Archive : Inspira Performance, The Inspiration

Waktu dilancarkan pada 2010, Proton Inspira menerima kritikan keras dalam industri kerana menggunakan salinan terus Mitsubishi Lancer generasi 10 dalam segmen pasarannya. Proton yang bergelut dengan garis masa untuk menggantikan Proton Waja telah mengambil langkah pantas menggunakan platform yang sama sementara menunggu model Preve siap dibina. Walaupun merupakan salinan terus dan bukan R&D penuh sebagaimana model awal Mitsubishi-Proton, Inspira tetap diterima. Salah satu faktor yang menyebabkan penerimaan ini adalah kerana harga jualannya yang mampu milik berbanding Mitsubishi Lancer dengan 20-25 peratus perbezaaan harga.

Sharad yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan berpendapat bahawa Inspira adalah produk yang berbaloi dibeli. Tanpa memikir panjang, kereta ini dimiliki sebagai kenderaan harian beliau beberapa tahun lepas atas dasar ia sebuah produk yang dipercayai dan bernilai untuk wang. Dengan jiwa mudanya juga ia memerlukan sebuah kereta bertransmisi manual yang lebih seronok untuk dipandu. Pilihan yang tidak ditawarkan dalam barisan produk Lancer.

Lain pula ceritanya lepas dibeli. Dek kerana berkawan dengan rakan-rakan yang gila dengan sistem audio, Sharad turut terpengaruh. Ianya bermula dengan penukaran pemain aftermarket dan speaker coaxial yang sederhana kualitinya. Kemudian terjebak pula dengan geng EMMA dan kaki audio lebih serius yang sering menghabiskan masa di pertandingan Autoshow. Sharad mengambil keputusan untuk membuat modifikasi penuh terhadap sistem audionya.

Pemain DVD-din dari Sony dipasang dengan casing khas untuk perumah 7” pada papan pemuka Inspira ini. Pemproses sekunder yang dipilih ialah seunit equalizer analog dari Pegasus. Dari unit ini, saluran sistem terbahagi dua. Satu untuk sistem dalaman kereta manakala satu lagi untuk sistem penuh di dalam but belakang.

Untuk hiburan beliau sewaktu memandu, dua unit amplifier 2 saluran dari Performance dipasangkan untuk membekalkan kuasa kepada empat unit mid bass dan dua unit tweeter Clarion. Tanpa pengubahsuaian yang besar, speaker ini dipasangkan pada posisi asal yang mana perumah asal juga tidak diubahsuai langsung. Struktur bunyi dikendalikan sepenuhnya berdasarkan talaan yang dibuat pada pre-amp tadi.

Sistem yang lebih sempurna terletak di bahagian but belakang, menampilkan empat unit mid bass, dua unit tweeter dan dua unit woofer 12”. Tidak ketinggalan ialah susunan monitor TFT sebanyak enam unit yang diseragamkan tema pemasangannya nampak selari dengan konsep keseluruhan.

Mid bass Performance dan horn tweeter jenama Stealth itu dipasangkan pada trunk lid dengan bekalan kuasa diperolehi daripada seunit amplifier Performance 4 saluran. Sementara woofer 12” magnet berkembar dengan gegelung tunggal itu pula mendapat suntikan kuasa dari amplifier monoblok Performance.

Kemasan kecil yang dibuat terhadap kereta ini telah memberi nilai tambah yang signifikan. Walaupun tanpa bodykit kembang, pemasangan rim TE37 replika berwarna oren cukup membuatkannya kelihatan seperti sebuah Evo Time attack. TE37 ada model asal TE37MAG atau TE37RT yang kebanyakannya digunakan oleh kereta gymkhana dan trek di Jepun. Ringkas tapi warna kontras yang buatkannya nampak garang!