Archive : Iswara Adams Digital, Feed Your Need

Iswara yang gagah dengan kelengkapan audio penuh dari Adams Digital ini merupakan entri saat-saat akhir. Mujur pihak Kar HiFi bijak mencuri waktu yang sudah pun cukup sarat dan mengembara jauh ke timur tanah air, Temerloh di negeri Pahang Darul Makmur. Pahang menyaksikan satu lagi bidang yang semakin pesat membangun. Ya, bidang modifikasi dan pembinaan sistem audio di dalam kereta. Salah satunya adalah kereta Iswara ini yang dibangunkan sebagai kereta demo milik MR Car Audio yang terletak di bandar Temerloh.

Berbanding kereta-kereta demo yang seringkali ditemui sebelum ini, MR Car Audio menjadikan Iswara dan bukannya Kancil mahupun Kelisa untuk mewakili kedai mereka. Bersesuaian dengan tujuan ia dibina, penumpuan sepenuhnya diberikan di bahagian belakang Iswara. Cukup lengkap dari sudut audio dan juga visual, malah disusun cantik dan rapi. Tidak cukup di ruang letak kereta, installer ini menggunakan kreativiti dengan menambah perumah di bahagian hud yang menempatkan sebarisan speaker. Ia bukan sekadar untuk kelihatan cantik, tetapi setiap speaker yang ada dalam sistem ini membawa peranan penting.

Dimulakan dengan pemain utama yang dipilih dari jenama Alpine, pemain CD CDE-140E ini bukan sahaja mampu memainkan CD, malah ia turut memainkan beberapa format media lain dengan cukup baik termasuklah MP3, WMA, USB dan Aux. Lebih memudahkan para pengguna, ia didatangkan dengan alat kawalan jauh. Jadi, tidak kiralah jenama apa sekalipun, yang penting ia masih mampu memainkan muzik dengan cukup baik.

Bagi menambahkan lagi kelicinan pada isyarat yang dibaca pada pemain utama tadi, installer telah memasang pemproses bass digital Md Epix-1 dan juga pre-amp 7 saluran Adams Digital. Kedua-dua pemproses dan pre-amp ini mempunyai fungsi tersendiri yang digunakan untuk mengagih kuasa dan frekuensi yang tepat kepada barisan speaker; sama ada tinggi dan juga rendah.

Pre-amp 7 band ADP-100MS dari Adams Digital ini digunakan khas untuk segerombolan speaker yang mana dikuasakan oleh dua unit amplifier 4 channel Adams Digital ADS-80.4. Unit amplifier pertama bertanggungjawab untuk menguasakan sebanyak 6 unit mid bass Adams Digital dari Energy Series, EX600. Siri Energy ini dibangunkan khusus dan sesuai untuk sistem audio dengan talaan SPL seperti yang dibangunkan pada kereta Iswara ini.

Kesemua enam mid bass 6.5” ini telah ditempatkan dalam perumah yang dibina khas di ruang tempat belakang. Dipasangkan secara berpasang-pasang, ia secara tidak langsung mencetuskan bunyi bass yang mantap dan bergegar, seiring dengan talaan SPL. Seunit lagi amplifier 4 channel tadi, yang turut menerima agihan dari pre-amp di awal tadi bertugas untuk menguasakan sebanyak 4 unit mid bass juga dari siri Energy tadi.

Bagi memastikan impak bass yang didambakan dapat dipenuhi, keempat-empat unit mid bass ini ditanam pada perumah yang diletak di cermin belakang. Mengimbangi kemantapan bass, installer memasangkan dua unit tweeter. Ya, dua unit tweeter dari Adams Digital ini sudah mencukupi dan cara ianya dipasang perlu dipuji dengan mengambil kira sebaran bunyi yang dihasilkan dari muncung-muncung speaker ini.

Mengakhiri sistem audio ini adalah 6 unit woofer Adams Digital juga dari siri Energy, EX-1000. Dikuasakan hanya seunit amplifier monoblock Adams Digital EAM-2400.1D yang terlebih dahulu menerima isyarat dan juga agihan frekuensi bass tepat dari pemproses digital bass Md Epix-1 yang dinyatakan awal-awal tadi. Kesemua woofer yang sememangnya cukup berat ini telah dipasangkan dalam perumah yang cukup ringkas dan semuanya dimuncungkan keluar.

Enggan membiarkan kereta ini suram dan harus seiring dengan tugasnya sebagai kereta demo (perlu menarik perhatian walau dari jauh), installer telah mempercantikan tubuhnya dengan balutan warna hitam serta dilekatkan pelekat Adams Digital. Berbeza dengan kereta demo yang ada, Iswara ini antara kereta yang sangat elegan tanpa kehadiran pelekat yang besar gedabak. Cukup sekadar satu dan ia telah mewakili keseluruhan sistem audio yang dibawanya.

Adakah ia cukup berjaya dalam misinya? Jujurnya, ia sudah mampu membuat sesiapa sahaja menoleh dan berhenti kerana hentaman dari 6 woofer, bukanlah sesuatu yang boleh diendahkan kecuali jika ada masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan.