Archive : AQ, Bring To Life!

“Rare (jarang)!” Itulah perkataan yang terlintas sebaik sahaja melihat kereta ini apabila diberikan tugasan oleh bos tempoh hari. Kalau bukan kerana logo yang masih tertera di depan kereta ini, belum tentu lagi saya tahu nama pengeluar kereta ini. Daihatsu, antara pengeluar kereta tertua Jepun. Dibentuk secara rasmi pada 1951, mengeluarkan model kereta pelbagai jenis serta menjadi rujukan pengeluar kereta lain termasuklah Perodua. Puas berteka-teki sendirian, saya mengalah dan bertanya apakah nama model kereta ini. Charmant A10.

Charmant A10, gagal menarik perhatian. Mungkin disebabkan kereta lama bukanlah tumpuan utama, melainkan ia benar-benar memiliki nilai estetik. Anggap sahajalah nilai estetik di sini merujuk kepada kereta klasik seperti Cadillac, Jaguar MkV, Roll Royce ataupun Ford Mustang yang walau berusia lebih 20 tahun, harganya lebih mahal dan dinobatkan sebagai antik. Berbanding Charmant A10 yang kebiasaannya ditemui di kedai-kedai besi. Pahit tetapi inilah kenyataan. Buatan barat diangkat, manakala Asia terpinggir.

Eksterior tanpa sebarang tampalan atau sentuhan ‘air-brush’ secara tidak langsung mewujudkan aura muram. Tidak ada yang menarik. Kalau dihadapkan dalam pameran, mungkin dijeling-jeling saja. Bosan yang mematikan ‘mood’ suasana. Itu dari sudut luarannya. Apa yang tidak boleh dinafikan, kekukuhan dan keutuhan binaan badan kereta ini. Dari sudut prestasi tak tentu lagi Myvi mahupun Persona mampu menandingi ketahanannya. Kalau tak, masakan Charmant A10 dari Sabah ini dipilih sebagai kereta demo, betul tak?

Selain prestasi, Charmant A10 ini dihidupkan dengan isian aksesori audio dari jenama Audio Quart. Gabungan unik antara ‘rare’ dan kualiti, seolah-olah membangkitkan kereta ini untuk terus hidup dan memberikan persaingan hebat kepada setiap kereta, khususnya yang berentap di medan pertempuran. Difahamkan lagi, Charmant A10 ini sentiasa menggerunkan pihak lawan dan menjadi tarikan utama di setiap tapak acara. Ironi bukan? Sangat bertentangan dengan tanggapan saya sebentar tadi.

Kredit harus diberikan kepada installer kerana memadankan kereta demo ini dengan jenama yang tepat, Audio Quart. Seiring dengan moto dibawa jenama ini, The Sound Beyond Imagination. Bunyi dihasilkan Audio Quart melangkaui imaginasi dan itulah juga yang terjadi kepada Charmant A10 ini. Menghidupkan suasana bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi apabila ia berkaitan dengan kualiti, Audio Quart bukan sahaja mengembalikan kehebatan kereta ini malah menjadi tumpuan setiap mata memandang dan telinga yang mendengar.

Dimulakan dengan satu lagi jenama yang memang mengungguli pasaran dengan pemain utamanya, Pioneer. Bagi mengetuai barisan sistem audio Charmant A10 ini, installer telah memilih pemain utama model Pioneer DVH – P4050MP. Dari sini, segala data yang dibaca akan ditranformasi menjadi isyarat dan dihantar pula kepada beberapa anggota sistem audio yang lain. Dua laluan utama dibentuk. Laluan pertama dialirkan kepada pre-amp Audio Quart AQP–778, manakala laluan kedua diketuai crossover elektronik Audio Quart AQX–302.

Di sini, pembaca dibawa mengikuti aliran dua laluan ini satu persatu dimulakan dengan laluan pertama. Dari pre-amp tadi, isyarat dihantar kepada seunit amplifier monoblock Audio Quart, AQ–A3000.1D. Setelah kuasa diperbesarkan, isyarat seterusnya dihantar pula kepada barisan woofer yang terdiri daripada 3 unit woofer 12” Audio Quart AQ–128RS. Semua woofer ditempatkan dirak khas di mana di lantainya dihiasi sebuah cermin. Silap haribulan, cermin ini boleh mengelirukan (termasuklah saya) dan mengandaikan ada 6 unit woofer.

Berbanding laluan pertama yang ringkas, laluan kedua dipasang dengan beberapa aksesori tambahan bagi mewujudkan gemaan dan dentuman bunyi, mengimbangi bunyi bass yang dihasilkan woofer. Bermula dari crossover, isyarat dibahagikan kepada 2 unit pre-amp dari Audio Quart; AQP–70RS dan AQP–666N. Isyarat dari pre-amp AQP–70RS dialirkan kepada amplifier 4 channel Audio Quart AQ–HQ4S untuk memacu 2 unit woofer 12” AQ–W125R. Tempat duduk belakang dikorbankan untuk menempatkan 2 unit woofer ini.

Pada bahagian ini juga kelihatan 2 unit amplifier 4 channel Audio Quart AQ – HQ4S. Seunit telah digunakan untuk memacu barisan woofer tadi. Manakala unit kedua amplifier ini pula menerima isyarat dari pre-amp AQP–666N. Isyarat ini kemudiannya akan membentuk dua lagi laluan. Laluan pertama untuk barisan mid bass yang terdiri daripada 4 unit mid bass Audio Quart dan laluan kedua pula, terdiri daripada 4 unit horn tweeter Audio Quart AQ–25HT. Kesemua ini melengkapi sistem audio yang dipakaikan ke atas kereta klasik ini.

Secara zahirnya, ia mungkin tidak diangkat lagi sebagai klasik. Namun, dengan keupayaan untuk tampil serba hebat dan mampu membuatkan pihak lawan gentar, Charmant A10 ini bukan sahaja klasik tetapi unik dan bunyi dari produk jenama Audio Quart berjaya membawa ia hidup kembali. Hidup dengan maruah dan penuh meriah. Tak begitu?