ia menampilkan nilai eksotik di samping mengenengahkan fungsinya sebagai kenderaan demo audio. Jujur cakap, saya biasa sahaja dengan kereta audio tapi kebelakangan ini, kerap pula terjumpa kereta demo separuh siap. Dengan wayar berselirat, kadang-kadang ada plastik roti Gardenia di lantai dalam tersorok di celah amp. Semak tau, semak!