Archive : Iswara dengan sistem PA

Cinta pandang pertama? Mungkin ada yang percaya tentang wujudnya cinta pandang pertama dan ada juga sebaliknya. Sepertimana definisi cinta itu terlalu subjektif, begitu jugalah dengan bagaimana seseorang itu boleh jatuh cinta. Bila berbicara tentang cinta, pelbagai kisah boleh dikongsi bersama. Kali ini kisah cinta yang akan dikongsi bersama bukan setakat cinta pandang pertama, tetapi juga cinta ‘mendengar’ kali pertama. Sebuah pengalaman peribadi saudara Azhar Taib dengan sistem PA yang dimuatkan pada kereta kesayangannya!

Secara jujurnya, saya tidak menganggap ada apa-apa yang istimewa sebaik melihat kereta Iswara milik Azhar ini. Terlalu ringkas tanpa sebarang kehadiran bodykit tambahan, apatah lagi pelekat bagi menutupi kekosongan dinding kereta yang disaluti warna hitam. Mungkin juga ianya kesalahan saya kerana terlalu mengukur kecantikan luaran. Sesuatu yang luar biasa pada kereta Iswara ini tersembunyi di bahagian bonetnya, di mana bersemadinya jentera I.C.E yang ‘menampar’ anggapan saya sebentar tadi.

Jangan ditanya apa yang istimewa, sebaliknya kenapa ianya istimewa? Adakah dekorasi atau susunannya? Ataupun lambakan jentera I.C.E yang memenuhi ruang ini? Jawapannya terletak pada 6 unit woofer 15” yang disusun rapi. Mungkin anda tidak mengecam bahawa woofer yang digunakan adalah woofer sistem PA! Ya, woofer yang digunakan di pentas untuk mengiringi persembahan konsert. Menarik bukan? Bagaimana boleh terlintas difikiran saudara Azhar mengaplikasikan sistem PA untuk dijadikan sebahagian ahli jentera I.C.E miliknya?

Semuanya bermula apabila beliau menyertai salah satu audioshow dan terserempak dengan kereta seorang peserta yang menggunakan set sistem PA sebagai jentera I.C.E. Beliau tertarik apabila mendengar bunyi dihasilkan woofer sistem PA yang lebih padat berbanding woofer 12” miliknya ketika itu. Tanpa membuang masa beliau pun bertukar kepada sistem PA sepertimana yang dapat dilihat pada hari ini. Ternyata dengan perubahan itu memberikan kepuasan paling maksima kepada beliau.

Namun begitu, kepuasan yang dialami beliau mengalami keterbatasan. Desibel (dB) yang dihasilkan oleh woofer sistem PA ini tidak mencapai piawaian yang ditetapkan. Keterbatasan itu membuatkan beliau dan beberapa pecinta I.C.E lain yang turut menggunakan sistem PA sukar untuk menyertai pertandingan audio di peringkat lebih tinggi. Mujurlah di kawasan utara pada hari ini sudah terdapat kategori khas untuk golongan seperti mereka. Adakah mungkin di masa akan datang kategori yang sama akan dibuka pula oleh pertandingan audioshow yang lainnya?

Tidak adil kalau asyik terus menjulang sistem PA ini tanpa mempedulikan ahli jentera I.C.E lain yang turut bekerja keras dalam menghasilkan bunyi mantap idaman Azhar. Nama teratas dalam senarai sudah semestinya pemain utama. Azhar meletakkan kepercayaan kepada jenama Alpine. Pemain utama CDE 787 E ini bertugas membaca fail dan memproses data sebelum dipancar kepada stesen I.C.E yang lain. Ada dua sistem I.C.E yang terdapat dalam kereta Azhar ini. Sistem I.C.E talaan standard di bahagian dalam dan di bahagian belakang pula adalah talaan SPL!

Sistem talaan standard yang dianggotai oleh pre-amp Excedio PA 4C22 yang mana memproses isyarat yang diterima dari pemain utama Alpine tadi. Kemudian, isyarat tersebut akan dibesarkan pula sebelum dipancarkan kepada barisan speaker. Bagi tujuan ini, sebuah amplifier 2 channel MIX telah digunakan. Amplifier ini akan memacu sejumlah speaker yang terdiri dari 2 unit mid bass 6”, 2 unit mid bass 5” dan juga 2 unit tweeter. Menurut Azhar, sistem talaan standard ini hanya digunakan semasa dalam perjalanan.Berpindah pula kepada sistem talaan yang kedua, SPL khas untuk jentera I.C.E yang bersemadi di bahagian belakang. Data-data yang diproses oleh pemain utama akan dipancarkan kepada stesen crossover elektronik Swiss Audio SX33 sebelum dipancarkan pula ke dua buah pre-amp RDS 7008 dan RDS 1008. Ada yang beranggapan penggunaan pre-amp tidak perlu kerana ianya membazir dan banyak pendapat yang saling bercanggah. Terpulang kepada selera masing-masing. Rambut sama hitam, tak semestinya citarasa pun sama.

Selesai diproses di stesen pre-amp, isyarat dipancarkan pula ke stesen berikutnya yang terdiri dari 4 unit amplifier dan isyarat akan diperbesarkan sebelum memacu barisan speaker. 3 unit amplifier 2 channel digunakan untuk memacu 6 unit woofer 15” sistem PA. 3 unit amplifier yang digunakan adalah dari jenama Volfenhag buatan negara Jerman. Amplifier siri lampu biru model ZX-8400. Dua unit amplifier ini masing-masing memacu dua unit woofer 15” sistem PA jenama MCIS. 1 unit amplifier lagi memacu 2 unit woofer 15” jenama Black Window.

Manakala baki keseluruhan barisan speaker dipacu 1 unit amplifier 4 channel jenama Hifonics Txi4408. Barisan speaker ini terdiri daripada 4 unit mid bass 6” Paws, 2 unit mid bass 6” RDS, 2 unit tweeter RDS dan 2 unit tweeter Night Stalker. Bagi memberi kestabilan bekalan kuasa sepanjang sesi ‘menghentam’, Azhar menggunakan 1 unit bateri tambahan dan 1 kapasitor. Difahamkan beliau ingin menambah kepadatan sistem I.C.E ini. Aduh! Sedangkan yang ada inipun sudah menggegarkan, inikan pula mahu ditambah lagi? Silap haribulan, ada yang tak puas hati!

Menurut Azhar sendiri, beliau pernah mengalami pengalaman kurang menyenangkan. Insiden terjadi ketika beliau bersama rakan lain sedang asyik menghentam bass. Tanpa sedar, sekumpulan kereta lain tidak berpuas hati kerana audio mereka tenggelam dek bunyi padat sistem PA ini. Hampir juga berlaku pergaduhan. Insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku. Jika tidak puas hati, bawa berbincang. Bukan semua perkara boleh selesai dengan pergaduhan. Apa salahnya kalau sama-sama mendengar dan bertukar-tukar pendapat untuk mendapatkan hasil bunyi yang sama?