Archive : NaT King Kole

Kadang-kala, seseorang peminat tegar audio kereta tak perlu berbelanja terlalu besar untuk mendapatkan hasil bunyi yang baik. Jika anda mahukan sistem audio untuk tujuan SPL, maka paling penting ialah menggunakan seberapa banyak woofer yang boleh untuk dimasukkan ke dalam kereta dan amplifier yang digunakan mestilah dari jenis yang berkuasa tinggi. Menggunakan aksesori audio berjenama sememangnya menjadi idaman setiap insan yang meminati hobi ini, seperti juga peminat kereta yang idamkan kereta Ferrari. Tapi setiap manusia marhaen menghadapi kekangan bajet, dan ia sebab utama kereta Proton lebih banyak dijumpai di atas jalanraya berbanding kereta Ferrari.

Tetapi kekangan bajet bukanlah satu alasan untuk tidak mencapai apa yang diinginkan. Bak kata pepatah Melayu, kalau tak dapat rotan, akar pun berguna juga. Seperti projek audio SPL Proton Waja merah ini, aksesori audio yang digunakan bukanlah dari jenama premium, tetapi hasilnya amat mengagumkan. Installer untuk projek ini menggunakan unit utama dengan fungsi main semula CD dan DVD dari Roadmark yang mampu berfungsi dengan cukup baik.

Dari situ, isyarat bunyidisalurkan kepada seunit crossover elektronik NT Power NT-6EQT sebelum dipecahkan lagi kepada 2 unit pre-amp dari model yang berbeza, iaitu NT-P10 dan NT-P777. Kenapa dua unit pre-amp digunakan?Sebabnya, pre-amp itu digunakan untuk memberi kuasa kepada dua set speaker yang berbeza.

Baiklah, pre-amp NT-P10 memecahkan isyarat bunyi kepada 4 unit amplifier NT-1202SQ yang mana setiap satunya memikul tanggungjawab besar kerana memacu gugusan speaker yang terdiri dari tweeter dan mid bass. Dua dari amplifier tersebut yang mana setiap satunya memacu sebanyak 3 unit mid bass 6.5” Kole Audio KPS-PA65 dan seunit horn tweeter Kole Audio QD-TW100 untuk audio di bahagian dalam kereta. Manakala kesemua mid bass dan tweeter ini dipasangkan pada kedua-dua panel pintu custom-made.

Masih ada berbaki lagi dua unit amplifier dan kedua-dua unit ini digunakan untuk memacu gugusan speaker yang ditanam di bahagian belakang iaitu dalam perumah khas yang dilekapkan pada boot lid. Setiap satu amplifier ini memacu 2 unit mid bass 6” NT Power NT-6.0B serta seunit horn tweeter Kole Audio QD-TW100. Ini menjadikan jumlah keseluruhan speaker di bahagian belakang sebanyak 4 unit mid bass dan 2 unit horn tweeter.

Itu baru cerita pasal isyarat audio yang datang dari saluran pre-amp NT-P10, belum lagi cerita pasal NT-P777. Baiklah, pre-amp NT-P777 ini berbeza dari NT-P10 tadi. Kalau pre-amp NT-P10 digunakan bagi menala bunyi frekuensi tinggi dan sederhana, NT-P777 digunakan bagi menala frekuensi bunyi rendah semata-mata.

Sememangnya projek audio sebegini memerlukan dua saluran isyarat bunyi yang berbeza sebab bukan mudah hendak memastikan bunyi yang dihasilkan seimbang dan paling penting, cukup kuat untuk menghasilkan kuasa yang tinggi. Dua unit amplifier disambung kepada pre-amp tadi dengan satu tujuan saja – memberikan kuasa yang semaksima mungkin kepada seberapa banyak woofer yang boleh.

Amplifier monoblock yang pertama dipasang ialah NT-2501 yang digunakan bagi memacu dua unit woofer NT12DDD yang terletak di dalam bonet belakang. Woofer 12” ini diletak di dalam perumah custom yang dibina khas untuk Waja dan mengubah penampilan ruang bonet kereta ini.

Jika anda fikir, 2 unit woofer 12” sudah mencukupi, anda silap. Installer kereta ini agaknya sudah terbawa-bawa dan mencabut kesemua tempat duduk belakang serta membina satu perumah untuk empat unit woofer lagi! Bagi memacu keempat-empat woofer 12” dari NT-12DDS, installer projek ini memilih seunit amplifier jenis monoblock NT-5000 dari NT Power yang bekerja keras untuk memacu keempat-empat woofer tadi.

Selain speaker dan amplifier tadi, sistem audio Waja ni juga mempunyai unit untuk memain semula video dari unit utama. Memandangkan kereta dengan sistem SPL lebih banyak diperdengarkan untuk khalayak ramai, jadi skrin video TFT 4” sebanyak 8 unit diletak di perumah custom kat ruang but belakang.

Sistem audio yang digunakan Waja ini boleh dikatakan cukup berkuasa tinggi tanpa memerlukan modal yang terlalui besar. Secara peribadinya, perumah custom dalam but tu nampak kemas, memang secocok dengan minat diri sendiri, anda pula bagaimana?