Archive : Altezza East Rainbow


Nobuaki Katayama adalah individu penting yang dilantik oleh Lembaga Pengarah Toyota Motor pada 1997 untuk sebuah projek penting yang diberi nama XE10. Katayama San juga sangat dihormati di Jepun kerana diingati sebagai pencipta AE86, lagenda permotoran sepanjang zaman. Bila menerajui projek ini, Katayama berhadapan dengan tugas berat yang disandarkan padanya. Projek ini bakal berkongsi lencana dengan Lexus, model yang bersaing dengan BMW 3 siri.

Di Eropah dan benua lain, ia dikenali dengan nama Lexus IS. Walaupun sambutannya dingin di kalangan pembeli kereta sport entry level, realitinya kereta ini berjaya di Jepun, sama seperti IS200. Altezza amat dikenali kerana lampu belakang yang identikal, masih tidak mampu bersaing dengan BMW 3 siri. Namun begitu, ia tetap cemerlang dari sudut kejuruteraan dan ‘keberaniannya’ muncul untuk bersaing dengan pasaran mewah Jerman.

Jika Lexus dikaitkan dengan Mark Levinson, Altezza yang dipaparkan kali ini lebih dari Levinson, ia dipasangkan dengan sistem Rainbow. Pernah dengar? Sama seperti Sinfoni, jenama terkenal dengan kualiti SQ ini adalah buatan Jerman sepenuhnya. Ia bukan dicipta untuk sebuah Myvi melainkan anda tidak kisah untuk membayar sebuah sistem SQ lengkap pada harga sebuah Alza.

Sistem SQ lazimnya tidak melibatkan banyak speaker. Apa yang lebih penting, kualiti speaker dan kepakaran talaannya. Dari sudut ketebatan bunyi, Altezza hampir tidak perlukan apa-apa, namun bagi sebuah projek SQ yang serius, pintu Altezza ini telah ditebat terlebih dahulu dengan bahan penebat berkualiti tinggi. Membuka dan menutup pintunya sahaja pun dah rasa berat semacam.

Unit pemain utamanya ialah Pioneer P80. Seperti yang digemari oleh pendengar bertelinga sensitif, tiada apa yang mampu menandingi P80 (kecuali F1 dan P90RS, bukan?) P80 memang sebuah pemain CD yang sangat bagus untuk kategori harganya. Ia boleh dianggap sistem aktif yang berbaloi dibeli. Dengan sistem ini, memilih peralatan seterusnya tidaklah menjadi masalah. Bila pemain mampu mengekstrak 100 peratus kualiti bunyi, speaker pintu hadapan yang bagus akan menghasilkan muzik yang lebih bagus.

Di bahagian hadapan, speaker mid bass yang digunakan ialah Rainbow W 165P Vanadium Plug. Sama kualitinya seperti rangkaian Soundline, Germanium, Power, Profi dan lain-lain dari Rainbow. Speaker ini menjanjikan bunyi mid bass dari sisi dan akustik yang jelas. Jika anda boleh dengar dengan lebih teliti, bunyi speaker rainbow biasanya lebih ‘warm’ sepertimana tipikal speaker buatan Jerman.

Mid bass ini digandingkan dengan sepasang tweeter CAL26 Titan VOF. Ia dipasangkan di atas cermin di sisi pillar hadapan dan dikuasakan oleh power amplifier 4 channel Ciare CPW4060. Ciare ini juga bukan sembarangan, amplifier ini buatan Itali sepenuhnya dengan kapasiti pembekalan kuasa yang sangat konsisten dan tidak pernah diragui kemampuannya.

Untuk mendapatkan nada rendah bass, sebuah subwoofer 12 inci Rainbow Vanadium dipasangkan di dalam but. Dengan sedikit kreativiti, subwoofer tersebut dipasangkan dengan cara terbalik dengan kon dihalakan ke bahagian kabin, betul-betul memusat di tengah. Pengubahsuaian dibuat pada dinding tempat duduk belakang dengan membolehkan perehat tangan memberi ruang kepada subwoofer tersebut menghantar bass ke dalam kokpit dengan berkesan.

Secara tidak langsung pendengar akan dapat sebuah subwoofer dengan kotak (kargo) berkapasiti 400 liter. Oleh yang demikian, subwoofer tidak perlu bekerja keras. Namun kepercayaan tetap diberikan kepada sebuah lagi amplifier Ciare CPW2110 untuk memandu subwoofer ini. Mungkin anda menyangka, ia sebuah amplifier monoblock, tetapi amplifier ini ialah amp ‘biasa’ dengan saluran dua channel.

Bukan sahaja ia menghasilkan dinamik bunyi kelas satu, gandingan peralatan ini turut melibatkan penggunaan kabel dan kotak fius berkualiti tinggi dari Aurix. Sistem pendawaian kereta ini dipasangkan dengan cukup sistematik dengan setiap inci memeri fungsinya yang terbaik.

Susunan amplifier di bahagian but juga dibuat dengan kemas. Kedua-dua amplifier Ciare tersebut ‘ditanam’ di atas lantai but dan dilindungi arkilik nipis bersama lampu neon kecil. Di sisinya ialah kapasitor dan bateri pengantara yang memastikan kuasa yang dibekalkan pada keseluruhan sistem mencukupi dan konsisten.

Secara keseluruhannya, SQ adalah satu bentuk seni bunyi yang mana anda tidak akan bosan mendengarnya, baik apa juga jenama yang dipilih. Yang pasti, speaker premium memerlukan peralatan yang minima dan talaan yang jauh lebih mudah.