Bila melihat pelekat ‘Enatra’ di belakang Satria ini, ingatan saya seakan-akan terpanggil kepada sesuatu. Puas saya cuba mengingati kembali sehinggalah bos beritahu bahawa Enatra adalah sebuah pusat aksesori audio di Johor yang sudah lama berkecimpung dalam dunia audio. Barulah ingatan saya pulih bila teringatkan sebuah majalah lain yang diterbitkan lama dahulu mengenai sistem audio. Sekarang, majalah itu pun dah lama tiada di pasaran. Sesuatu yang membuatkan saya tidak lupa kerana ia satu-satunya kedai aksesori yang diusahakan oleh kaum Bumiputera di ketika itu.Ironinya begini, perniagaan di Malaysia ini adalah tipikal terhadap kecenderungan mengikut kaum. Misalnya kedai alatganti kereta dan jualan motosikal milik orang Cina lazimnya. Kedai menjahit, kedai pakaian bundle, biasanya diusahakan orang Melayu sementara kedai gunting rambut dan gerai majalah, ialah kaum India. Betul kan?
Sistem utama ini saling berintegrasi menerusi ‘splitter’ yang juga bertindak sebagai pre-amp bagi sistem utama. Pre-amp 7 band ini dipasangkan di bahagian kabin tempat duduk belakang bersama dengan pemain Pioneer, dua unit amplifier, sebuah bateri dan aksesori bekas minuman VIP.Sistem ‘pameran’ kereta ini kesemuanya duduk di bahagian but belakang kereta. Seperti yang dapat anda lihat pada foto, ia merupakan dominasi subwoofer daripada Mohawk yang berjumlah empat unit, masing-masing berukuran 12 inci dari model Mohawk SE. Sub tersebut dipasangkan dalam kekotak kedap udara, dibalut dengan pelapik permaidani lembut dan dihias dengan manik-manik berlian VIP di sekelilingnya. Keempat-empat sub tersebut menerima bekalan kuasa dari dua unit amplifier monoblock Mohawk MS2000.1D. Kombinasi ini menghasilkan dentuman bass yang dalam tetapi masih lagi meletup untuk menenggelamkan bunyi kereta lain.
Apa yang membuatkan saya berpendapat bahawa kualiti SQ nya yang menarik mungkin dengan kehadiran 8 unit mid speaker yang dipasang bersama dalam ruang bonet Satria ini. Model MC6 6 inci Mohawk ini bukanlah unit komponen, sebaliknya speaker yang menghasilkan mid tegar 100 peratus. Tiada distortion langsung memandangkan kelapan-lapan unit speaker ini dipacu oleh amplifier MS300.2 Mohawk yang mana tidak ramai yang sangka prestasinya menujah kuasa untuk 8 unit mid adalah cukup bagus. Jika anda perhatikan posisi pemasangannya yang berada di luar posisi sub, ia menjadikan bunyi lebih jelas. Dalam istilah audio, bunyi ini berada pada atas permukaan (above the surface) kerana dengan sedikit talaan, bunyi bass akan datang kemudian.
Ketajaman bunyi juga disokong oleh empat unit tweeter yang bergerak secara bebas. Ia tidak bergantung pada pemotongan frekuensi kerana ia bukan speaker jenis komponen. Malah jelas sekali bahawa jenamanya pun lain. Focal. Nama pun Focal, jadi tak perlulah berpeluh-peluh bila memasang tweeter kualiti rendah yang mana menala pre amp mencari frekuensi 15000mhz tetapi kualitinya macam 5000mhz. Tweeter titanum super bullet ini mendapat kuasa dari amplifier Mohawk MS100.2.