Adunan Bunyi Membelai Jiwa

Setiap pecinta I.C.E perlu memiliki 2 kriteria, kemampuan mendengar dan juga kemahiran untuk mendengar. Ya, kemampuan dan kemahiran adalah dua perkara yang berbeza. Manakala minat semata-mata bukanlah tiket kepada seorang penggila I.C.E untuk memiliki apa sahaja yang diidamkan. Kebiasaannya, ia dibatasi faktor kewangan. Sepertimana yang diketahui pecinta I.C.E sendiri, sistem I.C.E yang paling sempurna dan mirip home hifi adalah sistem 3 hala.

Bukan semua mempunyai sejumlah wang yang banyak untuk memiliki satu sistem I.C.E yang sememangnya diperakui bagus dan terbaik seperti sistem 3 hala ini. Jikalau terang-terang dinobatkan sebagai bagus, semestinya ia datang dalam harga yang cukup baik. Perkataan sinonim bagi sistem ini ialah sistem hi-end! Ya, itulah yang dilabelkan oleh pecinta I.C.E. Hanya yang bertuah mampu memiliki sistem ini seperti yang terdapat pada kereta Nissan Latio ini, milik Shankar.

Semuanya bermula apabila Shankar mendengar muzik menerusi headphone, sekaligus mendidik beliau memahirkan telinga dalam mendengar dan mengenal pasti bunyi yang dihasilkan. Ya! Beliau mempunyai kemahiran untuk menangkap bunyi yang keluar dari instrumen. Di situlah bermula pemburuan kualiti bunyi yang sebenar. Beliau merujuk kepada installer serta menggantikan speaker yang didatangkan bersama kereta Nissan Latio yang baru dibelinya pada November, 2008.

Sebagaimana pecinta I.C.E lain, beliau bertatih-tatih terlebih dahulu dan cuba membiasakan diri dengan sistem pertama yang dipakaikan ke atas I.C.E nya iaitu sistem 2 hala. Malangnya, sistem tersebut tidak mampu memberi kepuasan apatah lagi memenuhi kehendak Shankar yang bertugas sebagai jurutera untuk Malaysia Airlines (MAS) ini. Dengan bantuan installer Dream Wheels, beliau mengakhiri pencarian dan menggantikan sistem I.C.E nya kepada sistem 3 hala.

Setelah 3 tahun berkecimpung dalam dunia I.C.E, beliau mengatakan bahawa sistem 3 hala ini adalah yang terbaik. Setiap kali berada di dalam kereta, dia tak ubah seperti menikmati muzik yang dimainkan dari orkestra di dalam sebuah konsert. Bertepatan dengan jiwanya yang menggemari muzik jazz, balada dan klasikal. Tambah beliau lagi, sistem 3 hala menghasilkan semua instrumen secara menyeluruh dan tepat yang mana tidak mampu dihasilkan oleh sistem 2 hala.

Pasti anda tidak sabar untuk mengetahui jentera I.C.E yang berjaya memenuhi kehendak Shankar ini. Tanpa membuang banyak masa, mari bersama selidiki jentera I.C.E ini. Bermula pada titik permulaan difokuskan kepada pemain utama yang menjadi pusat pemancaran terpenting, Shankar menggunakan pemain utama jenama Pioneer model DEX-P99RS. Mungkin anda tidak percaya, namun harga sebuah pemain utama model ini mencecah 4 angka. Seiring dengan harganya, model ini merupakan antara salah satu model terbaik yang pernah dihasilkan Pioneer.

Pemain utama yang membaca segala format media ini seterusnya akan memproses isyarat yang kemudiannya dipancarkan terus kepada barisan amplifier. Seperti yang dinyatakan sebentar tadi, pemain utama ini didatangkan bersama crossover binaan-dalam 4 hala dengan talaan ‘slope’. Dengan sendirinya ia memotong frekuensi yang tidak diperlukan, seterusnya dipancarkan kepada 4 unit amplifier 2 channel Pegasus PGA1152HL dan 1 unit amplifier monoblock Pegasus PGA1300.

Amplifier 2 channel pertama digunakan untuk memacu 2 unit horn tweeter Flux HT 28R, amplifier kedua pula digunakan untuk memacu 2 unit mid woofer 3.5” Full Range Radical Reference. Mid woofer ini mampu menterjemahkan bunyi instrumen yang paling halus agar kedengaran tepat. Baki 2 unit amplifier 2 channel yang berikutnya digunakan untuk memacu seunit mid bass 6.5” dari Flux TR2 6.5 setiap satu. Bagi tujuan melengkapi jentera I.C.E ini, seunit woofer 12” Pegasus PG30P4 digunakan dan dipacu pula oleh amplifier monoblock Pegasus PGA1300.

Menurut Shankar, beliau tidak pernah terniat untuk menyertai mana-mana pertandingan kerana secara jujurnya bermain I.C.E ini adalah semata-mata untuk memberi kepuasan peribadinya sendiri. Beliau tidak berhajat atau serius menyertai mana-mana pertandingan. Namun apabila diberitahu oleh installer, pertandingan adalah cara terbaik untuk beliau melihat dimanakah tahap kedudukan sistem I.C.E yang dibawa keretanya ini berada, lalu beliau bersetuju.

Kini, Shankar sendiri mengakui pertandingan yang diikutinya tidak sia-sia. Walaupun berjaya dinobatkan sebagai juara dalam salah satu siri pertandingan MACE, itu tidak penting bagi beliau. Apa yang penting, melalui pertandingan ini secara tidak langsung beliau dapat mengetahui kelemahan yang perlu diperbaiki terhadap sistem I.C.E nya. Beliau bercadang memperbaiki kelemahan itu. Apabila bercakap tentang kos, beliau tidak menafikan yang terpaksa berbelanja besar semata-mata untuk mengecap keaslian bunyi yang diidamkannya. Apa yang penting, kepuasan adalah kunci segala-galanya.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 13