Archive : Vios Horizon tetap istimewa!


Semenjak segmentasi pasaran kereta berpecah kemudian dipecahkan lagi pada penghujung 90-an, kita dapat lihat corak pasaran kereta penumpang menjadi lebih kompetitif. Jika dahulu, segmen kereta penumpang kelas C seperti Civic, Sentra dan Altis menguasai pasaran, kini ia berubah bilamana pasaran segmen kompak B seperti Vios, City, Latio, Fiesta dan Mazda 2 diperkenalkan. Kereta kecil jimat minyak ini bukan sahaja mendahului dari segi jualan malah sudut modifikasi berkaitan peralatan ‘aftermarket’ juga tidak terbatas.

Walaupun Vios ini boleh dianggap sebuah kereta ‘kosong’ tanpa sebarang ciri istimewa, ia tetap merupakan kereta jenama import paling laris di pasaran. Oleh kerana ianya Toyota, Vios mendapat sambutan menggila di pasaran, pelbagai trim ditawarkan kepada bakal pembeli. Bagi pengetahuan semua, UMW Toyota juga antara pengeluar yang memperkenalkan Vios versi manual.

Vios yang dapat anda lihat di sini bukanlah versi biasa atau istimewa dari kilang. Bagaimanapun, pemiliknya Bird mengubahsuainya dengan ekstensif menjadikannya salah satu sistem audio yang sarat dengan pelbagai peralatan. Asalnya, kereta ini merupakan demo promosi produk Horizon dengan sedikit sentuhan kosmetik yang berjaya membezakannya dengan Vios yang lain.

Penyediaan kereta ini bermula dengan unit pemain utama cakera padat Alpine CDA-9884E. Sebagaimana yang biasa kita lihat pada talaan jenis SPL luaran yang lazim, pemain yang memiliki fungsi penuh talaan bukanlah pilihan utama kerana SPL lebih menumpukan pada aspek kuasa, bukan ketepatan bunyi semata-mata.

Justeru, Alpine CDA-9884E ini disambungkan terus kepada pre-amp elektronik Horizon jenis parametrik HR5Q 5 band yang berupaya mengambilalih fungsi pemain utama dengan kawalan volum utama, fungsi fader input dan audio dengan respon frekuensi dari serendah 10kHz hingga 50kHz

Dari sudut kuasa pula, Vios ini telah disediakan terlebih dahulu dengan dua unit amplifier jenama Horizon. Seunit amplifier 4 channel B8400 dan satu lagi seunit amplifier monoblock 2400-1. Kedua-dua amplifier ini bukanlah produk baru, malah semenjak Horizon diperkenalkan di pasaran tempatan, ia antara amplifier yang boleh diharapkan untuk memandu pelbagai jenis speaker dan woofer tanpa masalah kehilangan kuasa.

Amplifier 4 channel ini digunakan untuk menguasakan sepenuhnya 4 unit mid bass Horizon dan juga 2 unit horn tweeter Horizon HR25HT. Speaker ini diletakkan dalam gugusan di belakang but di mana pada posisi ini, jelaslah, SPL luaran kereta kompak ini mampu menenggelamkan sistem SPL dalaman ataupun SPL luaran dengan jumlah speaker yang lebih banyak. Teorinya begini, 4 mid ini pada posisi terbuka di bahagian penutup but mampu menghasilkan bunyi lebih baik daripada mana-mana speaker yang dipasangkan dalam enclosure custom.

Bagi memantapkan saluran kuasa, amplifier tersebut dipasangkan dengan sambungan kabel HR0.5 yang juga merupakan produk dari Horizon. Jarang sebenarnya dalam industri, pengeluar audio menghasilkan produk yang kecil begini melainkan mereka mahukan installer menggunakan sepenuhnya jalinan yang direka agar setiap unit kuasa yang ada disalurkan dengan optimum pada setiap unit speaker. Sebagai pemain yang agak baru dalam industri, Horizon mahu mendahului pesaingnya dengan menawarkan pilihan produk supaya pembeli dapat memilih pakej yang lebih ekonomikal.

Untuk melengkapi sebuah sistem SPL tulen, tiga unit woofer dipasangkan dalam but kereta ini. Ia teridiri daripada woofer 12 inci jenis voice coil berkembar yang mendapat kuasa daripada amplifier monoblok kelas D Horizon yang disebutkan tadi. Sambungan dari kabel Horizon HR1.2m digunakan bagi memastikan ianya sempurna. Kadangkala aspek ini banyak orang tidak ambilberat sedangkan, keluaran kuasa pada woofer lazimnya sangat kritikal dan kabel yang cukup berkualiti amat penting agar tidak berlaku masalah kuasa ataupun dalam senario yang lebih buruk, kabel boleh terbakar!

Kabel RCA yang digunakan dalam jalinan pemasangan keseluruhan sistem ini juga direka bagi menampung puncak kuasa dengan kualiti lapisan 24k emas pada penyambungnya. Ianya mudah lentur, jaket PVC yang kukuh menjamin supaya tahan lebih lama dan pemasangan yang mudah.

Vios ini walaupun contoh demo dari syarikat Horizon, ia juga tidak keterlaluan dijadikan kenderaan harian. Rekaan kosmetik, sedikit sentuhan VIP di bahagian interior menjadikannya antara contoh yang baik untuk dijadikan rujukan.