Ringkas dan tiada apa yang istimewa untuk menarik perhatian melainkan ia sebuah lagi kereta sedan dari Toyota, Mark X. Antara model kereta yang agak jarang kelihatan dan tidak begitu mesra dengan pengguna tempatan kecuali jika anda benar-benar pengikut setia kereta keluaran Toyota.
Sebagaimana kereta yang lazimnya dibina untuk tujuan pertandingan, Mark X juga mempunyai sistem audio yang agak rumit. Ia bukan dibina sekadar suka-suka atau memenuhi impian semata-mata, sebaliknya membawa makna yang sangat serius. Ini dapat dilihat menerusi dua sistem audio yang dibina dengan sangat teliti pada kereta ini. Dua sistem audio? Ya. Anda tak salah baca dan tiada kesalahan berlaku pada teks ini.
Di bahagian kokpit hadapan bermulanya satu titik perjalanan yang bukan mudah. Sedikit berserabut tetapi demi mencapai matlamat, installernya terlebih dahulu merangka kesemua alur perjalanan sistem audio di atas kertas biru dengan rapi. Dilengkapkan dua jenama bertaraf high-end tiada alasan atau ruang untuk sebarang kesalahan!
Kenapa pembinaan sistem audionya rumit? Mark X ini bukan sahaja dibina dengan sistem talaan SQ ringkas, sebaliknya ia turut diselarikan dengan sistem audio talaan multimedia 5.1 CH! Ha, rumit bukan? Namun ia diatasi dengan sebaiknya lalu terhasil dua sistem dalam satu. Bunyi menyeluruh, harmoni dan tenang seakan berada dalam persembahan orkestra bergerak.
Bagi memudahkan pembacaan dan pemahaman, satu persatu sistem audio akan diselusuri. Dimulakan dengan sistem audio SQ. Tugas menterjemah data fail multimedia diserahkan kepada Pioneer ODR RS-D7RII, seunit pemain CD dengan sistem digital optikal. Pemain kelas-pertama ini, membawa kesempurnaan bunyi menjadi nyata. Gabungan teknologi sofistikated high-end dan bahan terpilih, ia direka dengan sistem mudah kawal dan berfungsi sebaiknya dengan pemproses Pioneer bagi menambahbaik kualiti data bunyi dihasilkan ODR.
Meneruskan alur perjalanan sistem audio ini adalah 4 unit amplifier Mosconi Zero 3 yang membentuk 4 laluan baru. 3 unit amplifier digunakan untuk memacu speaker di kokpit hadapan. Manakala seunit lagi untuk seunit woofer Micro Precision Z Studio 245. Sedikit info tentang Micro Precision; satu lagi produk keluaran Jerman yang sangat teliti pada setiap bunyi dihasilkan. Seiring dengan nama, produknya menterjemahkan segala butiran audio dari yang besar sehinggalah sekecil-kecilnya (mikro) dengan sangat tepat.
Dua set lengkap speaker Micro Precision Z Studio 3 way dipasangkan di kokpit hadapan. Pillar A di kedua-dua bahagian menjadi posisi tepat. Setiap satu bahagian dipasangkan seunit mid range dan seunit tweeter dari set 3-way Micro Precision Z Studio tadi. Melengkapkan talaan SQ 3-way, seunit mid bass dipasangkan di panel pintu dengan penutup buatan kustom arkilik menarik.
Sudah jelas dengan sistem yang pertama? Okey, bergerak untuk sistem seterusnya. Kekalkan kesemua aksesori audio dalam sistem SQ tadi untuk digabungkan bersama beberapa aksesori tambahan. Ia sebagai pelengkap sistem talaan multimedia 5.1CH. Set Alpine 800 Series digunakan; terdiri dari pemain utama IVA-D800 dan pemproses PXA-H800. Fungsinya serupa dengan set pemain utama dari Pioneer ODR di awal tadi.
Data yang dibaca set Alpine ini kemudiannya dihantar ke satu lagi unit amplifier Mosconi AS100.4S. Amplifier ini bertugas untuk membekalkan kuasa kepada dua barisan speaker yang digunakan untuk mewujudkan bunyi keliling dan bahagian tengah. Bagi bunyi di bahagian tengah, dipasangkan set speaker Micro Precision 5 Series 2-way passive; seunit mid dan seunit tweeter yang ditempatkan di tengah-tengah dashboard.
Manakala untuk bunyi menyeluruh atau lebih tepat lagi sebagai ‘surround’, 2 set Micro precision Z Series 3 way passive telah dipilih. Set ini terdiri daripada mid bass, mid range dan tweeter. Kesemua set ini dipasangkan di bahagian tempat duduk belakang sekaligus memberikan bunyi bersepadu. Tiada ruang bunyi yang kosong dibiarkan.
Seterusnya, demi untuk memastikan kelancaran sistem audio, installer memasangkan fuse distributor bagi membekalkan kuasa yang cukup dan mengelak dari berlakunya litar pintas. Jika diperhatikan dari sudut pemasangan aksesori, pujian boleh diberikan kepada susunan di bahagian bonet. Kemas dan menarik serta masih meninggalkan ruang untuk letak barang. Apatah lagi, ianya boleh ditutup dan dibuka. Secara keseluruhannya, sistem audionya bersih, pemasangan kemas dan sememangnya layak bergelar juara. Cukup?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah KarHifi edisi 38