Archive : MB Quart In My City

Ketika material tentang kereta ini sampai di meja, jujurnya fikiran sangat kosong. Bukan kerana ia sebuah Honda City mahupun modifikasi eksterior yang tidak memberangsangkan, sebaliknya masalah otak tepu. Apabila dimaklumkan City ini dipenuhi kelengkapan jenama MB Quart, sedikit sebanyak membantu merenjat saraf otak. Ayuh, kembali berfikir!

Tidak tahu apa alasannya tetapi semasa menyiapkan tugasan yang satu ini, lagu In My City berkumandang memenuhi rongga telinga. Mungkin untuk mengembalikan mood yang menghilang disebabkan CPU mati secara tiba-tiba sekali gus memusnahkan separuh artikel yang hampir siap. Ya, ini adalah hasil kedua. Harap isinya masih sama walaupun momentum sudah sedikit berubah.

Bermula dengan jenama audio dipilih installer Seng Yin Auto & Car Accessories untuk melengkapkan set sistem audio kereta Honda City ini, MB Quart. Sebagaimana jenama lain, MB Quart turut memegang reputasi tersendiri dan sangat terkenal dikalangan pencinta audio. Tambahan pula, ia datang dari teknologi Jerman yang majoritinya menghasilkan jenama audio berkualiti kelas hi-end.

Dibangunkan pada tahun 1962, MB Quart segera berkembang lantas muncul menjadi salah satu jenama berpengaruh. Mengeluarkan pelbagai aksesori audio termasuklah pembesar suara studio berkualiti, fon kepala dan speaker perakam monitor. Walaupun menerima persaingan dari pelbagai jenama baru, ternyata kualiti MB Quart diperkukuhkan sekaligus mengekalkan pengaruhnya dalam dunia audio.

Perkara paling penting dalam membina set sistem audio MB Quart yang lengkap seiring kualitinya adalah menerusi pemilihan pemain utama. Pemain utama ini ditugaskan menterjemah data dibekalkan fail media sebelum dipancarkan kepada anggota audio lain. Bagi tujuan ini, installer memilih pemain dari jenama Philips; pemain Dvd CED-780 dengan skrin sesentuh. Disamping menterjemahkan data audio dengan sempurna, ia turut didatangkan dengan beberapa ciri lain termasuklah sistem navigasi serta mudah untuk dikendalikan.

Kecemerlangan disuntik pemain Philips ini mencetus aliran yang kemudiannya dipecahkan kepada dua laluan. Kedua-dua laluan ini, setiap satunya dikepalai seunit amplifier 5 channel MB Quart Onyx ONX4.80/500. Kredit harus diberikan kepada installer kerana muncul dengan idea ini; menggunakan 2 unit amplifier 5 channel yang dilihat sebagai langkah bijak dalam menggunakan aksesori audio yang kurang tetapi tidak mencederakan kualiti.

Kalau diperhatikan secara teliti, laluan pertama dan kedua mempunyai corak perjalanan yang sama; atau lebih mudah kalau dikatakan sebagai duplikasi antara satu dengan yang lain. Disebabkan Honda City ini menjurus kepada set sistem audio talaan SPL, maka penumpuan diberikan sepenuhnya di bahagian belakang. Ini bagi mewujudkan tekanan bunyi bass yang mantap. Justeru itu, memadailah kalau penerangan perjalanan sistem ini diterangkan hanya menerusi satu laluan kerana laluan kedua juga mempunyai corak sama.

Baiklah, ayuh bermula semula dari unit amplifier 5 channel tadi. Ia membentuk 3 laluan yang mana terdiri dari mid, tweeter dan woofer. Kalau dilihat secara kasar, ia bukanlah satu pemasangan cerdik. Tetapi harus diingatkan kembali, amplifier yang digunakan bukanlah amplifier 2 atau 4 channel, sebaliknya 5 channel.

2 channel daripada 5 channel ini digunakan untuk memacu 2 unit mid MB Quart Formula FSB216. Salah satu siri yang mampu menghasilkan kebulatan bunyi bass dari MB Quart ini dipasangkan secara bertingkat dalam perumah yang dibina khas. 2 channel lagi digunakan pula untuk memacu 2 unit tweeter MB Quart dari siri sama dan ditempatkan secara berpasangan dengan mid tadi. Kehadiran tweeter ini khusus untuk frekuensi tinggi pada set sistem audio sekaligus memberikan keseimbangan pada bunyi yang dihasilkan.

Manakala, baki satu channel lagi digunakan untuk memacu 2 unit woofer 12” MB Quart dari siri Discuss; DWI304. Woofer ini pula disusun secara selari di bahagian ruang tempat barang di belakang. Di antaranya pula sengaja diwujudkan aliran udara agar memberikan impresi tekanan bass lebih mantap. Hah, bukankah hebat idea installer ini?

Bagi memberikan makna hiburan dalam Honda City ini, Seng Yin bukan sahaja menambah satu atau dua monitor, sebaliknya empat. 2 unit monitor di bahagian depan iaitu di head rest dan dua lagi di bahagian belakang, mengiringi barisan speaker dan woofer tadi.

Sekarang, barulah syok berdendang sakan dalam Honda City dengan kelengkapan MB Quart. “You ain’t never had a party, till you come to party in my (Honda) City!”