Kereta ini dibina dengan cara yang kemas dan teliti. Kalau anda biasa dengan kereta autoshow dan audio, kadangkala ianya lebih kepada gaya. Kurang woofer yang cukup tapi kuasa bunyinya entah di mana. Nampak macam kuat tapi baru separuh volume dibuka bunyi pecah macam radio transistor. Dah tau macam itu pun dipulas lagi volume sebab tak mahu kalah katanya! Hahahahaha…
Sistem audio kereta ini bermula dengan pemain Pioneer-DEH-3350UB. Kalau anda mencari pemain futuristik yang dipenuhi pelbagai ciri, lupakan entry model ini. Ia pemain basic yang perlukan sistem sekunder untuk memproses bunyi nyata. Pendek kata, pemain ini menjadi medium pemprosesan utama yang paling asas. Ia kemudiannya disambungkan dengan dua unit pelaras sekunder pre-amp Horizon HR-7QS dan Horizon HR-4QS.
Unit equalizer 7 band HR-7QS tadi bertugas membahagikan gelombang sederhana dan tinggi menerusi dua unit amplifier iaitu amplifier 2 channel Horizon HR-100.2 dan amplifier 2 channel HR-600.2. Kedua-dua amplifier ini kemudiannya menguasakan dua unit horn tweeter HR-25HT dan enam unit mid bass 6” Horizon HR6.5P.
Kesemua peralatan ini dipasangkan di dalam but belakang Almera. Saya juga tak biasa sangat dengan kereta ini tapi apa yang memang selalu disebut-sebut ialah ruang butnya memang besar. Ia membolehkan VIN accesories melakukan yang terbaik. Perumah speaker diperbuat dari bahan gentian kaca dan bukan sahaja ianya cukup luas untuk menempatkan empat unit woofer 12” bertingkat malah semua mid bass dan tweeter yang diceritakan tadi.
Equalizer 4 saluran HR-4QS tadi bertugas sebagai pelaras frekuensi sebelum disambungkan dengan seunit amplifier monoblock Horizon HR-6800. Empat unit woofer yang kelihatan itu datangnya dari model Horizon HR-12PA.
Pemasangan yang dibuat agak ringkas dan terus kepada matlamatnya. Penggunaan bahan gentian kaca menjadi medium utama dan skema pemasangan oleh VIN accesories lazimnya menyembunyikan amplifier di belakang kerusi penumpang. Berbeza dengan sistem SQL yang mengutip markah dari segi pemasangan yang kompleks dan unik, sistem yang dibuat pada kereta ini lebih kepada hobi dan santai.
Hampir setiap bulan ada acara pertandingan atau pameran autoshow yang dijalankan di sekitar Johor. Terkenal dengan budaya unit ubahsuai kereta Autoshow, Johor telah melahirkan banyak tuner, pembuat bodykit, pereka audio dan jaguh dalam motorsport. Dan yang terkini dah tentulah pasukan bolasepak kebanggaan mereka JDT kan?
Ayuh. Luaskan Kuasamu!