Archive : Satria Eros Boom Boom

Membina kereta demo audio sememangnya satu cabaran besar kepada installer oleh kerana kereta demo mereka ialah bukti tentang keupayaan sesuatu jenama ataupun kedai. Kiranya, kereta demo mereka membawa nama jenama atau kedai mereka kepada umum. Gempak cara pemasangannya ataupun kualiti bunyinya, maka orang ramai akan percaya yang jenama atau kedai tu benar-benar berkemampuan menghasilkan satu sistem yang cukup hebat.

Oleh sebab itulah, installer akan melakukan kerja-kerja pemasangan segila yang mungkin bagi menarik perhatian orang ramai kepada kereta demo mereka. Proton Satria kuning ini ialah satu lagi kerja gila yang berjaya menarik perhatian kami. Dibina oleh K&H Car Accessories dengan menggunakan jenama audio Eros secara ekslusif, Satria ini berjaya menghasilkan bunyi yang cukup menggegarkan.

Paling unik, Satria ini sebenarnya mempunyai dua sistem audio yang berbeza di dalam satu platform! Installer telah membina satu sistem audio yang boleh dikategorikan sebagai SQL dan jugak SPL dalam satu platform.

Untuk halwa telinga si pemandu di dalam kereta, unit utama yang digunakan ialah sebuah pemain DVD din-berkembar dari Jensen yang berkeupayaan memain-semula pelbagai jenis format audio dan video digital. Dari sini, unit utama tersebut menghantar isyarat-isyarat bunyi kepada seunit pre-amp analog 7 saluran Eros ER-S7P yang memecahkan isyarat tadi kepada isyarat bunyi yang boleh ditala oleh installer.

Dari situ, isyarat bunyi dikuatkan oleh 2 unit amplifier 4 saluran Eros ER-S4060 yang bakal membekalkan kuasa kepada 8 unit speaker dan 4 horn tweeter! Installer memilih speaker Eros TR-S600 yang masing-masing bersaiz 6.5” dan horn tweeter Eros ER-HT2050 bagi menghasilkan bunyi muzik yang jelas dan nyata. Speaker dan tweeter berkenaan dipasang pada panel pintu depan di dalam perumah custom. Maknanya, 8 saluran dari gabungan amplifier-amplifier tadi telah dipecahkan bagi memacu kesemua speaker-speaker berkenaan.

Selesai dengan urusan bunyi untuk ruang dalaman kereta, installer beralih pandangan pada sistem SPL yang bakal mendiami bahagian belakang kereta ini pula. Sudah semestinya tak lengkap sebuah kereta demo kalau sistem audio dia tak menggegarkan tanah, kan? Untuk itu, installer tidak menggunakan saluran bunyi dari unit utama dalam kereta tapi membina satu lagi sistem audio yang berbeza.

Installer menggunakan unit utama Pioneer DEH-P4950MP yang berkeupayaan memain semula format CD, WMA dan jugak MP3. Walaupun bukan dari model high line, ia dah cukup untuk digunakan bagi menghasilkan bunyi yang diingini. Dua unit pre-amp analog Eros ER-S4P dan Eros ER-S7P digunakan bagi memecahkan isyarat bunyi pada amplifier dan speaker yang berbeza.

Untuk laluan isyarat bunyi dari ER-S7P, ia disalurkan kepada dua unit amplifier jenis 4 saluran Eros ER-S4060 yang menghasilkan bunyi stereo. Dari amplifier-amplifier berkenaan, sebanyak 8 unit speaker mid bass Eros ER-S600 dikuasakan dengan 2 saluran dari setiap amplifier digunakan bagi memacu 4 unit mid bass, 2 saluran lagi digunakan bagi memacu horn tweeter Eros ER-HT2050 yang mengimbangi bunyi mid dari speker mid bass tadi dengan menghasilkan bunyi frekuensi tinggi.

Bunyi bass yang menggegarkan tanah dihasilkan dengan menggunakan 4 unit woofer 12” Eros ER-S122050CDM yang mengambil keseluruhan ruang menyimpan barang Satria ini. Isyarat bunyi yang dihantar ke sini dikawal oleh pre-amp ER-S4P dan kuasa disalurkan oleh dua unit amplifier jenis monoblock Eros ER-D2000 yang berkuasa tinggi. Setup yang digunakan ialah dengan menggunakan satu amplifier monoblock tadi untuk memacu dua unit woofer.

Dari segi pemasangan, selain daripada ruang di dalam but, installer telah menggunakan juga keseluruhan ruang tempat duduk belakang dengan menempatkan perumah buatan custom yang menempatkan keseluruhan amplifier yang digunakan untuk projek audio ini. Berdekatan ruang but, woofer telah disusun secara bertingkat mengadap pendengar di luar dan untuk mid bass dan tweeter, perumah custom telah dibina di sisi but belakang dan juga pada bahagian deck lid yang membenarkan ada sedikit lagi ruang meletak kargo pada ruang yang sempit ini. Sebuah bateri tambahan juga dipasang dan disorokkan secara kemas di dalam kereta untuk memacu sistem audio ini.

Secara keseluruhan, sistem audio berkembar ini berjaya memecah tradisi pemasangan yang sebelum ini fokus kepada satu jenis sistem bunyi saja. Tahniah diucapkan kepada K&H Car Accessories!